Melalui perbualan telefon beberapa kali, penulis dapat mengagak Datin Maria Abdullah seorang personaliti yang mudah didekati, ramah, mesra dan ceria. Penulis rasa berbesar hati bila beliau tidak keberatan meluangkan sedikit masa dari kesibukan rutin harian untuk bagi menyediakan dua respi istimewa yang menjadi kegemaran suami Dato’ Noorazman dan putera tunggal Muhammad Emman.
Tiba hari temujanji dan kami sampai di kediaman Datin Maria, pembantu rumahnya menjemput kami masuk. Sambil beriringan masuk dia memberitahu majikannya, Datin Maria kurang sihat. Perkabaran itu menjadikan penulis berasa gusar dan bersalah. Sejurus menunggu di ruang tamu, Datin Maria muncul dengan wajah ceria sambil bertanya khabar. Beliau kemudian mengakui kurang sihat dan baru pulang dari berjumpa doktor, tetapi tidak menjadi halangan kepada beliau untuk menyediakan masakan untuk dikongsikan bersama majalah Rasa.
“Semua bahan sudah saya beli dan siapkan tinggal masak sahaja sekejap lagi. Lagi pun resipi yang saya akan masak petang ini adalah resipi mudah, iaitu Ikan Patin Masak Tempoyak dan Ketam Mentega. Kedua-dua resipi ini ringkas dan senang disediakan. Ketam Mentega bukan hanya disukai oleh suami dan anak. Sanak saudara atau rakan-rakan bila mereka datang, menu ini juga akan minta saya masak . Saya tidak tahu apa tarikannya sehingga semua mereka suka, sedangkan resipi sama saja,” ujar Datin Maria tertawa.
BAHAN-BAHAN SEGAR
Selesai di ruang tamu, kami meneruskan agenda kedua di ruang dapur. Sebaik masuk ke dapur melihatkan bahan-bahan yang sudah tersedia dalam keadaan segar. Menyebabkan kami rasa tidak sabar untuk menikmati hidangan yang akan dimasak oleh Datin Maria.
Ads
Melihat ketam dan ikan patin yang masih segar. Terdetik di hati penulis, mungkin inilah rahsia kenapa Patin Masak Tempoyak dan Ketam Mentega yang dimasak oleh Datin Maria disukai suami, anak dan tetamu yang yang menjamu selera di kediaman beliau. Benar bagai yang diagak, Datin Maria memberitahu untuk hidangan yang ingin dimasak dan dikongsikan dengan kami, beliau telah mendapatkan patin segar dari Sungai Pahang dan Ketam segar dari Sri Langka khabarnya.
“Kalau bahan segar dan berkualiti, kita masak ringkas pun hasilnya mesti sedap. Saya sangat teruja dan seronok memasak bila dapat bahan-bahan segar,” cerita Datin Maria sambil sibuk memotong bahan sayur sampingan yang akan dimasukkan bersama dalam masakan Patin Masak Tempoyaknya.
Ceritanya lagi, ada pelbagai versi Masak Tempoyak Patin di Malaysia, ia bergantung pada tempat dan selera orang yang memakannya. Tetapi kalau orang Pahang masak, selain tempoyak, bahan yang digunakan hanya kunyit hidup, cili padi, daun kesum. Kalau ada dan jika suka, boleh masukkan bunga kantan sebagai penambah rasa.
Melihatkan cara Datin Maria memasak Patin Masak Tempoyak sangat mudah, aroma bau dari masak tempoyak sungguh menggoda selera. Ditambah pula dengan hidangan Ketam Mentega yang masih panas di dalam kuali sebelah periuk Patin Masak Tempoyak. Benar seperti kata Datin Maria, bila seseorang itu pandai memasak dan selalu di dapur, resipi hanya sebagai panduan dan asas memasak. Untuk menyedapkan dan menjadikan masakan itu menarik adalah kreativiti dan kemahiran mengolah dan menyesuaikan bahan.
“Saya sendiri bila memasak , selain mengutamakan keenakan rasa makanan yang dimasak. Saya juga suka melihat warna dalam masakan. Warna itu memberikan tarikan kepada mata dan selera orang yang akan menjamah masakan itu nanti. Sebab itu dalam Masak Tempoyak Patin, selain bahan asasnya, saya akan campurkan bahan sampingan seperti tomato, bendi, cili merah dan cili hijau,” ujar Datin Maria yang mempunyai pelbagai koleksi pinggang mangkuk yang menarik.
“Saya rasa, kebanyakan wanita yang hobinya suka memasak, secara tidak langsung dia juga mempunyai pelbagai koleksi pinggan mangkuk kerana pinggan mangkuk adalah pelengkap hidangan makanan yang dimasak oleh seseorang. Saya antara wanita yang suka menyimpan koleksi pinggan mangkuk,” ungkap Datin Maria sambil mempelawa kami menikmat hidangan yang disediakan.
My Pro Wrestling Sdn Bhd (MyPW)
Mengakui sibuk dengan urusan perniagaan kawalan keselamatan yang diusahakan bersama suami sejak 30 tahun lepas, Kini Datin Maria baru sahaja menubuhkan sebuah syarikat baru yang dinamakan My Pro Wrestling Sdn Bhd (MyPW). Sebuah syarikat yang menguruskan sebuah Wrestling Training Centre .
“Biarpun masih baru, MyPW sudahpun mengendalikan lima acara perlawanan gusti Peringkat Asia di Malaysia. Cetusan idea ini datangnya dari minat anak tunggal saya yang menyukai sukan gusti ini sejak usia 13 tahun lagi.
“Bagaimana pun sebagai seorang isteri dan ibu, sibuk bukan alasan untuk tidak memasak. Tetapi saya akan masak bila ada permintaan dari suami, anak atau bila ada tetamu ingin berkunjung. Kalau memasak jika tidak ada orang makan, ia akan,” ujar Datin Maria yang mempunyai pelbagai koleksi pinggan mangkuknya. Demi memastikan skill memasaknya tidak hilang, sesekali beliau akan masuk dapur untuk mencuba resipi baru dan masak masakan kegemaran suami dan anak. Atau bila ada tetamu atau sanak saudara yang ingin berkunjung di kediaman mereka.
RESIPI:
Ads
IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ikan patin (anggaran 1kg) | bersihkan dan tos
20 biji cili padi (bergatung kepada tahap kepedasan)
3cm kunyit hidup
4 tanggkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan | belah dua
3 batang kacang bendi | buang tangkai dan hujungnya
2 biji tomato | belah empat
3 sudu makan tempoyak/atau ikut kepekatan kuah
Garam dan serbuk perasa secukup rasa
Asam keping | jika perlu
CARA MEMASAK:
Cili padi dan kunyit hidup ditumbuk atau dikisar hingga halus.
Kemudian campurkan bahan kisar dengan tempoyak dan gaul sebati.
Seterusnya , lumurkan campuran tempoyak dengan cili kunyit tadi pada ikan patin. Perap sebentar seketika.
Seterusnya masukkan ikan dalam periuk, dan tambahkan air dan masaknya di atas dapur.
Masak hingga mendidih, kemudian tambahkan garam dan perasa secukupnya. Diikuti dengan bunga kantan, daun kesum dan kacang Bendi.
Kecilkan api, biarkan mereneh seketika.
Sebelum tutup api masukkan buah tomato.
INFO: Untuk menghilangkan bau hanyir ikan, gaulkan dengan tepung gandum dan asam jawa atau limau nipis. Kemudian cuci bersih dengan air biasa dan toskan.
Ads
KETAM MENTEGA
BAHAN-BAHAN:
2 ekor ketam (500gm) | potong dua
50gm mentega
5 biji cili padi | belah dua
3 tangkai daun kari | lurut dari tangkainya
250 ml susu cair
2 sudu makan gula
1 sudu makan tepung jagung
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
Panaskan mentega, kemudian masukkan cili padi dan daun kari, goreng hingga wangi.
Masukkan ketam, gaul sebati dan tutup periuk atau kuali seketika.
Seterusnya masukkan susu cair, garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi kemudian tutup seketika.
Kali ini RASA berkongsi rahsia masakan dari anak Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.Tiga masakan keluarga yang dikongsi beliau dengan admin Lemak Cili Api Sardin, Daging Pekasam Embah dan Sambal Tumis Petai. Bukan sahaja cantik dan bijak berfesyen Muslimah, beliau juga hebat di dapur!
Datuk Nurul juga boleh memasak untuk meraikan tetamu yang ramai. Beliau pernah memasak seperiuk besar kuah lontong untuk 300 tetamu.
Anak sulung dalam keluarga, Datuk Nurul sudah dibimbing oleh ibunya memasak sedari usia 11 tahun lagi. Beliau percaya dengan amalan memasak dengan penuh kasih sayang. Bila memasak dengan membayangkan orang tersayang pastinya hasil masakan menjadi enak dan menyelerakan.
Beliau juga memiliki petua ketika masak. Dalam reseipi Daging Pekasam Embah katanya rahsia kelazatan lauk ini adalah pada tempoh perapannya. “Kalau ikutkan orang kampung dahulu, daging diperap sehingga seminggu untuk rasa lebih sedap dan sebati dengan rencah,” ceritanya.
Paling menarik resepi ini juga hanya menggunakan tiga bahan sahaja sebagai rencah perapan. Gula, garam dan asam jawa. Beliau memerap daging semalaman dan esoknya barulah digoreng. Ingin mencuba resipi air tanagan VIP kali ini. Jom lihat resipi Datuk Nurul ini.
LEMAK CILI PADI SARDIN
BAHAN-BAHAN :
2 tin sardin saiz tin (berat 425 gm setiap satu)
500 ml santan pekat
1 biji bawang besar / dikisar
8 biji bawang kecil /dikisar
2.5 sm halia /dikisar
2.5 sm kunyit hidup /dikisar
25-30 biji cili padi (ikut kepedasan yang anda suka)
500 ml santan
2 batang serai /diketuk
4 biji tomato/dibelah baji
200 gm petai/ dikupas
Belacan bakar secukupnya
Garam secukupnya
Gula secukupnya
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK :
1. Panaskan kuali dengan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar.
2. Apabila naik bau masukkan santan
3. Kacau dan tambahkan air secukupnya. Masukkan serai .
4. Setelah sebati dan mendidih masukkan sardin dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya diikuti dengan tomato.
5. Tutup api dan siap dihidang.
SAMBAL TUMIS UDANG PETAI
BAHAN-BAHAN:
20 ekor udang kuning
2 biji bawang besar /dikisar
6 ulas bawang merah /dikisar
8 ulas bawang putih /dikisar
2 senduk besar cili kisar – ikut pedas disukai
Gula secukupnya
Garam secukupnya
2-3 papan petai/ dikupas
Air asam jawa secukupnya
5 sm belacan bakar/ dikisar
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah dan bawang putih yang dikisar serta cili kisar serta belacan. Tumis hingga cili benar benar garing dengan menggunakan api perlahan.
2. Setelah garing, masukkan gula terlebih dahulu. barulah dimasukkan petai, air asam jawa dan garam.
3. Akhir sekali masukkan udang. Kemudian masukkan petai biarkan dalam satu minit. Sesuaikan rasa dan tutup api. Jika suka, boleh juga masukkan bawang besar yang dimayang bulat dan kacau sehingga agak layu sebelum ditutup api. Sedia untuk dihidangkan.
DAGING PEKASAM EMBAH
BAHAN-BAHAN
1/2 kg daging lembu /dihiris nipis (batang pinang)
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
250 gm asam jawa
CARA MEMASAK:
1. Gaul daging dengan gula, garam dan asam jawa.
2. Perap semalaman. Paling sedap perap selama seminggu dalam peti sejuk
3. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng daging
Orangnya memang cantik bergaya.Sentiasa berpenampilan menarik. Datin Eykah atau nama penuhnya Datin Nur Zulaikha Ellieyana Noah ini cukup ramah melayani tetamu dan rakan yang datang berkunjung.
Sebagai anak jati Terengganu lauk Kerutuk Itik kerap menjadi menu utama di meja hidangan.Ini lauk yang diwarisi dari ibu beliau
Bercerita mengenai lauk pauk Terengganu,ceritanya,”Nenek dan ibu memang pakar buat lauk kerutuk itik. Ia jadi menu padanan wajib di kenduri kendara yang dihidang bersama nasi dagang. Kari Ikan Tongkol juga ‘favorite’ saya dan keluarga. Untunglah saya dapat belajar dari mereka sebab lauk seperti Kerutuk Daging yang asli dan lazat memang sukar dicari. Sedari zaman persekolahan saya telah didedahkan dengan ilmu masakan. Sebagai cucu sulung dari anak sulung, pastilah saya amat rapat dengan nenek yang banyak berkongsi petua dan tip masakan“.
Suri hati kepada ahli perniagaan Datuk Mohammad J.K Noah ini mengakui, suami beliau lebih hebat memasak. Namun ini bukan alasan untuknya tidak memasak di rumah.
Bila kawan-kawan darn saudara mara datang berkunjung masa inilah beliau akan menyingsing lengan memasak untuk tetamu. Apa hebatnya resipi Kerutuk Itik dan Kari Ikan Tongkol sentuhan beliau, jom kita cuba.
KERUTUK ITIK BAHAN-BAHAN:
1 ekor itik | anggaran 1 1/2 kg
500ml santan pekat
4 sudu makan rempah kerutup
3 sudu makan air asam Jawa
3 sudu makan kerisik
Garam dan gula kabung secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menumis
BAHAN KISAR:
15 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih
3cm halia
3cm kunyit
2cm lengkuas
4 batang serai
BAHAN GORENG SANGAI DAN KISAR:
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan lada hitam
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
BAHAN REMPAH PENUMIS:
1 batang kulit kayu manis
4 kuntum bunga lawang
7 biji buah pelaga
7 biji bunga cengkih
CARA MEMASAK: 1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan rempah penumis, hingga naik bau dan tambah rempah kisar tadi. 2. Masukkan bahan kisar dan kacau hingga pecah minyak, masukkan gula kabung, garam dan air asam Jawa. 3. Seterusnya masukkan rempah kerutuk, kacau dan tumis lagi seketika. 4. Masukkan itik dan sedikit air biarkan mereneh hingga itek empuk. 5. Akhir sekali masukkan santan dan sedikit air, biarkan mereneh hingga kuah pekat baru masukkan kerisik. 6. Kecilkan api biarkan kuah hingga pekat dan terbit minyak. 7. Setelah isi itik lembut, rasa sekali lagi untuk pastikan agar secukup rasa sebelum tutup api. 8. Kerutuk Itik sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jika perlu boleh rebus dahulu itik bersama hirisan halia, dan sedikit rempah kerutuk.
KARI IKAN TONGKOL
BAHAN-BAHAN:
2kg ikan tongkol |rebus bersama asam keping dan garam
1/2kg santan pekat
4 keping asam gelugor
1 keping gula kabung
Garam secukup rasa
4 sudu makan rempah kari ikan
1 sudu makan halba campur
Minyak masak secukupnya
BAHAN KISAR:
15 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering
3cm halia
3cm kunyit hidup
2cm lengkuas
CARA MEMASAK: 1. Panaskan minyak, tumiskan halba campur, diikuti dengan bahan kisar. 2 .Kacau rata hingga wangi kemudian masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. 3. Tumis hingga pecah minyak, kemudian masukkan gula kabung. 4. Setelah gula hancur, masukkan santan pekat dan tambah air secukupnya. 5. Seterusnya masukkan asam gelugor, ikan dan garam. 6. Kecilkan api dan biarkan mereneh hingga pecah minyak. 7. Jika suka, boleh tambah cili bulat. 8. Setelah cukup rasa, tutup api. 9. Kari ikan sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Kari lebih sedap jika disediakan awal sekurang-kurang tujuh jam sebelum sedia dihidangkan.
Sibuk bukan alasan wanita VIP ini masuk dapur menyediakan juadah bagi meraikan tetamu di majlis Rumah Terbuka yang diadakan setiap tahun. Menurut beliau sepanjang bulan Syawal adalah bulan meraikan para tetamu.
Biarpun beliau dan suami menetapkan satu tarikh tetap untuk Rumah Terbuka secara rasmi. Namun hakikatnya wanita kelihatan jelita dan awet muda ini mengakui sepanjang Syawal pintu rumah beliau sentiasa terbuka.
“Nama pun bulan raya, bulan ziarah-menziarahi sambil bermaaf-maafan. Tidak kiralah ahli keluarga, jiran-jiran, kawan-kawan dan para pekerja saya, jika ingin datang saya sekeluarga tetap berbesar hati menerima kehadiran mereka. Kalau sempat masak, saya akan masak walaupun satu dua jenis masakan. Bila tidak sempat, sebahagian masakan akan saya tempah,” ujar Dato’Normashayu Puteh, Ketua Pegawai Ekskekutif Opiel Secrets (M) Sdn. Bhd.
Cerita Dato’Ayu bukan hanya mengadakan rumah terbuka tetapi sepanjang Ramadan beliau juga sering mengadakan majlis berbuka puasa untuk kakitangan. Kerana itu istilah rumah terbuka bagi beliau bukan hanya di bulan Syawal semata, bila-bila sahaja boleh.
“Saya sendiri suka memasak dan menjamu kawan-kawan atau sanak saudara. Disebabkan saya orang Negeri Sembilan, masak lemak cili padi dan rendang daging atau ayam kampung cili padi. Selalu rendang ini saya hidangkan dengan nasi impit adalah menu wajib. Masakan ini juga yang menjadi permintaan ramai tetamu saya.
UDANG SAMBAL PETAI
BAHAN-BAHAN:
1kg udang saiz XL | bersihkan dan toskan
200gm petai
1 biji bawang besar | dihiris
5 sudu makan pes cili kering
2 sudu makan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menggoreng dan menumis
Bahan Kisar:
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2 batang serai
3cm halia
CARAMEMASAK:
Panaskan minyak, goreng udang separuh masak. Angkat dan ketepikan.
Keluarkan minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
Tumiskan bawang besar, diikuti bahan kisar.
Kacau hingga garing dan pecah minyak.
Masukkan petai, kacau lagi.
Masukkan udang, air asam, garam dan gula secukup rasa.
Kecilkan api, biarkan mereneh lebih kurang tiga minit atau timbul minyak.
Angkat dan hidangkan.
INFO CHEF:
Untuk mengurangkan bau petai, goreng petai dan masukkan bersama petai.
…..
GULAI LEMAK CILI PADI AYAM KAMPUNG
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam kampung | potong sederhana
3 biji kentang | belah dua
2 helai daun kunyit | disiat-siat
4 batang serai | dititik
500 ml santan cair
500ml santan pekat
2 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Bahan Kisar:
4 ulas bawang merah
10 biji cili padi
4cm kunyit hidup
2cm lengkuas
CARA MEMASAK:
Masukkan ayam yang telah dibersihkan di dalam periuk bersama, asam gelugor santan cair dan seperuh dari bahan kisar.
Masak sehingga isi ayam empuk dan kuah kering.
Kemudian masukkan santan pekat,serai, daun kunyit dan separuh lagi bahan kisar.
Sentiasa kacau sehingga kuah mendidih.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Kecilkan api, biarka gulai mereneh lebih kurang lima minit lagi.
Angkat dan hidangkan.
INFO CHEF:
Jika ingin lebih pedas anda boleh tambah cili padi.
….
KARI KEPALA IKAN
BAHAN-BAHAN:
4 keping kepala ikan tenggiri
1liter santan
5 sudu makan rempah kari ikan
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu makan halba campur
1 sudu teh biji sawi
1 tangkai daun kari | leraikan dari tangkainya
4 biji kacang bendi
1 biji terung bulah | belah empat
2 biji cili hijau | potong 3cm
1 biji cili merah | potong 3cm
2 biji tomato | belah empat
2 sudu makan air asam jawa
Garam dan gula secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menumis
Bahan Kisar:
6 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
4cm halia muda
CARA MEMASAK:
Panaskan, minyak, tumiskan halba campur dan daun kari hingga wangi.
Masukkan bahan kisar, kacau seketika.
Kemudian masukkan pula rempah kari dan serbuk cili yang dibancuh dengan sedikit air. Kacau hingga pecah minyak.
Seterusnya masukkan air asam jawa dan santan, terus memasak hingga mendidih.
Baru masukkan kepala ikan dan biarkan sehingga masak.
Masukkan terung, kacang bendi, garam dan gula secukup rasa.
Akhir sekali sebelum angkat, masukkan cili dan tomato.
INFO CHEF:
Selaian kepala ikan tenggiri, kepala ikan merah dan jenahak juga boleh digunakan untuk kari kepala ikan.
….
PUTERI AYU
BAHAN-BAHAN:
3 biji telur gred A
240gm gula halus
240ml santan
1 sudu teh pes pandan
1 sudu makan ovallete
270gm tepung gandum
1 1/2 sudu makan tepung ubi
Bahan Lapisan Kelapa:
3 cawan kelapa parut
3 sudu makan tepung jagung
Sedikit garam halus
CARA MEMASAK:
Campurkan tepung gandum dan tepung jangung. Ketepikan.
Campurkan juga semua bahan kelapa, kemudian gaul rata, ketepikan.
Sapukan acuan dengan sedikit minyak masak.
Kemudian masukkan satu sudu teh parutan kelapa. Kemudian padatkan.
Putar gula dan ovallate hingga rata.
Seterusnya masukkan telur satu persatu dan putar hingga kembang.
Masukkan pula pes pandan. Putar lagi hingga sekata warna hijaunya.
Perlahankan putar pengisar, masukkan tepung berselang seli dengan santan hingga habis dan sebati.
Sudukan adunan ke dalam acuan yang berisi kelapa tadi.
Panaskan pengukus, kemudian kukus selama 15 minit. Angkat.
Sejukkan sebentar sebelum dihidangkan.
INFO CHEF:
Lebih sedap menggunakan kelapa yang tidak terlalu tua dan ambil putihnya sahaja.
….
RENDANG DAGING
BAHAN-BAHAN:
1kg daging batang pingang | hiris nipis dan lebar
1 kg santan pekat
2 sudu makan kerisik
2 sudu makan pes cili kering
4 batang serai | dititik
Garam dan gula secukupnya
Minyak untuk menumis secukupnya
Bahan Perap Daging:
1 sudu makan serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
3 sudu besar kicap pekat manis
Bahan Rempah Penumis:
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga.
Bahan Kisar:
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3cm halia
3cm lengkuas
CARA MEMASAK:
Bersihkan daging dan toskan airnya.
Masukkan daging dalam bekas bersama kicap pekat, serbuk ketumbar,jintan manis dan jintan putih.
Gaul rata, ketepikan dan perap 30 minit.
Panaskan minyak, tumiskan rempah penumis bersama serai hingga wangi.
Masukkan pula bahan kisar, kacau seketika.
Seterusnya masukkan pes cili, terus kacau lagi.
Setelah pecah minyak, masukkan daging, dan terus didihkan hingga kering air daging.
Kemudian masukkan santan, garam dan gula secukup rasa.
Bila kuah pekat lengkapkan rasa dengan kerisik.
Kecilkan api, kacau rata sehingga rendang garing.
Setelah timbul minyak dan rendang bertukar warna merah kehitaman, angkat dan hidangkan.
INFO CHEF:
Untuk rasa rendang yang lebih sedap, 30 minit sebelum angkat,kecilkan api dan sentiasa kacau sehingga timbul minyak.