Resipi Tauhu Begedil Paling Mudah, Sedap & Kos Tak Mahal.

Share

Tauhu Begedil ni memang sedap dan sesuai dinikmati pada bila-bila masa. Ramai yang takut nak cuba sebab rasa hidangan ni susah nak disediakan. Namun menerusi perkongsian Puan Siti Misyati, beliau kongsikan resipi Tauhu Begedil yang paling mudah dan sedap. Kosnya pun tak mahal. Malah inilah resipi yang digunakan untuk perniagaan Tauhu Begedil yang beliau usahakan. Sedapkan? Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.

 

RESIPI TAUHU BERGEDIL HOMEMADE SEDAP

BAHAN-BAHAN:

  • Tauhu pok/tauhu kering secukupnya

BAHAN INTI:

  • Ubi kentang – bergantung pada jumlah tauhu yang nak dibuat
  • Bawang Holland – potong dadu
  • Daging kisar – lebih banyak lebih sedap
  • Daun sup – dicincang
  • Serbuk lada sulah & serbuk lada hitam secukupnya
  • Garam dan perasa secukupnya
  • Minyak untuk menumis

BAHAN SALUT:

  • Telur secukupnya
  • Sedikit garam

CARA MEMASAK:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang Holland dan daging kisar hingga masak. Kemudian masukkan daun sup, serbuk lada sulah, serbuk lada hitam, garam dan perasa dengan secukupnya. Gaul rata. Angkat.

2. Kupas ubi kentang dan rebus hingga empuk. Tambah sedikit garam kemudian lenyek hingga halus.

3. Satukan daging yang ditumis tadi dengan ubi kentang lenyek. Gaul rata hingga sebati.

4. Bulat-bulatkan inti supaya senang untuk disumbat ke dalam tauhu. Buat hingga habis.

5. Sumbat bebola kentang ke dalam tauhu yang dipotong sedikit. Kemudian celupkan tauhu ke dalam bancuhan telur yang telah dipukul dengan sedikit garam.

6. Goreng hingga keperangan. Angkat dan nikmati bersama sambal kicap.

RESIPI SAMBAL KICAP

BAHAN-BAHAN:

  • Cili padi hijau – ikut kepedasan yang dikehendaki
  • 4 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • Kicap secukupnya
  • Gula dan sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan goreng cili padi, bawang merah dan bawang putih sehingga sedikit layu.
  2. Angkat dan kisar bahan goreng tadi bersama kicap, gula secukupnya, sedikit garam dan sedikit minyak gorengan tadi.
  3. Siap untuk dihidangkan bersama tauhu.

 

Kredit resipi & foto: Siti Misyati

Published by
Nur