Nasi dagang adalah satu hidangan kebanggaan bagi rakyat Terengganu. Membuat nasi dagang yang sedap memang sukar kerana ada cita rasa lemak yang sukar untuk diungkapkan. Apatah lagi nasi ini dikukus dengan campuran antara beras dan pulut.
RASA cuba berikan resipi membuat nasi dagang dengan cara mudah sesuai untuk anda yang baru kali pertama ingin mencuba membuat hidangan ini.
Jom kita lihat resipinya.
BAHAN NASI DAGANG
2 pot beras basmathi
2 sudu beras pulut
Halia (mayang halus)
Bawang merah (mayang halus)
1/2 kotak santan
Garam dan gula
2 sudu halba
CARA MEMBUAT NASI DAGANG
1. Kukus beras basmathi dan beras pulut sehingga separuh masak.
2. Masukkan beras basmathi dan beras pulut tadi ke dalam besen besar. Ketepikan sebentar.
3. Ambil mangkuk. Masukkan santan, halia, bawang merah, halba, gula dan garam. Kacau sebati.
4. Masukkan bahan campuran tadi ke dalam bekas berisi beras. Gaul perlahan-lahan.
5. Kukus semula beras yang telah dimasukkan ramuan tadi.
6. Kukus sehingga masak dan sedia untuk dihidang.
BAHAN-BAHAN GULAI IKAN TONGKOL
2 ekor ikan tongkol saiz sederhana
11 ulas bawang merah
1 labu bawang putih
1 inci halia
1 genggam cili kering (direbus dahulu)
1 peket kecil rempah kari ikan
1 peket kecil rempah gulai bunga ros
Air secukupnya
Garam dan gula secukupnya
Sedikit gula melaka
2 kotak kecil santan
2 keping asam keping
CARA MEMBUAT GULAI IKAN TONGKOL
1. Rebus ikan tongkol bersama asam keping dan garam.
2. Sementara itu kisar bawang merah, bawang putih, halia dan cili kering.
3. Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumis bahan kisar, rempah kari ikan dan rempah gulai bunga ros. Letakkan sedikit air jika terlalu kering.
4. Letakkan garam, gula dan gula melaka. Tumis lagi sehingga pecah minyak. Matikan api.
5. Ambil periuk. Masukkan santan. Masukkan bahan tumis tadi. Buka api dan kacau sebati.
6. Masukkan asam keping dan ikan tongkol yang telah direbus tadi. Biarkan mendidih. Matikan api.
BAHAN-BAHAN ACAR TIMUN
2 batang timun
1/2 biji nanas
3 biji tomato
Sedikit kobis
1 biji bawang merah
2 biji cili besar hijau
2 biji cili besar merah
3 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
3 sudu besar cuka
CARA MEMBUAT ACAR TIMUN
1. Timun dibelah, dibuang biji dan dihiris memanjang.
2. Nanas dihiris nipis.
3. Tomato dibelah memanjang.
4. Kobis dihiris kecil.
5. Bawang besar dihiris kecil.
6. Cili besar hijau dan cili hijau merah dipotong membulat.
7. Masukkan semua bahan tadi ke dalam bekas besar.
8. Masukkan gula, garam dan cuka besar.
8. Gaul sebati. Sedia dihidang.
Selamat mencuba!