Resipi Serunding Halia Bawang Putih. Bagus Untuk Ibu Berpantang & Buang Angin Dalam Badan.

Share

 HALIA BERKHASIAT BUANG ANGIN DI DALAM BADAN 

Siapa tidak kenal halia? Herba ini merupakan salah satu ramuan penting dalam masakan Melayu khususnya, malah miliki keistimewaan tersendiri. Dengan bentuknya yang beruas dan ‘berotot-otot’, halia juga mempunyai haruman yang  tajam dengan sedikit rasa pedas menjadikan masakan lebih enak berempah. Malah ia juga dikatakan mempunyai khasiat tersendiri terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah banyak angin di dalam badan.

KENALI HALIA 

Halia atau nama botani: Zingiber officinale Roscoe merupakan sejenis tumbuhan yang digunakan di dalam masakan sebagai rempah perasa. Ia dipercayai berasal dari negara China dan kemudian penggunaannya merebak ke India, Asia Tenggara, Afrika Barat dan Kepulauan Carribbean.  Dikenali dengan nama lain iaitu Ginger (bahasa Inggeris), Jahe, Aliah, Sipadeh, Lia (Indonesia) dan Kinkh atau khing-daen (Thailand), kini halia banyak dikeluarkan oleh negara seperti India, China, Nigeria, Australia dan Thailand untuk pasaran antarabangsa.

 

APA KHASIAT HERBA NI?

Dari sudut saintifik, rizom halia mengandungi air, karbohidrat, serat, kalium, fosforus, kalsium, tenaga, protein, gentian, niasin, asid amino, gingerols, oleoresin, pati minyak, vitamin A, B dan C, lemak, asid organik, minyak meruap seperti zingeron, zinzerol, zingeberal, zingiberin, borneol, seniol dan feladren.

Dengan rasanya yang pedas dan lidas ini, halia dikatakan dapat merawat banyak penyakit seperti angin yang banyak di dalam badan, sakit kepala, sistem pencernaan bermasalah, sakit jantung, muntah, cirit birit, disentri, asma, sakit perut, reumatisme, pengaliran darah bermasalah dan sebagainya. 

Dari sudut perubatan pula, halia diambil dalam bentuk minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati halia. Ubat-ubatan berasaskan halia pula dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang dan sesak dada.  Halia bersifat karminatif, stimulant dan pembunuh kuman jika diambil sebagai ubat. Mengikut kajian yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Michigan yang diterbitkan oleh American Association of Cancer Research menunjukkan bahawa halia mampu membunuh sel barah.

foto: maangchi.com

1001 MANFAAT & KEGUNAAN HALIA

Di dalam masakan Melayu, halia banyak digunakan sebagai ramuan utama. Ia dijadikan rempah perasa dalam masakan sama ada dalam bentuk halia segar, halia kering atau halia bergula. Malah halia sama ada halia tua ataupun halia muda, ia digunakan untuk masakan seperti sup, bening, rendang, sambal dan minuman.

Halia juga boleh diproses menjadi serbuk halia dan halia jeruk. Malah ia juga dijadikan bahan perasa untuk pelbagai makanan seperti sos dan bakeri.
Selain untuk kegunaan kulinari, halia juga diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan  aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin. Minyak panas atau balm halia digunakan untuk membuang angin di dalam badan. Di samping itu pati halia juga boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, teh, konfeksionari, kosmetik dan ubatan.

Ibu-ibu yang sedang berpantang, boleh cuba hidangan Serunding Halia Bersama Bawang Putih. Jika mahu lebih sedap, boleh ditambah ikan bilis yang digoreng garing. Halia dan bawang putih amat bagus serta membantu membuang angin dalam badan. Perut kenyang, badan pun ringan. Puan-puan yang tidak berpantang pun boleh cuba.

 

RESIPI SERUNDING HALIA BERSAMA BAWANG PUTIH

BAHAN-BAHAN:

  • Halia
  • Bawang putih
  • Sedikit garam

CARA MEMASAK:

1. Tumbuk halia hingga hancur. Perah air jusnya kemudian goreng hingga garing.

2. Kemudian, hurus nipis bawang putih. Goreng hingga garing juga.

3. Gaulkan halia dan bawang putih yang digoreng tadi.

4. Enak dinikmati bersama nasi putih panas.

Nota: Semasa menggoreng halia dan bawang putih, boleh juga ditabur sedikit garam sebagai perisa.

 

Kredit resipi & foto: Puan Salimah Olie 

Published by
Nur