Macam nak tergolek tengok sedapnya lauk telur puyuh. Dengan sambal yang merah. Ditambah pula bila ada petai. Ulam itu menjadikan lauk ini semakin menaikkan selera bagi yang memang hantu petai.
RASA kongsikan resipi telur puyuh sambal petai bersantan. Bila-bila korang rasa nak buat, bolehlah cuba ya.
Bahan-bahan
10 biji telur puyuh.
Minyak masak secukupnya
5 biji bawang merah (kisar)
2 ulas bawang putih (kisar)
2 sudu makan cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit perahan air asam jawa
4 sudu makan santan pekat
10 ulas petai (buang kulit)
Cara memasak
1. Rebus telur puyuh. Sejukkan dan kupas. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Goreng telur puyuh. Angkat dan ketepikan.
2. Dalam kuali lain, panaskan sedikit minyak masak. Masukkan bawang merah, bawang putih dan cili kisar. Tumis sehingga terbit bau wangi.
3. Setelah naik bau, masukkan gula dan garam secukup rasa.
4. Masukkan sedikit air bersama perahan asam jawa diikuti dengan santan. Kacau perlahan hingga sebati.
5. Setelah mendidih, masukkan telur dan petai. Masak seketika, sedia dihidangkan.
Selamat mencuba.