Resipi Kuih Abok-Abok Sedap & Mudah. Kuih Tradisional Paling Diminati

Share

Kuih Abok-Abok adalah antara kuih tradisional yang sentiasa menjadi kegemaran ramai. Hanya menggunakan bahan-bahan yang ringkas, kuih ini menjadi pilihan terutamanya ketika sarapan dan juga minum petang. Kalau dapat makan masa masih panas, memang nikmat sungguh! Jom cuba resipi Kuih Abok-Abok sedap perkongsian saudari Zurida Hassan ini. Pasti puas hati dengan hasilnya.

Resipi Kuih Abok-Abok Sedap

Bahan-Bahan Kuih Abok-Abok:

  • 3 cawan sagu
  • 1 cawan kelapa parut
  • Gula melaka secukupnya – racik halus
  • Daun pisang secukupnya – potong kecil dan layurkan
  • Sedikit gula dan garam

Cara Memasak Kuih Abok-Abok:

  1. Rendam sagu dengan pewarna hijau atau air kisaran daun pandan selama 15 minit.
  2. Toskan airnya dan gaulkan bersama kelapa parut, sedikit gula dan garam hingga rata.
  3. Bersihkan daun pisang dan gulung menjadi kon kecil untuk membungkus Kuih Abok-Abok.
  4. Sudukan sedikit sagu ke dalam kon daun pisang.
  5. Masukkan gula melaka secukupnya di tengah.
  6. Tambahkan lagi sagu di atasnya.
  7. Lipat bungkusan daun pisang dengan kemas dan semat dengan lidi. Ulang hingga habis.
  8. Kukus kuih selama 20 minit atau hingga sagu masak sempurna.
  9. Angkat dan sedia untuk dinikmati selagi masih panas!

Tip Tambahan:

Untuk hasil Kuih Abok-Abok yang lebih wangi, gunakan daun pandan segar ketika merendam sagu. Pastikan juga gula melaka dipotong halus supaya mudah cair semasa dikukus.

Kredit resipi & foto: Zurida Hassan

Kenapa Kuih Abok-Abok Jadi Kegemaran Ramai?

Kuih Abok-Abok terkenal dengan rasa lemak manis yang seimbang antara kelapa parut dan gula melaka. Teksturnya yang kenyal dan aromanya dari daun pisang menjadikan ia nostalgia buat ramai pencinta kuih tradisional. Dengan bahan ringkas dan cara penyediaan yang mudah, resipi ini sesuai untuk semua peringkat umur.

Jadi, kalau anda mencari kuih tradisional yang sedap dan mudah dibuat di rumah, jangan lepaskan peluang untuk mencuba resipi Kuih Abok-Abok sedap ini. Rasanya memang tidak akan mengecewakan!

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

Resipi Mushroom Chicken Pie Mudah, Tanpa Uli. Hanya Guna Pastri Segera

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

 

 

 

 

Published by
Nur