Buat sambal tumis udang ada kalanya tak menjadi disebabkan kesilapan menumis atau terkurang bahan-bahannya. Kali ini RASA ingin berikan resipi memasak sambal tumis udang yang gerenti sedap dan cantik warnanya.
Resipi ini dikongsikan oleh Sue Sera Saira di laman facebooknya. Jom kita tengok resipi sambal tumis udang ini.
BAHAN-BAHAN
30 ekor udang
Garam secukup rasa
Serbuk kunyit secukupnya
Minyak masak secukupnya
1 labu bawang besar (dimayang, potong bulat)
3 ulas bawang putih (dimayang)
1 mangkuk cili giling
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam halus
Sebesar ibu jari asam jawa (diramas dengan sedikit air)
CARA MEMBUAT
1. Bersihkan udang. Kemudian gaul udang dengan garam dan kunyit.
2. Panaskan minyak masak. Goreng udang seketika supaya udang kenyal dan tidak lembik. Angkat dan ketepikan.
3. Guna minyak masak yang sama. Goreng bawang besar dan bawang putih yang dimayang tadi.
4. Selepas naik bau, masukkan cili giling. Tumis dengan api perlahan sehingga cili elok masak kemerahan.
5. Masukkan gula dan garam. Biarkan tumisan pecah minyak. Kemudian masukkan pula air asam jawa.
6. Akhir sekali, masukkan udang yang sudah digoreng tadi. Kacau sekata. Bolehlah dihidangkan.
Tip: Udang yang digoreng terlebih dahulu sebelum dibuat sambal akan rasa lebih manis dan isi udang lebih kenyal.
Sumber: Facebook Sue Sera Saira