Resipi Kuih Muih Tradisional Sedap Dan Masih Terus Dicari

Share

Air tangan yang paling enak merupakan air tangan seorang ibu. Tentunya setiap orang daripada kita mempunyai kenangan masakan ibu tercinta yang tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila. Terdapat pelbagai jenis masakan termasuk kuih muih tradisional yang pernah dimasak oleh ibu kita dan kesedapannya pasti terbayang sehingga kini. RASA kembalikan nostalgia enam jenis kuih tradisional yang tidak lapuk dek zaman. Kini anda boleh cuba memasaknya untuk anak-anak anda pula. Ternyata, kuih tradisional tidaklah sesukar yang disangka. Yang penting, kena rajin…

 

PULI IBU KAYU 

BAHAN-BAHAN:

300gm ubi kayu | kisar dan perah airnya

150gm sagu | rendam selama 5 minit

BAHAN UNTUK AIR GULA:

200gm gula merah

200gm gula pasir

150ml air

BAHAN SALUT:

½ biji kelapa parut

Sedikit garam

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan ubi kayu dan sagu, gaul sekata. Sediakan satu loyang berukuran 6 inci dan tuang adunan tadi ke dalam loyang tersebut dan tekan-tekan sedikit. Kukus selama 30 minit. Ketepikan.
  2. Untuk membuat kelapa parut untuk menyalut puli ibu kayu; satukan kelapa parut dan garam secukup rasa. Ketepikan.
  3. Untuk membuat air gula; didihkan air bersama gula merah dan gula pasir. Biarkan ia mereneh sehingga memekat. Tutup api. Ketepikan.
  4. Potong puli ubi kayu dan salut dengan kelapa  tadi. Tuang air gula dan sedia untuk dinikmati.

Saiz hidangan: 3-4 orang

Waktu memasak: 50 minit

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Rasa unik ubi kayu dan manis air gula

Jenis masakan : Kuih muih

Cara memasak : Rebus dan kukus

Anggaran kos: RM10

Info chef: Boleh tambah pewarna mengikut pilihan anda untuk mencantikkan kuih tersebut.

 

APAM NASI 

BAHAN-BAHAN A (TAPAI NASI):

1 cawan nasi sejuk

400ml air

200gm gula pasir

11gm yis

BAHAN B:

200gm tepung beras

200gm tepung gandum

BAHAN KELAPA PARUT:

Kelapa parut secukupnya

Garam secukupnya

BAHAN LAIN:

Air secukupnya

Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kisar halus kesemua bahan A. Ketepikan.
  2. Kelapa parut dan garam digaul sebati. Ketepikan.
  3. Kemudian masukkan bahan A ke dalam adunan bahan B (tepung). Gaul sekata dan perap selama 3 jam. Ketepikan.
  4. Didihkan air di dalam kukusan. Sediakan acuan apam dan oleskan sedikit minyak masak di permukaan dalamnya. Tuang adunan yang telah diperap tadi dan kukus selama 15 minit.
  5. Setelah masak, keluarkan apam dan masukkan ke dalam pinggan. Tabur kelapa parut di atasnya.
  6. Sedia dinikmati.

Saiz hidangan: 3-5 orang

Waktu memasak: 4 jam

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Apam yang gebu

Jenis masakan : Kuih muih

Cara memasak : Rebus dan kukus

Anggaran kos: RM10

Info chef: Boleh tambah pewarna mengikut pilihan anda. Waktu memasak bergantung pada saiz acuan.

 

LOMPAT TIKAM 

BAHAN-BAHAN:

BAHAGIAN PULUT:

1 cawan beras pulut |bersihkan

Air secukupnya

Pewarna merah secukupnya

30ml minyak masak

5gm garam halus

80ml air

BAHAN B (TEPUNG HIJAU):

11/2 cawan tepung beras

4 cawan air pandan

Sedikit pewarna hijau

10gm air kapur

BAHAN C (KEPALA SANTAN):

80gm tepung beras

500ml santan pekat

5gm garam

BAHAN D (GULA MERAH):

200gm gula merah

100gm gula pasir

200ml air

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat pulut; rendam beras pulut bersama air dan pewarna merah.
  2. Buang air dan masukkan minyak masak, garam halus dan air. Tanak pulut sehingga masak sepenuhnya. Angkat dan ketepikan.
  3. Untuk membuat tepung hijau; masukkan kesemua bahan B ke dalam kuali. Kacau sehingga tidak berketul menggunakan api sederhana. Sentiasa kacau sehingga masak.
  4. Masukkan ke dalam loyang dan sejukkan. Ketepikan.
  5. Untuk membuat kepala santan; Campurkan kesemua bahan di dalam satu periuk dan masak di atas api kecil. Kacau sentiasa sehingga ia memekat. Setelah masak, angkat dan tutup api. Ketepikan.
  6. Untuk membuat air gula; didihkan air dan masukkan semua bahan D. Kacau sehingga cair. Angkat dan tapis.
  7. Untuk menghidang, letakkan kesemuanya di dalam bekas dan akhir sekali tuang air gula di atasnya.
  8. Sedia dinikmati.

Saiz hidangan: 3-5 orang

Waktu memasak:1 jam

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan :  Rasa lemak dan manis gula merah

Jenis masakan : Kuih muih

Cara memasak : Tanak dan kukus

Anggaran kos: RM14

Info chef: Boleh juga masukkan lompat tikam di dalam bekas-bekas kecil untuk lebih cantik.

 

CUCUR JAWA  

BAHAN-BAHAN:

250 gm tepung gandum

100gm tepung beras

200ml air

200gm gula merah

50ml gula pasir

200ml minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Masak air bersama gula merah dan gula pasir. Tapis dan sejukkan. Ketepikan.
  2. Campur kedua-dua tepung ke dalam satu bekas.  Bancuh bersama air gula tadi. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tuang satu senduk adunan tadi ke dalam kuali. Gunakan api perlahan.
  4. Biarkan ia membentuk di dalam kuali dan kemudian terbalikkan kuih tersebut.
  5. Angkat dan toskan. Ulangi langkah hingga selesai.
  6. Sedia dinikmati panas.

Saiz hidangan: 3-5 orang

Waktu memasak:45 minit

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan :  Rasa manis dan kenyal bila dikunyah

Jenis masakan : Kuih muih

Cara memasak : Rebus dan goreng

Anggaran kos: RM10

Info chef: Enak dinikmati bersama secawan teh o panas.

 

 

KOLEH KACANG 

BAHAN-BAHAN:

300ml santan pekat | masak hingga jadi tahi minyak

200gm gula merah

50gm gula pasir

500ml santan

200ml tepung kacang hijau

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat tahi minyak; masak santan di dalam kuali. Kacau sehingga ia bergentel dan berminyak. Angkat dan ketepikan.
  2. Satukan semua bahan selebihnya di dalam kuali. Kacau perlahan di atas api perlahan sehingga ia memekat.
  3. Tuang ke dalam loyang dan ratakan. Tabur tahi minyak di atasnya.
  4. Setelah sejuk, boleh dipotong.
  5. Sedia dinikmati.

Saiz hidangan: 3-5 orang

Waktu memasak: 45 minit

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan :  Rasa lemak dan aroma tahi minyak yang unik

Jenis masakan : Kuih muih

Cara memasak : Goreng

Anggaran kos: RM12

Info chef: Lebih elok masak di dalam kuali untuk memudahkan mengacaunya.

 

KUIH TEPUNG KAPUR 

BAHAN-BAHAN:

3 cawan tepung gandum

2 cawan air

1/2 keping manisan

1 sudu teh kapur makan |bancuh dengan sedikit air

Garam secukup rasa

BAHAN KELAPA PARUT:

Kelapa parut secukupnya

Sedikit garam

CARA MEMASAK:

  1. Masakkan manisan dengan air sampai cair. Sejukkan. Ketepikan.
  2. Masukkan air manisan tadi ke dalam tepung gandum. Masukkan sedikit-sedikit. Adunannya tidak cair sangat dan tidak pekat dan likat. Masukkan sekali bancuhan air kapur makan dan masukkan garam secukup rasa.
  3. Tapiskan dalam loyang yang telah dioles dengan minyak atau mentega.
  4. Kukus dalam masa 30 – 45 minit.
  5. Apabila masak, sejukkan, kemudian potonglah kuih ni mengikut cita rasa.
  6. Untuk membuat kelapa parut, gaul sebati kelapa parut dengan garam sikit. Kemudian gaulkan kuih yang sudah dipotong tadi dengan kelapa parut.
  7. Sedia dinikmati.

Saiz hidangan: 3-5 orang

Waktu memasak: 1 jam

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan :  Rasa manis dan kenyal bila dikunyah

Jenis masakan : Kuih muih

Cara memasak : Rebus dan kukus

Anggaran kos: RM10

Info chef: Boleh gantikan manisan dengan gula melaka. Agak sama dengan kaswi tetapi teksturnya lebih kenyal.

 

Resipi: Terima kasih Nor Azizah Ghazali, Shah Alam Selangor

Published by
Putri