Resipi Lauk Pauk Mudah Yang Boleh Dimasak Dengan Kos Bawah RM15

Share

Tercari-cari menu yang mudah dimasak serta tak perlu berbelanja lebih untuk menyediakannya? Resipi-resipi di bawah ini anda boleh hasilkan. Hanya dengan kos yang kurang dari RM15, anda mampu menghasilkan lauk pauk yangs edap dan enak buat keluarga.  Moga idea masakan ini boleh membantu anda. Selamat mencuba!

 

1. AYAM PERCIK KUAH KACANG

BAHAN-BAHAN:

  • 6 ketul kepak ayam | dipotong dua
  • 5 tangkai cili kering | dikisar
  • 1 ulas bawang merah bersaiz besar | dikisar
  • 1 ulas bawang putih | dikisar
  • 1 batang serai | dikisar
  • 1cm halia | dikisar
  • 1cm lengkuas | dikisar
  • Garam dan serbuk kunyit secukupnya

BAHAN KUAH PERCIK:

  • 1/2 biji kelapa | diambil santannya
  • 5 ulas bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar
  • 4 tangkai cili kering | dikisar
  • 1cm halia | dikisar
  • 1 batang serai | dikisar
  • 1 keping asam gelugur
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan kepak ayam bersama garam dan serbuk kunyit secukupnya kemudian perapkan bersama bahan kisar selama dua jam. Kemudian panggang ayam di atas bara arang sehingga masak. Ketepikan.
  2. Untuk membuat sos percik, satukan santan bersama bahan kisar dan masak sehingga mendidih dan pekat. Pastikan kuah sentiasa dikacau bagi mengelakkannya berketul.
  3. Kemudian masukkan asam gelugur dan perasakan dengan garam serta gula dengan secukup rasa.
  4. Apabila kuah telah pekat, padamkan api dan tuangkan ke atas kepak ayam yang telah siap dipanggang tadi.
  5. Sedia untuk dihidang.

Info chef: Ayam juga boleh dibakar dalam ketuhar pada suhu 180C selama 15-20 minit atau hingga masak.

 

2. HATI AYAM MASAK KICAP BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 350gm hati ayam
  • 1 biji bawang besar | dimayang
  • 1 ulas bawang putih | dimayang
  • 3 tangkai cili kering | dikisar halus
  • 5 sudu makan kicap lemak manis
  • 1 sudu makan serbuk kunyit
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan hati ayam dan masukkan garam bersama serbuk kunyit dengan secukupnya.  Goreng hingga garing dan ketepikan seketika.
  2. Panaskan minyak dan tumis bawang besar bersama bawang putih hingga layu. Angkat dan tumbuk gorengan bawang tadi hingga lumat.
  3. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih hingga wangi. Kemudian masukkan bawang yang ditumbuk tadi bersama cili kering kisar. Kacau sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan kicap lemak manis dan hati ayam. Gaul sebati dan biarkan mendidih seketika.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

Info chef: Untuk mempelbagaikan rasa, boleh juga dicampurkan dengan pedal

 

3. BERGEDIL DAGING KENTANG

BAHAN-BAHAN:

  • 4 biji ubi kentang bersaiz besar
  • 250gm daging cincang
  • 2 biji telur |diasingkan putih dan kuningnya
  • 1 labu bawang besar | dicincang halus
  • 1 pokok daun sup | dihiris halus
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Kupas kentang dan potong dadu. Goreng hingga empuk dan tos minyaknya.
  2. Kemudian goreng daging cincang hingga masak. Asingkan.
  3. Tumbuk kentang yang digoreng tadi menggunakan lesung hingga lumat. Masukkan ke dalam mangkuk.
  4. Satukan kentang, daging cincang goreng, bawang besar dan daun sup. Masukkan juga kuning telur, serbuk lada hitam, serbuk lada sulah dan sedikit garam. Gaul hingga sebati.
  5. Bentukkan adunan bulat-bulat dan leperkan.
  6. Celup ke dalam putih telur dan goreng hingga kekuningan.

Info chef: Selain daging, boleh juga menggunakan isi ayam kisar atau makanan laut yang telah dicincang halus.

 

4. SAMBAL TUMIS TERUNG PIPIT & BILIS

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm terung pipit
  • 50gm  ikan bilis
  • 30gm  cili padi hijau | dikisar
  • 2 ulas bawang merah bersaiz besar | dikisar
  • 1cm belacan | dikisar
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ikan bilis dan goreng hingga garing. Ketepikan.
  2. Seterusnya masukkan terung pipit dan goreng seketika. Angkat dan tos minyaknya.
  3. Tumis bahan kisar sehingga wangi dan sedikit garing. Masukkan serbuk perasa dan juga garam mengikut cita rasa anda.
  4. Akhir sekali, masukkan ikan bilis dan terung pipit yang telah digoreng tadi. Gaul hingga rata.
  5. Sedia untuk dinikmati.

Info chef: Elakkan menggoreng terung pipit dengan terlalu lama kerana ia akan menjadi keras dan kurang enak.

 

5. SOTONG REBUS SERAI

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm sotong segar
  • 1 batang serai | diketuk
  • 100ml air
  • 3 biji cili padi | jika suka
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan sotong dan masukkan ke dalam periuk.
  2. Kemudian tambahkan air dan didihkan. Jika sukakan kuah yang banyak, lebihkan jumlah air.
  3. Masukkan serai dan cili padi. Biarkan sehingga sotong masak.
  4. Perasakan dengan garam danserbuk perasa dengan secukupnya.
  5. Padamkan api dan sedia untuk dinikmati.

Info chef: Menu sihat yang ringkas dan kaya dengan haruman serai

 

6. IKAN BILIS BUNGA KANTAN

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm ikan bilis
  • 1 batang bunga kantan | dihiris halus
  • 5 biji cili merah | dikisar
  • 2 ulas bawang merah bersaiz besar | dikisar
  • Garam dan serbuk perasa secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ikan bilis dan goreng hingga garing. Ketepikan.
  2. Tumis bahan kisar sehingga wangi dan garing. Perasakan dengan serbuk perasa dan garam dengan secukupnya.
  3. Kemudian masukkan ikan bilis dan hirisan bunga kantan. Gaul seketika hingga rata.
  4. Sedia untuk dinikmati.

Info chef: Jika mahukan rasa yang lebih pedas, tambah sedikit cili padi kisar.

 

Published by
Nur