Resipi Kuih Tepung Puli. Manisan Tradisi Orang Melaka Yang Sangat Sedap.

Share

Pernah cuba Kuih Tepung Puli? Rupanya seakan laksam namun mempunyai rasa lebih lemak dan manis. Katanya kuih ini adalah kuih tradisional orang Melaka tetapi sekarang boleh juga dikatakan susah untuk jumpa peniaga yang menjual kuih tradisi ni. Bagi anda yang nak cuba masak sendiri, saudari Hairunniza Ahmad

ada kongsikan resipinya. Selamat mencuba!

 

KUIH TEPUNG PULI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 bungkus tepung pulut (500gm)
  • 2 1/2 cawan tepung sagu
  • 5 cawan santan
  • 2 cawan gula pasir – kurangkan jumlah jika tak suka manis
  • Pewarna pilihan
  • Daun pisang secukupnya – dilayurkan

CARA MEMASAK:

1. Satukan tepung pulut bersama tepung sagu. Adun rata dan ketepikan.

2. Masak santan dan gula pasir hingga larut. Padam api dan biarkan sejuk.

3. Tuang santan ke dalam bekas berisi campuran tepung pulut dan tepung sagu. Adun hingga rata dan tidak berketul.

4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu dibiarkan pada warna asal dan satu lagi ditambah pewarna.

5. Panaskan kukusan dan sapu sedikit minyak pada tudung periuk atau loyang.

6. Tuang satu senduk adunan. Ratakan dan masak selama 5 minit.

7. Kemudian tuang satu senduk lagi adunan berlainan. Biarkan masak.

8. Gulung kuih dengan kemas dan pindahkan ke atas daun pisang. Gulung kemas sekali lagi.

9. Setelah sejuk, Kuih Tepung Puli boleh dipotong dan dihidangkan.

 

Kredit resipi & foto: Hairunniza Ahmad

Published by
Nur