Kuih muih tradisional Melayu memang punya kelompok peminatnya yang tersendiri. Kalau makan yang sedap, fuhhh…satu memang tak cukup. Bagi anda yang suka makan Kuih Bakar Daging @ berlauk ni, boleh cuba resipi perkongsian saudari Sha Syariza ni. Nampak sedap!
KUIH BAKAR DAGING
BAHAN KUIH BAKAR:
- 1 cawan tepung gandum
- 1 cawan santan kelapa
- 2 biji telur gred A
- 150ml air
- Sedikit garam
- Minyak masak secukupnya
- Sedikit pewarna kuning
- Hirisan daun bawang secukupnya – hiasan
- Hirisan cili merah – hiasan
- 1/2 sudu makan minyak sapi – guna waktu nak bakar kuih.
BAHAN INTI DAGING:
- 1 biji ubi kentang – didadu
- 150gm daging kisar
- 1 sudu makan rempah kari daging
- 1 biji bawang besar – didadu
- 2 ulas bawang putih – dicincang halus
- 1/2 inci halia
- 1 sudu makan kerisik
- Sedikit air
- Hirisan daun sup secukupnya
- Sedikit hirisan cili merah
- Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Pertama sekali, masak inti terlebih dahulu. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Kemudian masukkan rempah kari dan kacau rata.
- Tuang sedikit air dan masak hingga rempah kari garing. Masukkan daging dan gaul rata. Biar sehingga daging masak. Tambah garam secukup rasa dan secubit gula.
- Masak hingga kering. Masukkan hirisan daun sup dan cili merah. Gaul rata dan matikan api. Sejukkan.
- Untuk menyediakan adunan Kuih Bakar, satukan telur, santan dan air. Kacau rata dan masukkan tepung. Kacau lagi hingga tidak berbintil-bintil.
- Masukkan pewarna kuning dan sedikit garam. Tapis dan ketepikan.
- Untuk memasak Kuih Bakar, panaskan acuan atas dapur. Guna api yang sederhana.
- Kemudian masukkan sedikit minyak sapi (anggaran 1/2 sudu besar). Tuang adunan Kuih Bakar hingga memenuhi 3/4 acuan. Masak dengan api kecil hingga bahagian tepi nampak garing.
- Seterusnya masukkan 1/4 bahagian inti tadi, pastikan anda tabur rata-rata. Tutup permukaan acuan sekejap.
- Sementara itu, panaskan ketuhar pada suhu 180C, guna api atas sahaja. Alihkan acuan dari atas dapur gas tadi ke dalam ketuhar.
- Terus membakar hingga permukaan kuih menjadi perang keemasan. Keluarkan dari ketuhar, biar sekejap dan keluarkan kuih tadi.
- Tabur hirisan daun bawang dan cili merah cincang atasnya sebagai hiasan. Siap untuk dihidangkan.
Kredit resipi & foto: Sha Syariza