Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Membuka Selera

Share

Buntu memikirkan resipi lauk pauk yang hendak dimasak setiap hari? Bila ulang menu yang sama, pasti jemu. Oleh itu jom cuba koleksi resipi lauk pauk sedap dan mudah yang RASA kongsikan ini. Sesuai untuk hidangan makan tengahari keluarga tercinta. Jom cuba!

1. GULAI LEMAK SEPUT SEDUT BERSAMA DAUN KADUK DAN KELEDEK

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg siput sedut | bersihkan, potong ekornya
  • 500ml santan pekat
  • 250gm ubi keledek | buang kulit dan potong dadu
  • 150gm daun kaduk
  • 2 batang serai | titik
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam, gula dan perasa secukupnya
  • Sedikit minyak untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 3cm kunyit hidup
  • 2cm halia
  • 16 biji cili padi
  • 3 ulas bawang merah
  • 1 ulas bawang putih

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk,
  2. Masukkan bahan kisar, dan tumis hingga wangi, kemudian masukkan santan.
  3. Didikan di atas api sederhana bersama daun kaduk dan keledek.
  4. Setelah mendidih masukkan serai dan asam gelugor.
  5. Selepas dua minit masukkan siput sedut.
  6. Kemudian perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa.
  7. Tutup api dan gulai sedia dihidangkan.

2. SAMBAL PARU GORENG KAMPUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm paru | rebus dan hiris nipis
  • 1 sudu air asam jawa
  • 1 biji bawang Holland | hiris bulat
  • Garam, gula dan perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng dan menumis

BAHAN KISAR:

  • 6 biji cili merah
  • 5 ulas bawang
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia
  • 2 batang serai

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, goreng paru yang telah direbus (jangan terlalu garing). Angkat dan ketepikan.
  2. Menggunakan kuali lain, panaskan sedikit minyak, kemudian tumis bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak.
  3. Masukkan air asam dan perasakan dengan garam, gula dan perasa secukup rasa.
  4. Apabila kuah agak garing masukkan hirisan bawang Holland bersama paru.
  5. Gaul rata kemudian tutup api.
  6. Sambal paru sedia dihidangkan.

3. IKAN KEMBUNG GORENG CILI

BAHAN-BAHAN:

  • 6 ekor ikan kembung | dilumur garam dan digoreng
  • 4 sudu makan kicap manis
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 4 sudu makan sos cili
  • 5 biji cili padi | dikisar
  • 4 biji bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 1 biji bawang besar Holland | dihiris
  • 1cm halia | dihiris halus
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • 8 biji cili padi | dibuang tangkai
  • Sedikit air
  • Minyak masak secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar hingga garing.
  2. Kemudian masukkan hirisan bawang putih, bawang besar, halia dan cili padi. Kacau sehingga naik bau.
  3. Seterusnya masukkan kicap manis, kicap pekat, serbuk lada hitam dan sos cili. Kacau rata. Tambahkan sedikit air. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan ikan. Perasakan dengan garam jika perlu. Gaul rata dan biarkan mendidih seketika.
  5. Sedia untuk dinikmati.

4. DAGING GORENG KUNYIT BERKENTANG

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm daging batang pinang | hiris nipis, cuci dan tos
  • 2 biji kentang | buang kulit dan potong dadu
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 4 ulas bawang putih |cincang
  • 3cm halia | hiris halus memanjang
  • 2 batang serai | titik
  • 2 biji cili merah | hiris serong
  • 2 biji cili hijau | hiris serong
  • 1 batang seleri |hiris serong
  • 1 sudu serbuk kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng
  • Minyak masak | untuk menumis dan menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, goreng kentang separa masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Kemudian gorengkan daging yang digaulkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit .
  3. Goreng hingga separuh masak, angkat dan ketepikan.
  4. Dalam kuali lain, panaskan sedikit minyak .
  5. Tumiskan hirisan bawang merah, bawang putih, halia dan serai hingga wangi.
  6. Masukkan pula h serbuk kunyit, kacau seketika dan masukkan daging.
  7. Kacau rata, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  8. Kacau lagi seketika dan tutup api.
  9. Daging Goreng Kunyit sedia dihidangkan.

5. DAGING GORENG BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging batang pinang| hiris nipis
  • 1 biji bawang Holland | hiris bulat
  • 1 batang seleri | hiris serong
  • 3 tangkai daun kari | lurutkan dari tangkai
  • 2 sudu makan rempah kari daging
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 sudu makan yogurt
  • 3 sudu makan minyak masak untuk menumis

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunya lawang
  • 5 biji buah pelaga

BAHAN KISAR:

  • 6 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 2 batang serai

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumiskan bahan rempah penumis , daun kari, diikuti bahan kisar. Tumis hingga wangi.
  2. Kemudian masukkan bancuhan rempah kari yang dicampur dengan serbuk cili. Kacau rata hingga timbul minyak.
  3. Masukkan daging, terus kacau hingga daging layu.
  4. Apabila daging layu masukkan yogurt, hirisan batang seleri dan bawang Holland.
  5. Apabila air daging kering, perasakan dengan yogurt, garam dan gula secukup rasa.
  6. Angkat dan hidangkan panas-panas .

 

Anda sedang mencari KUALI NON STICK? Boleh cari DISINI.

 

Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official:

 

Published by
Naqiyatul Uzma