Sedapnya Kuih Cara Berlauk. Lembut dan ada inti yang enak. Memang tak puas makan. Jika terasa nak puas makan, lebih baik buat sendiri. Bahan-bahan tak susah dan boleh dapat dalam jumlah banyak. Sangat jimat berbanding kuih yang dibeli. Jom cuba resipi perkongsian saudari Qaseh Izzaty ni.
RESIPI KUIH CARA BERLAUK
BAHAN INTI:
- 200gm daging kisar
- 2 sudu besar rempah raja kari faiza (bancuh dgn sedikit air)
- 2 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 1 sudu besar udang kering
- Sedikit daun bawang/sup – diracik
- Cili merah – dipotong serong
- Garam dan sedikit gula
BAHAN UNTUK ADUNAN TEPUNG:
- 2 cawan tepung gandum
- 3 1/2 cawan santan sederhana pekat
- 1 biji telur
- Pewarna kuning
- Sedikit garam
CARA-CARA MENYEDIAKAN INTI:
- Kisar atau tumbuk bawang putih dan bawng merah sehingga lumat. Tumbuk udang kering sekadar hancur sedikit sahaja.
- Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan yang ditumbuk. Masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air dan tumis hingga naik minyak.
- Masukkan daging kisar. Tambah sedikit air jika perlu dan masak hingga daging empuk.
- Masukkan garam dan sedikit gula. Kacau hingga sebati dan kering.
- Setelah siap, angkat dan ketepikan dulu.
CARA MENYEDIAKAN ADUNAN TEPUNG:
- Pukul telur bersama sedikit garam.
- Masukkan tepung dan santan berselang-seli. Kacau hingga rata.
- Jika adunan berketul-ketul, tapis dahulu adunan. Kemudian titikkan sedikit pewarna. Adun sekata.
- Untuk lebih mudah, kisar adunan menggunakan pengisar.
CARA MEMASAK KUIH CARA:
- Panaskan acuan kuih cara. Sapukan sedikit minyak.
- Tuang adunan hingga 3/4 penuh acuan sahaja.
- Kemudian masukkan satu sudu inti daging dan letakkan sepotong hirisan cili merah. Taburkan juga daun sup dan daun bawang.
- Tutup kuih cara guna tutup periuk selama 4 minit atau sehingga kuih masak. Keluarkan dari acuan dan bolehlah dihidangkan.
Kredit resipi & foto: Qaseh Izzaty