Resipi Pasta Fusion Sesuai Untuk Tekak Orang Malaysia!

Share

Hidangan menarik perhatian, rasa fusion cukup menyelerakan dan sesuai untuk hidangan seisi keluarga. Walaupun bukan semua peminat dengan masakan pasta ni, tapi hasil dari gabungan bahan masakan timur dan barat ini buatkan tekak orang Malaysia boleh diterima. Bagi anda yang ingin menikmati hidangan ringkas dan dalam keadaan santai, terima kasih Harmony Zone Puncak Alam yang telah berbesar hati untuk berkongsi beberapa resipi istimewa untuk anda cuba sendiri di rumah.

 

MACARONI PHAD THAI

 

Bahan-bahan:

  • 160 gram makaroni  – rebus dan toskan
  • 2 biji bawang merah – potong dadu
  • 4 ekor udang – buang kulit
  • 1 ekor sotong – hiris
  • 1 sudu teh serbuk cili
  • 1 biji telur
  • ½ senduk sos tiram
  • 1 sudu besar stok udang
  • ½ sudu teh garam
  • ½ sudu teh stok ayam
  • 3 sudu besar minyak masak

 

Cara Memasak:

  1. Panaskan kuali, tumis hirisan bawang merah sehingga naik bau.
  2. Kemudian, masukkan udang dan sotong.
  3. Kacau sebati dan masukkan serbuk cili serta telur. Kacau sekata.
  4. Selepas itu, masukkan sos tiram, stok udang dan bahan perisa yang lain.
  5. Akhir sekali masukkan makaroni. Kacau seketika dan angkat.
  6. Sedia untuk dinikmati.

 

SPAGHETTI  PESTO  SEAFOOD

Bahan-bahan:

  • 160 gm spageti – rebus
  • 2 biji bawang merah – potong dadu
  • 4 ekor udang – buang kulit
  • 1/2 ekor sotong – hiris
  • 1 sudu makan  stok udang
  • ½ sudu teh garam
  • ¾ sudu teh serbuk lada hitam
  • ½ sudu teh marjerin
  • 2 sudu makan pes pesto
  • 1 sudu makan minyak masak

 

Bahan-bahan Pes Pesto:

  • 200 gm ulam raja/pegaga
  • 200 gm daun kesum
  • 200 gm daun ketumbar
  • 2 biji bawang merah – dihiris
  • 4 biji bawang putih – dihiris
  • 3 helai daun serai
  • 1 Sudu makan  ikan bilis – dikisar
  • 1 cawan kecil minyak matahari
  • 2 biji limau – ambil jus
  • 2 genggam cili hijau
  • 2 sudu makan sos ikan
  • ½ sudu teh garam
  • ½ sudu teh stok ayam
  • ½ sudu teh serbuk lada hitam
  • ½ sudu teh gula

 

Cara Memasak:

  1. Untuk membuat sos pesto, hiris semua bahan kecuali bahan perasa.
  2. Masukkan semua bahan ke dalam mesin pengisar dan kisar hingga sebati.
  3. Siap dan simpan pes pesto di dalam peti sejuk sebelum digunakan.
  4. Untuk memasak spageti, panaskan kuali, tumis bawang merah sehingga naik bau.
  5. Kemudian, masukkan udang dan sotong. Biarkan seketika.
  6. Masukkan stok udang dan bahan perisa yang lain. Kacau sebati.
  7. Selepas itu, masukkan spageti yang telah direbus bersama marjerin.
  8. Akhir sekali masukkan pula pes pesto. Tutup api dan kacau hingga sebati.
  9. Angkat dan sedia dinikmati.

 

SPAGHETTI FRUITY  DE’ MARE


  • Bahan-bahan:
    160 gm spageti – rebus dan tos
  • 1 sudu teh bawang merah – dikisar
  • 4 ekor udang – buang kulit
  • 1 ekor sotong – hiris
  • 3 sudu makan tomato puri
  • 1 sudu makan krim masakan
  • ½ sudu teh stok ayam
  • ½ sudu teh garam
  • 1 sudu makan minyak masak
  • Daun parsli – hiasan

 

Cara Memasak:

  1. Panaskan kuali dan tumis bawang sehingga naik bau.
  2. Kemudian, masukkan udang dan sotong. Gaul sehingga masak.
  3. Selepas itu, masukkan bahan perisa yang lain bersama tomato puri.
  4. Diikuti dengan krim masakan. Gaul sebati.
  5. Angkat dan hiaskan dengan daun parsli.

 

SPAGHETTI CHICKEN CARBONARA

Bahan-bahan:

  • 160 gm spageti – rebus dan tos
  • 1 senduk sos carbonara
  • 1 sudu makan isi ayam yang dipotong dadu
  • 1 sudu makan cendawan Shitake – dihiris
  • 2 biji bebola ayam – digoreng
  • Daun parli – hiasan

 

Cara Memasak:

  1. Masukkan pasta yang telas direbus tadi ke dalam pinggan. Ketepikan.
  2. Dalam kuali, masukkan sos carbonara, isi ayam, cendawan shitake dan bebola ayam. Masak seketika.
  3. Selepas itu, angkat dan hidangkan di atas pasta tadi.
  4. Hiaskan dengan daun parsli. Sedia dinikmati.

 

Resipi: Harmony Zone Puncak Alam, Selangor (En. Zawari Yahya Udni & En. Farizal)

 

CUBA JUGA RESIPI PASTA SEDAP INI:

http://www.rasa.my/nak-makan-pasta-sedap-tapi-nak-resipi-senang-hah-pasta-carbonara-mayones-ni-memang-terlajak-mudah/

Published by
Mastura Abu Kassim