Kuih muih kampung tetap menjadi pilihan walaupun banyak lagi kuih-kuih yang sedang viral di media sosial. Kami kongsikan beberapa resipi kuih yang tetap menjadi pilihan ramai untuk dinikmati ketika minum petang.

 

1. KUIH CARA MANIS PANDAN

 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 3 cawan santan kelapa (saya guna santan kotak)
  • 2 biji telur
  • 10 helai daun pandan
  • Beberapa titik pewarna hijau
  • Gula pasir secukupnya (untuk inti)
  • Garam secukup rasa (untuk rasa lemak masin)
  • Sedikit minyak masak (untuk diletak pada acuan)

 

CARA PENYEDIAAN:

  1. Daun pandan dicuci, potong kecil dan kisar bersama santan, kemudian tapis. Satukan bersama tepung gandum, pewarna hijau, telur dan kacau rata dengan whisk hingga semua sebati, tambah garam secukup rasa. Kacau dan tapis adunan tadi. Ketepikan sebentar.
  2. Panaskan acuan kuih cara atas dapur gas, bila panas kecilkan api pada tahap minima. Sapu sedikit minyak masak pada setiap ruang acuan (guna daun pandan yang dilipat, diikat dan diracik hujungnya).
  3. Isi adunan tadi dalam bekas bermuncung (kole atau teko) tuang dalam setiap acuan tadi hingga hampir penuh. Letakkan sedikit gula pasir pada setiap kuih (anggaran 1/3 camca teh). Tutup permukaan acuan dengan tudung atau penutup periuk. Masak hingga kuih tidak melekat bila disentuh atau lekang daripada acuan.
  4. Berhati-hati semasa nak keluarkan kuih dari acuan dan sejukkan. Oles sedikit minyak setiap kali memasak kuih yang baru.

Kredit resipi & foto: Wirawati Negara

 

2. TEPUNG GOMAK

 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung pulut
  • Sedikit garam
  • 2/3 cawan air

 

CARA PENYEDIAAN:

  1. Campurkan tepung pulut, garam dan masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan tak melekat di tangan. Pastikan adunan tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembik.
  2. Bulatkan adunan ini (besar 2 kali dari onde-onde gula melaka).

 

BAHAN-BAHAN INTI KELAPA MANIS:

  • 1 biji kelapa parut/kelapa segera/kelapa kering (guna sedikit air panas untuk lembapkannya)
  • 1 biji gula melaka
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 1 sudu besar tepung gandum dibancuh dengan sedikit air sahaja
  • Daun pandan disimpul

 

CARA PENYEDIAAN:

  1. Masak gula melaka, 3/4 cawan gula pasir, daun pandan dengan sedikit air.
  2. Masak sehingga gula melaka hancur, kemudian tapis.
  3. Masukkan kelapa parut tadi. Kalau tiada kelapa parut, boleh guna kelapa kering. (Kelapa kering tambah sedikit air panas untuk lembapkannya)
  4. Masak sekejap atas dapur. Agak-agak dah kering, masukkan bancuhan tepung gandum tadi. Masak sehingga ia lembap-lembap, kemudian sejukkan.
  5. Bulatkan inti-inti tersebut.

 

BAHAN-BAHAN SERBUK TEPUNG GOMAK:

  • 1 cawan kacang hijau

 

CARA PENYEDIAAN:

  1. Bersihkan kacang hijau dan goreng sebentar. Goreng sekejap sahaja, jangan sampai hangit.
  2. Kemudian, kisar kacang sehingga hancur.
  3. Tapis atau ayak dan boleh dijadikan serbuk tepung untuk tepung gomak. Lebihan tepung boleh disimpan.

 

IKLAN

CARA PENYEDIAAN KUIH TEPUNG GOMAK:

  1. Masukkan inti kelapa yang telah dibulatkan ke dalam adunan tepung dan bulatkan.
  2. Sementara itu, panaskan air dan rebus adunan ini.
  3. Bila dah terangkat, angkat dan toskan ia.
  4. Salutkan adunan ini dengan tepung kacang hijau yang telah diayak tadi.
  5. Siap!

Kredit resipi & foto: Pn. Tahrunnisah Jali

 

3. KUIH BOM BIJAN

 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung pulut *
  • 1/2 cawa tepung gandum *
  • 1 sudu besar gula *
  • Secubit garam *
  • Air secukupnya *
  • Bijan
  • Inti ikut suka

 

CARA PENYEDIAAN:

  1. Sediakan bekas dan masukkan semua bahan-bahan bertanda *.
  2. Uli sehingga rata. Pastikan adunan tidak terlalu lembik.
  3. Kemudian, isi inti ke dalam adunan dan golekkan ke dalam bijan. Bulat-bulatkan bagi rata semua bijan tadi.
  4. Perap di dalam peti ais selama 1 jam.
  5. Goreng di atas api sederhana.
  6. Siap!

Kredit resipi & foto: Sis Eita Emie

 

4. BINGKA UBI

 

BAHAN-BAHAN:

  • 4 cawan ubi kayu siap diparut
  • 2 cawan santan pekat daripada sebiji kelapa
  • 1 cawan gula pasir
  • 1/2 sudu teh garam
  • Sedikit pewarna kuning

 

CARA PENYEDIAAN:

  1. Panaskan oven pada suhu 200 ℃ api atas bawah, masukkan semua bahan ke dalam loyang berukuran 7 X 7 inch. Gaul semua bahan sehingga santan sekata dan gula hancur. Ratakan.
  2. Masukkan loyang dalam oven dan letakkan di rak paling bawah. Bakar bingka hingga 1 jam atau 1 jam setengah atau hingga bahagian atas bingka keperangan (20 minit terakhir bakar, sy tukar api atas sahaja untuk dapatkan kerak pada bahagian atas bingka)
  3. Setelah siap bakar, keluarkan bingka. Tunggu bingka sejuk, baru potong. Siap untuk dimakan.

Kredit resipi & foto: Ruhana Parmen

 

5. KUIH ABUK-ABUK

 

BAHAN-BAHAN:

  • 1 1/2 cawan sagu biji
  • 1 cawan kelapa parut (bahagian putih sahaja)
  • Garam secukup rasa
  • Gula melaka (dipotong halus) atau gula merah
  • Daun pisang
  • Lidi (kerat kecil) untuk sematan

 

CARA PENYEDIAAN:

  1. Bilas sagu dengan air bersih dan toskan. Biarkan selama 10 minit.
  2. Campurkan sagu biji dengan kelapa dan garam. Gaul rata.
  3. Bentukkan daun pisang seperti kon untuk dibuat kelongsong. Masukkan campuran bahan tadi ke dalam kelongsong sehingga separuh penuh.
  4. Masukkan sesudu gula melaka atau gula merah.
  5. Masukkan campuran biji sagu tadi untuk penuhi kelongsong (jangan terlalu penuh, tinggal hujung daun untuk lipatan kelongsong).
  6. Lipatkan kelongsong daun pisang. Cucuk batang lidi untuk sematan.
  7. Kukus selama 10-15 minit.

Kredit resipi & foto: Illyani Mokhtar

 

6. KUIH KOCI LABU BERSANTAN

 

BAHAN-BAHAN:

  • 3 cawan tepung pulut
  • Labu (guna separuh sahaja)
  • 1 sudu kecil garam
  • Air secukupnya

 

CARA PENYEDIAAN:

  1. Kukus labu sehingga empuk. Sejukkan seketika.
  2. Satukan labu yang telah disejukkan bersama tepung pulut dan garam. Uli seketika untuk sebatikan sahaja.
  3. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh. Jangan terlalu keras atau lembik ya. Masukkan inti kelapa dan bulat-bulatkan.

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan air sehingga mendidih. Masukkan doh yang telah dibulat-bulatkan tadi. Bila doh dah terapung, maknanya doh dah cukup masak.

 

BAHAN-BAHAN INTI:

  • 1 1/2 cawan kelapa parut (ambil putih sahaja)
  • Gula melaka/gula merah (saya guna 1 1/2 gula kabong)
  • 2 sudu besar gula pasir
  • Air setengah cawan untuk larutkan gula
  • 1 sudu besar tepung gandum dicampur dengan sedikit air (untuk pekatkan inti)

 

CARA MASAK:

  1. Masukkan air dan gula merah atau gula kabong. Masukkan juga gula pasir, biar gula mendidih bersama air sehingga larut.
  2. Kemudian, masukkan kelapa parut.
  3. Akhir sekali, masukkan tepung yang telah dilarutkan dengans sedikit air tadi. Biarkan kering seketika, kemudian sejukkan.

 

BAHAN UNTUK SANTAN CAIR:

  • 2 cawan (saya tambah sedikit air supaya tak terlalu pekat)
  • 3 sudu besar tepung beras
  • Sedikit garam

 

CARA MASAK:

  1. Satukan semua bahan. Kena sentiasa kacau ya. Masak menggunakan api perlahan sehingga pekat.
  2. Kemudian, dah boleh masukkan koci yang telah direbus tadi ke dalam adunan santan.
  3. Seterusnya, boleh mula membungkus koci.

 

TIP UNTUK MEMBUNGKUS KUIH KOCI:

  1. Semasa nak bungkus koci, sapukan sedikit minyak pada daun pisang yang telah dilayurkan terlebih dahulu.
  2. Kemudian, ambil doh yang sudah dimasukkan ke dalam santan tadi menggunakan sudu, letak di tengah-tengah daun pisang.
  3. Lipatkan daun pisang (cara melipat daun boleh rujuk di Google atau YouTube)
  4. Dah siap lipat, panaskan air dalam kukusan. Pastikan air betul-betul dah mendidih dengan api perlahan. Kukus kuih koci selama 7 minit supaya aroma daun pisang naik.
  5. Siap untuk dihidangkan.

Kredit resipi & foto: Wirawati Negara

 

Jika anda sedang mencari FOOD STEAMER, boleh klik DISINI.

SUMBER: ORESEPI

 

Artikel menarik untuk anda:

Resipi Apam Pisang Daun Rambai Yang Lembut & Gebu

Comelnya Apam Cornetto Ini. Nak Makan Pun Rasa Sayang!

Ini Resipi Kuih Lopes Yang Sedap & Mudah, Hanya Tekap Guna Cawan

 

Resipi yang boleh anda cuba di rumah: