Resipi Kek Tanpa Gandum Orange Zest Premium, Khusus Untuk Individu Alah Dengan Gluten

Share

Ada individu gemar makan kek, namun tidak dapat menikmatinya kerana alah dengan gluten. Apa itu gluten? Gluten adalah sejenis protein lekit yang terdapat dalam tepung gandum.

Justeru, bagaimana individu yang ada alahan sebegini hendak menikmati kek?

Melalui seorang pejuang Thalassemia, Nurul Nadia, telah berkongsi resipi Kek Orange Zest Premium. Menariknya, kek ini sesuai dinikmati oleh individu yang alah dengan gluten termasuk mereka yang ingin menjaga kesihatan.

“Sebenarnya yang mula buat gluten free ni, suami saya. Dia memang amalkan pantang pelbagai makanan sebab dia ada masalah GERD. Orang yang ada GERD ni automatik ada anxiety dan gandum boleh triggered badan dia jadi tak sihat,” kata Nurul Nadia.

Akhirnya, Nadia juga turut amalkan gluten free

apabila anak sulung mereka pun ada anemia teruk dan ada masa tantrum luar kawal. Anak kedua pula ada masalah sembelit sejak kecil. Kedua-duanya memang gemar makan roti dan selepas ditukar kepada roti tanpa gluten, memang nampak banyak perubahan pada kesihatan.

“Sebelum ini saya makan gandum kerana kesan tak seteruk suami. Suami saya kalau makan gandum akan jadi mata kabur, badan terasa melayang dan letih. Tapi sekarang saya dapat rasa susah nak kawal emosi contohnya marah anak sebab mereka bising. Namun apabila saya elakkan gandum, saya dapat rasa emosi cepat marah itu lebih terkawal,” kata Nurul Nadia lagi.

Jom kita lihat resipinya.

KEK TANPA GANDUM ORANGE ZET PREMIUM

BAHAN-BAHAN
1 biji buah oren (kulitnya disagat dan isinya dikisar)
226 gram mentega asli tanpa garam (unsalted pure butter)
226 gram gula tebu organik (boleh kurangkan jika tak suka manis)
283 gram tepung tanpa gluten (tepung beras dan kanji kentang dicampur)
5 sudu besar jus oren (pilihan kalau suka rasa masam)
3 biji telur ayam
3 sudu teh baking powder


¼ sudu teh baking soda

CARA MEMBUAT
1. Panaskan oven pada suhu 160°C
2. Kisarkan buah oren sampai halus.
3. Campurkan mentega dan gula di dalam mesin pengadun.
4. Ayak tepung bersama baking powder dan baking soda.
5. Masukkan buah oren yang dikisar, kulit yang disagat dan jus berserta tepung, telur ayam, baking powder

dan baking soda ke dalam mesin pengadun. Gaulkan sehingga tidak berketul.
6. Bancuhan dimasukkan dalam loyang dan bakar selama 45 minit dengan suhu 160°C (bergantung kepada jenis oven).
7. Apabila siap, sejukkan selama 10 minit sebelum keluarkan kek daripada loyang. Biarkan betul-betul sejuk sebelum dipotong.
Tetap gebu walau tanpa gandum.

Apa Istimewanya Kek Ini?
1) Tanpa gandum. Sesuai untuk mereka yang alah dengan gluten.
2) Rasa buah oren sebenar.
3) Tanpa pewarna tiruan.

INFO MENGENAI GLUTEN
1) Gluten adalah sejenis protein yang ada dalam gandum. Apabila sebut gandum, bukan saja tepung tapi termasuk jugalah barli dan yang seangkatan dengannya.
2) Gluten free adalah istilah pola pemakanan bagi individu yang alah kepada gluten atau bagi mereka yang mahu menjaga kesihatan badan bagi tempoh masa lebih lama.
3) Sesetengah individu tidak dapat mencerna gluten yang masuk dalam badan walaupun sedikit. Ada yang 10 tahun makan masih baik tapi tiba-tiba selepas tahun ke-11 terdapat alergi dan reaksi badan. Apabila gluten tidak dapat dicerna oleh perut, tubuh memberi respon antibodi bahawa ada ancaman pada tubuh (daripada gluten tadi) dan menyerang lapisan dinding usus sehingga mengakibatkan pembengkakan atau kata lain disebut sebagai radang.

KREDIT: Facebook Nurul Nadia dan facebook Dapur Ber5

Published by
Maryam Elyas