Resipi Lauk Pauk Mudah Difrozenkan, Mak-Mak Sibuk Boleh Cuba !

Share

Mengeluh sibuk tak sempat masak tapi nak makan sedap. Ok, ini idea bagus RASA nak kongsikan untuk selesaikan masalah. Kebetulan hujung minggu ni cuti panjang, jom kita berkarya di dapur dengan memasak pelbagai lauk pauk. Bukan  nak kenduri ye, tapi kita pek dan frozenkan  untuk lauk pauk seminggu.

Bila ada stok lauk pauk frozen, takdalah anda tergocoh-gocoh nak ke dapur di hari-hari bekerja. Balik  dari kerja nanti anda hanya  perlu masak nasi  dan sayur je. Lauk sudah ada, Cuma panaskan lauk saja. Berikut empat menu lauk pauk berempah mudah dan sedap yang sesuai difrozenkan:-

AYAM MASAK KICAP BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg ayam | potong sederhana, cuci dan tos
  • 2 biji kentang | belah empat
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 3 sudu makan cili kering kisar
  • 1 sudu makan rempah kari
  • Kicap manis secukupnya
  • Sedikit air
  • Serbuk perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng dan menumis

BAHAN KISAR:

  • 3 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 1 batang serai

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam kuali.
  2. Sementara itu gaulkan ayam bersama garam dan kunyit.
  3. Goreng hingga separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  4. Diikuti pula dengan menggoreng kentang. Angkat dan ketepikan.
  5. Seterus, keluarkan minyak tinggal sedikit untuk menumis.
  6. Tumiskan bahan rempah penumis hingga wangi.
  7. Kemudian masukkan bahan kisar, diikuti dengan cili kisar. Kacau hingga pecah minyak.
  8. Masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air, kacau seketika baru masukkan ayam.
  9. Tambahkan dengan kicap pekat manis, sos tiram air dan perasa secukup rasa.
  10. Akhir sekali masukkan kentang.
  11. Kecilkan api kacau rata seketika.
  12. Angkat dan sedia dihidangkan.

KARI DAGING CAMPUR TULANG
BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging  | potong kecil, cuci dan tos
  • 1kg tulang
  • 1 liter santan
  • 3 biji kentang | belah empat
  • 1/2 cawan air asam Jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 5 sudu makan rempah kari daging
  • 2 sudu makan serbuk cili
  • 5 sudu makan minyak masak

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 4 ulas buah pelaga
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 2 tangkai daun kari |lurutkan dari tangkai

BAHAN HIRIS:

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2sm halia

BAHAN KISAR:

  • 1 biji bawang bawang besar
  • 5 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2sm halia
  • 2sm lengkuas
  • 2 batang serai

 CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumiskan bahan rempah penumis hingga wangi.
  2. Masukkan bahan hirisan, kacau lagi hingga kekuningan.
  3. Masukkan bahan kisar, kacau seketika masukkan pula rempah kari yang dicampur dengan serbuk cili dan dibancuh dengan sedikit air.
  4. Terus kacau hingga bahan tumisan pecah minyak.
  5. Masukkan daging dan tulang, kacau hingga air daging keluar dan daging empuk.
  6. Apabila air kering masukkan air asam Jawa dan diikuti santan serta kentang.
  7. Biarkan mereneh lebih kurang 8-10 minit di atas api sederhana.
  8. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  9. Apabila timbul minyak. Tutup api.
  10. Kari sedia dihidangkan.

 SUP TULANG CAMPUR DAGING  

BAHAN-BAHAN:

  • 1 1/2kg daging campur tulang | rebus sampai empuk
  • 2 biji kentang | belah empat
  • 1/2 batang lobak merah | potong dadu
  • 2 biji tomato | belah empat
  • 1 sudu makan rempah sup
  • 1 sudu makan rempah kurma
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit minyak masak | untuk menumis
  • Sedikit hirisan daun bawang dan sup

BAHAN KISAR:

  • 1 biji  bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 1 batang serai

BAHAN HIRIS:

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia muda

REMPAH PENUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 biji buah pelaga
  • 5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumikan rempah penumis hingga naik bau.
  2. Masukkan bahan hirisan, kacau hingga bertukar warna kekuningan.
  3. Seterusnya masukkan rempah sup dan kurma yang dibancuh dengan sedikit air.
  4. Kacau hingga pecah minyak dan masukkan daging dan tulang yang telah direbus tadi, bersama airnya sekali.
  5. Tambahkan air secukupnya dan masukkan asam gelugor, kentang dan lobak merah.
  6. Kemudian perasakan dengan garam, gula, lada sulah secukupnya.
  7. Biarkan mereneh lebih kurang 10 minit atas api sederhana.
  8. Tutup api dan masukkan hirisan tomato.
  9. Sebelum hidangkan taburkan hirisan daun bawang dan sup.

RENDANG DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg daging batang pinang | hiris nipis atau potong dadu
  • 1kg santan
  • 4 sudu makan kerisik
  • 4 sudu makan pes cili kering
  • 2 helai daun kunyit | mayang halus
  • 3 batang serai | titik
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 4 sudu makan minyak masak

BAHAN KISAR:

  • 8 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 3cm lengkuas
  • 3cm kunyit hidup
  • 3 batang serai

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar hingga naik bau.
  2. Masukkan pes cili, kacau lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging, kacau rata sehingga daging kecut dan airnya kering.
  4. Masukkan santan, asam keeping dan serai yang telah dititik
  5. Terus renehkan daging atas api sederhana sehingga kuah pekat.
  6. Apabila pekat tambahkan kerisik, kacau rata.
  7. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  8. Apabila kuah kering, taburkan daun kunyit dan gaul rata.
  9. Tutup api, rendang daging sedia dihidangkan.

 

 

 

Published by
Norasida Myasin