Resipi Sotong Pelbagai Rasa Yang Membuka Selera

Share

Makanan laut menjadi kegemaran semua. Buat yang  meminati makanan laut, menu sotong pasti tidak dilupakan. Untuk kelainan daun limau purut ditambah bagi memberi rasa dan wangi kepada sambal sotong. Jika sotong kecil, ia lebih sedap dan rasa manis jika dimasak tanpa dipotong. Untuk mengelakkan sotong keras, jangan masak terlalu lama. RASA kongsi resipi yang mudah disediakan dan sedap.

SOTONG GORENG TELUR MASIN

BAHAN-BAHAN:

  • 1 cawan tepung ubi
  • 2 biji putih telur
  • 500gm sotong ] dihiris
  • 2 biji kuning telur masin
  • 2 tangkai daun kari
  • 7 biji cili padi ] dicincang
  • 3 sudu makan mentega
  • Gula secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Salut sotong dengan putih telur dan tepung ubi.
  2. Panaskan minyak dan goreng sotong hingga separuh masak.
  3. Masukkan daun kari, cili padi dan gula secukup rasa.
  4. Kemudian masukkan kuning telur masin yang telah dikukus dan dicincang. terlebih dahulu,
  5. Masukkan marjerin dan gaul rata. Goreng sehingga sotong menjadi rangup.
  6. Angkat dan hidangkan.

JIU HU CHAR 

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor sotong kembang | potong panjang
  • 1/2 biji lobak merah | potong julliene
  • 1 biji Benggala hijau |potong julliene
  • 1/2 biji kubis | potong kasar
  • 1 paket cendawan

BAHAN-BAHAN UNTUK MENUMIS:

  • 5 biji bawang merah | hiris nipis
  • 3 ulas bawang putih | hiris nipis
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan minyak bijan
  • ½ mangkuk air
  • 1 sudu makan minyak masak untuk menggoreng
  • Sedikit garam dan gula
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga kekuningan. Masukkan sos tiram, minyak bijan dan sedikit air.

3. Masukkan sotong, goreng sehingga lembut. Kemudian masukkan bahan-bahan lain seperti lobak merah, cili Benggala hijau, kubis dan cendawan.

4. Akhir sekali masukkan perasa seperti garam dan gula secukup rasa.

5. Angkat dan sedia dinikmati.

 

SOTONG PERCIK

BAHAN-BAHAN:

  • 7 ekor sotong saiz besar
  • 500ml santan pekat
  • 1 batang lobak merah | mayang halus
  • 1 biji bawang besar | didadu halus
  • 1 biji cili hijau | dicincang halus
  • 1 helai daun kunyit | dimayang halus
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar Untuk Kuah:

  • 1 biji cili merah | buang biji
  • 15 biji cili padi
  • 4 biji buah keras
  • 6 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Cuci bersih sotong dan gaulkan dengan garam, kemudian toskan.
  2. Campur dan gaulkan bahan yang dicincang, dihiris dan dimayang halus.
  3. Kemudian sumbatkannya ke dalam perut sotong.
  4. Masukkan bahan kisar di dalam kuali, perasakannya dengan garam dan gula secukupnya.
  5. Seterusnya masukkan sotong.
  6. Selepas lebih kurang tiga minit, angkat sotong dan ketepikan.
  7. Masukkan pula santan ke dalam kuah tadi dan terus renehkan hingga kuah pekat.
  8. Tuangkan kuah ke atas sotong tadi dan hiaskan di atasnya dengan daun kunyit yang telah dimayang halus.
  9. Sedia dihidangkan.

SAMBAL SOTONG LIMAU PURUT

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm sotong saiz XXL | dihiris bulat
  • 3 helai daun limau purut | dihiris kasar
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 2 sudu makan kicap pekat manis
  • 1sudu makan air asam jawa
  • 4 biji bawang merah | dikisar kasar
  • 3 ulas bawang putih | dikisar kasar
  • 2.5cm halia | dikisar kasar
  • 1 batang serai |dititik
  • 1biji bawang besar | dihiris bulat
  • Garam dan gula secukupnya
  • Sedikit minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan sotong kemudian tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan kisar bersama serai hingga wangi.
  3. Masukkan pula pes cili kering dan daun limau purut, kacau lagi hingga pecah minyak.
  4. Seterusnya, masukkan sotong dan air asam jawa, kacau lagi hingga sotong layu.
  5. Akhir sekali, lengkapkan rasa dengan kicap, garam dan gula secukupnya.
  6. Angkat dan sedia dihidangkan.
Published by
Putri