Di musim perayaan sebegini, pastikan di dapur anda ada makanan yang boleh dihidang terus. Mana taknya, andai kata tetamu datang mengejut, anda tak gelabah dan boleh hidang apa yang patut. Salah satu menu yang boleh dicuba ialah Puding Biskut Marie ni. Sangat senang & sedap. Malah boleh buat awal dan simpan sahaja dalam peti sejuk. Kalau tetamu datang, hanya potong dan hidang je.
PUDING BISKUT MARIE
BAHAN-BAHAN:
- 200gm biskut marie
- 10gm agar-agar serbuk
- 2 1/2 cawan air
- 1 cawan susu cair
- 1/2 cawan susu pekat manis
- 1/2 cawan tepung kastard
- 1 biji telur
- 1/2 buku buttercup
- 6 sudu makan serbuk koko
- 8 sudu makan milo
- 1/4 sudu teh esen vanilla
CARA MEMASAK:
- Kisar susu cair, susu pekat, telur, esen vanilla dan tepung kastard hingga sebati. Ketepikan.
- Dalam bekas berlainan, bancuh serbuk koko dan milo bersama sedikit air suam. Ketepikan.
- Masak serbuk agar-agar dengan air hingga larut dan mendidih.
- Kemudian masukkan buttercup dan kacau hingga cair.
- Masukkan bahan-bahan yang dikisar tadi dan kacau hingga sebati. Pastikan guna api perlahan kerana adunan akan menjadi pekat. Kacau sentiasa.
- Seterusnya masukkan bancuhan serbuk koko dan milo. Kacau hingga sebati dan tiada ketulan.
- Teruskan masak hingga berkilat dan ada sedikit meletup-letup. Ini menandakan puding telah masak. Tutup api.
- Alas loyang saiz 7×7 dengan plastik. Lebihkan di bahagian kiri dan kanan supaya senang nak keluarkan puding dari loyang nanti.
- Tuang sedikit adunan puding ( lapisan koko). Ratakan di keseluruhan loyang.
- Susun biskut marie satu persatu di lapisan koko tadi. Boleh patahkan sedikit biskut jika ada ruang yang kosong.
- Tuang adunan puding ( lapisan koko) sekali lagi. Kemudian susun biskut marie. Ulang proses yang sama hingga habis. Pastikan lapisan atas sekali adalah lapisan koko.
- Sejukkan puding di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 4 jam. Barulah dikeluarkan dan dinikmati.
INFO:
- Puding ni kurang manis. Jika suka rasa lebih manis, boleh tambah susu pekat atau gula.
- Adunan puding cepat mengeras. Jika adunan keras sebelum siap proses melapis, panaskan kembali diatas api perlahan sebentar. Adunan akan lembut kembali.
- Loyang yang diguna tidak semestinya bentuk 4 segi. Boleh juga guna loyang bulat atau apa-apa bekas yang anda ada.
- Jika suka, boleh tabur kacang tanah yang ditumbuk kasar atau nestum diatas puding.
Kredit resipi & foto: Hamidah HA