Air tangan yang paling enak merupakan air tangan seorang ibu. Tentunya setiap orang daripada kita mempunyai kenangan masakan ibu tercinta yang tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila. Terdapat pelbagai jenis masakan termasuk kuih muih tradisional yang pernah dimasak oleh ibu kita dan kesedapannya pasti terbayang sehingga kini. RASA kembalikan nostalgia enam jenis kuih tradisional yang tidak lapuk dek zaman. Kini anda boleh cuba memasaknya untuk anak-anak anda pula. Ternyata, kuih tradisional tidaklah sesukar yang disangka. Yang penting, kena rajin…
PULI IBU KAYU
BAHAN-BAHAN:
300gm ubi kayu | kisar dan perah airnya
150gm sagu | rendam selama 5 minit
BAHAN UNTUK AIR GULA:
200gm gula merah
200gm gula pasir
150ml air
BAHAN SALUT:
½ biji kelapa parut
Sedikit garam
CARA MEMASAK:
Campurkan ubi kayu dan sagu, gaul sekata. Sediakan satu loyang berukuran 6 inci dan tuang adunan tadi ke dalam loyang tersebut dan tekan-tekan sedikit. Kukus selama 30 minit. Ketepikan.
Untuk membuat kelapa parut untuk menyalut puli ibu kayu; satukan kelapa parut dan garam secukup rasa. Ketepikan.
Untuk membuat air gula; didihkan air bersama gula merah dan gula pasir. Biarkan ia mereneh sehingga memekat. Tutup api. Ketepikan.
Potong puli ubi kayu dan salut dengan kelapa tadi. Tuang air gula dan sedia untuk dinikmati.
Saiz hidangan: 3-4 orang
Waktu memasak: 50 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa unik ubi kayu dan manis air gula
Jenis masakan : Kuih muih
Cara memasak : Rebus dan kukus
Anggaran kos: RM10
Info chef: Boleh tambah pewarna mengikut pilihan anda untuk mencantikkan kuih tersebut.
APAM NASI
BAHAN-BAHAN A (TAPAI NASI):
1 cawan nasi sejuk
400ml air
200gm gula pasir
Ads
11gm yis
BAHAN B:
200gm tepung beras
200gm tepung gandum
BAHAN KELAPA PARUT:
Kelapa parut secukupnya
Garam secukupnya
BAHAN LAIN:
Air secukupnya
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
Kisar halus kesemua bahan A. Ketepikan.
Kelapa parut dan garam digaul sebati. Ketepikan.
Kemudian masukkan bahan A ke dalam adunan bahan B (tepung). Gaul sekata dan perap selama 3 jam. Ketepikan.
Didihkan air di dalam kukusan. Sediakan acuan apam dan oleskan sedikit minyak masak di permukaan dalamnya. Tuang adunan yang telah diperap tadi dan kukus selama 15 minit.
Setelah masak, keluarkan apam dan masukkan ke dalam pinggan. Tabur kelapa parut di atasnya.
Sedia dinikmati.
Saiz hidangan: 3-5 orang
Waktu memasak: 4 jam
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Apam yang gebu
Jenis masakan : Kuih muih
Cara memasak : Rebus dan kukus
Anggaran kos: RM10
Info chef: Boleh tambah pewarna mengikut pilihan anda. Waktu memasak bergantung pada saiz acuan.
LOMPAT TIKAM
BAHAN-BAHAN:
BAHAGIAN PULUT:
1 cawan beras pulut |bersihkan
Air secukupnya
Pewarna merah secukupnya
30ml minyak masak
5gm garam halus
80ml air
BAHAN B (TEPUNG HIJAU):
11/2 cawan tepung beras
4 cawan air pandan
Sedikit pewarna hijau
10gm air kapur
BAHAN C (KEPALA SANTAN):
80gm tepung beras
500ml santan pekat
5gm garam
BAHAN D (GULA MERAH):
200gm gula merah
100gm gula pasir
200ml air
CARA MEMASAK:
Untuk membuat pulut; rendam beras pulut bersama air dan pewarna merah.
Buang air dan masukkan minyak masak, garam halus dan air. Tanak pulut sehingga masak sepenuhnya. Angkat dan ketepikan.
Untuk membuat tepung hijau; masukkan kesemua bahan B ke dalam kuali. Kacau sehingga tidak berketul menggunakan api sederhana. Sentiasa kacau sehingga masak.
Masukkan ke dalam loyang dan sejukkan. Ketepikan.
Untuk membuat kepala santan; Campurkan kesemua bahan di dalam satu periuk dan masak di atas api kecil. Kacau sentiasa sehingga ia memekat. Setelah masak, angkat dan tutup api. Ketepikan.
Untuk membuat air gula; didihkan air dan masukkan semua bahan D. Kacau sehingga cair. Angkat dan tapis.
Untuk menghidang, letakkan kesemuanya di dalam bekas dan akhir sekali tuang air gula di atasnya.
Sedia dinikmati.
Saiz hidangan: 3-5 orang
Waktu memasak:1 jam
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa lemak dan manis gula merah
Jenis masakan : Kuih muih
Cara memasak : Tanak dan kukus
Anggaran kos: RM14
Info chef: Boleh juga masukkan lompat tikam di dalam bekas-bekas kecil untuk lebih cantik.
CUCUR JAWA
BAHAN-BAHAN:
250 gm tepung gandum
Ads
100gm tepung beras
200ml air
200gm gula merah
50ml gula pasir
200ml minyak masak
CARA MEMASAK:
Masak air bersama gula merah dan gula pasir. Tapis dan sejukkan. Ketepikan.
Campur kedua-dua tepung ke dalam satu bekas. Bancuh bersama air gula tadi. Ketepikan.
Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tuang satu senduk adunan tadi ke dalam kuali. Gunakan api perlahan.
Biarkan ia membentuk di dalam kuali dan kemudian terbalikkan kuih tersebut.
Angkat dan toskan. Ulangi langkah hingga selesai.
Sedia dinikmati panas.
Saiz hidangan: 3-5 orang
Waktu memasak:45 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa manis dan kenyal bila dikunyah
Jenis masakan : Kuih muih
Cara memasak : Rebus dan goreng
Anggaran kos: RM10
Info chef: Enak dinikmati bersama secawan teh o panas.
KOLEH KACANG
BAHAN-BAHAN:
300ml santan pekat | masak hingga jadi tahi minyak
200gm gula merah
50gm gula pasir
500ml santan
200ml tepung kacang hijau
CARA MEMASAK:
Untuk membuat tahi minyak; masak santan di dalam kuali. Kacau sehingga ia bergentel dan berminyak. Angkat dan ketepikan.
Satukan semua bahan selebihnya di dalam kuali. Kacau perlahan di atas api perlahan sehingga ia memekat.
Tuang ke dalam loyang dan ratakan. Tabur tahi minyak di atasnya.
Setelah sejuk, boleh dipotong.
Sedia dinikmati.
Saiz hidangan: 3-5 orang
Waktu memasak: 45 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa lemak dan aroma tahi minyak yang unik
Ads
Jenis masakan : Kuih muih
Cara memasak : Goreng
Anggaran kos: RM12
Info chef: Lebih elok masak di dalam kuali untuk memudahkan mengacaunya.
KUIH TEPUNG KAPUR
BAHAN-BAHAN:
3 cawan tepung gandum
2 cawan air
1/2 keping manisan
1 sudu teh kapur makan |bancuh dengan sedikit air
Garam secukup rasa
BAHAN KELAPA PARUT:
Kelapa parut secukupnya
Sedikit garam
CARA MEMASAK:
Masakkan manisan dengan air sampai cair. Sejukkan. Ketepikan.
Masukkan air manisan tadi ke dalam tepung gandum. Masukkan sedikit-sedikit. Adunannya tidak cair sangat dan tidak pekat dan likat. Masukkan sekali bancuhan air kapur makan dan masukkan garam secukup rasa.
Tapiskan dalam loyang yang telah dioles dengan minyak atau mentega.
Kukus dalam masa 30 – 45 minit.
Apabila masak, sejukkan, kemudian potonglah kuih ni mengikut cita rasa.
Untuk membuat kelapa parut, gaul sebati kelapa parut dengan garam sikit. Kemudian gaulkan kuih yang sudah dipotong tadi dengan kelapa parut.
Sedia dinikmati.
Saiz hidangan: 3-5 orang
Waktu memasak: 1 jam
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa manis dan kenyal bila dikunyah
Jenis masakan : Kuih muih
Cara memasak : Rebus dan kukus
Anggaran kos: RM10
Info chef: Boleh gantikan manisan dengan gula melaka. Agak sama dengan kaswi tetapi teksturnya lebih kenyal.
Resipi: Terima kasih Nor Azizah Ghazali, Shah Alam Selangor
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Pernah cuba Kuih Tepung Puli? Rupanya seakan laksam namun mempunyai rasa lebih lemak dan manis. Katanya kuih ini adalah kuih tradisional orang Melaka tetapi sekarang boleh juga dikatakan susah untuk jumpa peniaga yang menjual kuih tradisi ni. Bagi anda yang nak cuba masak sendiri, saudari Hairunniza Ahmad ada kongsikan resipinya. Selamat mencuba!
KUIH TEPUNG PULI
BAHAN-BAHAN:
1 bungkus tepung pulut (500gm)
2 1/2 cawan tepung sagu
5 cawan santan
2 cawan gula pasir – kurangkan jumlah jika tak suka manis
Pewarna pilihan
Daun pisang secukupnya – dilayurkan
CARA MEMASAK:
1. Satukan tepung pulut bersama tepung sagu. Adun rata dan ketepikan.
2. Masak santan dan gula pasir hingga larut. Padam api dan biarkan sejuk.
3. Tuang santan ke dalam bekas berisi campuran tepung pulut dan tepung sagu. Adun hingga rata dan tidak berketul.
4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu dibiarkan pada warna asal dan satu lagi ditambah pewarna.
5. Panaskan kukusan dan sapu sedikit minyak pada tudung periuk atau loyang.
6. Tuang satu senduk adunan. Ratakan dan masak selama 5 minit.
7. Kemudian tuang satu senduk lagi adunan berlainan. Biarkan masak.
8. Gulung kuih dengan kemas dan pindahkan ke atas daun pisang. Gulung kemas sekali lagi.
9. Setelah sejuk, Kuih Tepung Puli boleh dipotong dan dihidangkan.
Apam Telur memang sedap dimakan bersama kelapa parut muda. Ada juga yang panggil apam lambung. Bagi anda yang ingin cuba buat sendiri kuih ini di rumah boleh sangat. Boleh cuba ikut resipi yang dikongsikan oleh Muliadi Ramli ini. Sangat mudah dan sememangnya bahan yang digunakan juga sangat mudah untuk didapatkan. Sesuai sangat buat menu minum petang.
RESIPI APAM TELUR
BAHAN-BAHAN:
2 cawan tepung beras – beli online 1 sudu besar tepung ubi – beli online 1 sudu kecil yis mauripan – beli online Garam secukup rasa – beli online 1/2 cawan gula (kalau suka manis letak lebih) – beli online Pewarna kuning Perasa vanilla ( untuk hilangkan hanyir telur…tak letak pun tak apa) 2 cawan air 5 biji telur Kelapa parut putih sahaja (kukus dalam 10 minit dan campur sedikit garam untuk tahan lama)
CARA MEMBUAT:
1. Campurkan tepung beras, yis, tepung ubi, garam dan gula. Masukkan air sedikit demi sedikit. Kacau rata. Tutup. Biarkan 1 jam hingga ke 2 jam.
2. Selepas itu ambil adunan tadi, masukkan sedikit pewarna kuning dan perasa vanilla. Kemudian masukkan dalam satu bekas lain.
3. Masukkan telur dan adunan. Pukul bagi sebati. Masukkan ke dalam bekas acuan (sapu minyak pada acuan agar adunan tidak melekat).
4. Bakar di atas api perlahan. Apabila sudah keperangan (boleh bakar bahagian bawahnya). Apabila sudah masak, bolehlah diangkat dan dimakan dengan kelapa parut.
Memasak adalah satu skill yang unik. Apatah lagi skill memasak kuih-muih tradisional yang memerlukan ketelitian dan kesabaran. Walau nampak mudah, tidak semua yang memasak kuih tradisional boleh berpuas hati dengan kualiti rupa dan rasanya.
Bagi CEO Fadeco Group Sdn Bhd merangkap Pengarah Rekaan (Design) di Fabello Interior, Fara Mustapa, minat memasak yang dimiliki membuatkan beliau kerap memasak terutama kuih tradisional.
“Saya suka buat kuih tradisional sebab saya rasa kuih Melayu ni sebenarnya sangat mudah cuma perlukan kesabaran dan teknik yang betul untuk dapatkan hasil kuih yang cantik. Selain karipap, kuih lain yang saya suka buat adalah kuih seri muka, kuih lapis, donat, kuih keria, kuih bingka pandan, apam nasi sejuk dan bingka ubi. Tapi kuih seri muka antara kuih yang saya sangat suka buat sebab mencabar. Berkali-kali saya buat try and error untuk dapatkan tekstur yang cantik dan sempurna serta rasa yang sedap,” katanya memulakan bicara.
Walaupun pada hari ini menyaksikan banyak resipi kuih tradisional yang dimodenkan, Fara mempunyai pendapatnya yang tersendiri. Misalnya kuih karipap yang diletakkan keju sebagai intinya.
“Pada pandangan saya, saya lebih suka mengekalkan rasa asli resipi tradisional itu sendiri tetapi boleh dimodenkan dari segi rupa bentuk ataupun warna. Jika rasa kuih itu telah dimodenkan, ianya tidak lagi menjadi kuih tradisional.
Jom kita lihat resipi karipap yang dikongsikan oleh Fara.
KARIPAP DAGING RANGUP
BAHAN INTI KARIPAP
Minyak masak untuk menumis
1 tangkai daun kari
4 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar serbuk cili (tidak perlu jika tidak mahu pedas)
1 cawan daging (dipotong dadu/kisar)
1 cawan ubi kentang (dipotong dadu)
2 cawan ubi keledek oren (dipotong dadu)
Garam dan gula secukup rasa
2 tangkai daun sup dan daun bawang (dihiris)
BAHAN KISAR
3 sudu besar udang kering (rendam sekejap supaya lembut)
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
CARA MEMBUAT INTI KARIPAP
1. Panaskan minyak masak dalam kuali.
2. Tumis bahan kisar dan daun kari hingga naik bau.
3. Masukkan rempah kari dan serbuk cili yang telah dicampurkan dengan sedikit air (sehingga menjadi pes). Masak pes kari sekejap sehingga sedikit garing.
4. Masukkan daging dan masak sehingga daging empuk.
5. Masukkan ubi kentang, ubi keledek dan air sedikit. Masak sehingga ubi kentang dan ubi keledek empuk.
6. Masukkan sedikit garam, gula, daun sup dan daun bawang. Kemudian masak sehingga kering.
7. Ketepikan dahulu dan sementara tunggu sejuk boleh sediakan doh untuk kulit karipap pula.
BAHAN KULIT KARIPAP
160 ml minyak jagung
500 gram tepung gandum
1 sudu kecil garam halus
1 biji jus limau kasturi (perah dan buang biji)
200 ml air sejuk dari peti ais
CARA MEMBUAT KULIT KARIPAP
1. Panaskan minyak jagung hingga betul-betul panas.
2. Tuang tepung gandum ke dalam bekas adunan.
3. Tuang minyak jagung panas tadi ke dalam adunan tepung.
4. Gaul sebati guna senduk kayu perlahan-lahan kerana minyak masih panas. Kacau adunan sehingga menjadi seperti serbuk roti.
5. Masukkan sedikit garam dan perahan limau kasturi ke dalam air sejuk dari peti ais dan tuang sikit demi sedikit.
6. Uli adunan sehingga lembut dan adunan tidak melekat di tangan. Boleh taburkan sedikit tepung dan sambung uli jika adunan lembik atau tambahkan sedikit air jika rasa adunan keras.
7. Kemudian masukkan doh ke dalam beg plastik yang bersih atau boleh balut dengan wrapping plastic. Bungkus kedap dan perap doh selama 15-30minit.
8. Biar sehingga doh berpeluh dan menjadi doh yang lembut serta elastik.
CARA PENYEDIAAN KARIPAP
1. Apabila doh telah lembut dan elastik, keluarkan dari plastik dan canai.
2. Boleh terap adunan yang dicanai tadi menggunakan acuan bulat atau cawan. Boleh juga ketipkan karipap menggunakan acuan karipap.
3. Susun karipap yang telah diletakkan inti tadi ke atas dulang yang telah disapukan sedikit minyak masak atau ditabur tepung agar kulit karipap tadi tidak rosak atau terkoyak ketika diangkat untuk digoreng.
4. Panaskan minyak masak yang banyak dalam kuali. Kemudian bolehlah mula menggoreng karipap sehingga kekuningan.
TIP PENTING KETIKA MENGGORENG
1. Panaskan minyak masak kemudian perlahan semula api sebelum masukkan karipap.
2. Minyak masak tidak boleh terlalu panas bagi mengelakkan kulit karipap menggerutu atau berbonjol.
3. Kulit karipap juga jangan dicanai terlalu nipis bagi menghasilkan kulit karipap yang cantik dan licin ketika digoreng.
4. Minyak masak juga jangan terlalu tidak panas kerana nanti kulit karipap akan menyerap minyak yang banyak ketika goreng. Jadi perlu sesuaikan api dan kepanasan minyak masak ikut dapur masing-masing.