Sate Ayam ni merupakan salah satu hidangan yang jadi kegemaran ramai. Jika keluarga besar dan ramai, sangat berbaloi andai dihasilkan sendiri. Risau hasilnya tak sedap? Jangan khuatir, boleh cuba resipi perkongsian Kiran Kiran ni. Sangat mudah dan dijamin puas hati. Lihatlah cucuk ayamnya, besar dan nampak enak sekali. Sekali makan, puas hati. Siap dengan resipi Kuah Kacang juga. Selamat mencuba!
CARA MASAK SATE AYAM YANG SEDAP & BERJUS. MUDAH JE RESIPINYA
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam – ambil isi
1 sudu makan ketumbar – sangai (*) – beli online disini
2 sudu makan jintan manis – sangai (*) – beli online disini
1 sudu makan jintan putih – sangai (*) – beli online disini
1 inci halia (*)
1 inci kunyit (*)
3 biji bawang Holland (*) – beli online disini
1 labu bawang putih (*)
6 batang serai (*)
5 keping nise atau gula kabung – masak dengan segelas air – beli online disini
3 sudu asam jawa tanpa biji – beli online disini
Gula dan garam secukupnya
Lidi satay untuk mencucuk
CARA MEMASAK:
1.Potong isi ayam berbentuk kiub. Rangka ayam boleh dimasak gulai. Jika nak mudah, boleh beli dada ayam sahaja. Kemudian basuh dan toskan airnya hingga kering.
2. Sementara itu sangaikan ketumbar, jintan manis dan jintan kemudian kisar lumat semua bahan yang bertanda (*).
3. Dalam bekas besar, satukan isi ayam dan ramuan yang dikisar tadi.
4. Kemudian masukkan garam, gula, air nise @ gula kabung dan asam jawa.
5. Gaul rata semua bahan supaya tekstur isi ayam atau daging (jika nak campur) menjadi lembut dan mesra dengan rempah.
6. Perap semalaman atau sekurang-kurangnya 3 jam sebelum dicucuk dan dibakar.
RESIPI KUAH SATE
BAHAN-BAHAN:
1/2kg kacang tanah – goreng & kisar kering @ tumbuk – beli online disini
2 biji santan kelapa
Serai – diketuk
Air asam jawa secukupnya
6 keping gula nise (gula melaka)
Garam dan gula putih biasa secukupnya (kuah kena mais baru sedap)
BAHAN KISAR HALUS:
Bawang holland
Cili kering
Lengkuas
Jintan manis
Jintan putih
CARA MEMASAK:
1.Tumis kesemua bahan yang dikisar tadi kecuali kacang tanah dan serai hingga garing dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan santan cair dan kisaran kacang tanah. Biarkan mendidih sekejap.
3. Bila nampak sempurna, masukkan bahan-bahan lain dan ubah suai rasa ikut selera masing-masing.
4. Bila kuah kacang sudah pecah minyak, angkat dan hidangkan bersama sate.
TIP MASAK SATE YANG SEDAP & JUICY
1.Jika nak sate nampak kuning, boleh tambah serbuk kunyit bergantung pada selera masing-masing.
2. Air lebihan perapan jangan dibuang. Campurkan dengan segelas minyak untuk digunakan semasa membakar sate nanti.
3. Ketuk 2 batang serai, ikat dan celup dalam campuran minyak untuk disapu pada sate. Ia adalah salah satu rahsia sate yang dibakar tetap juicy.
4. Rajin-rajin balikkan sate supaya hasilnya cantik, tidak hangit dan hitam.
Kredit resipi & foto: Kiran Kiran
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official