Enaknya dapat menikmati kuih peria. Apatah lagi, jika cara penyediaannya mengikut resipi secara tradisional. Pasti menggamit kenangan.
Begitu jua lah resipi yang dikongsikan oleh Achik Ita ini. Resipi tradisi turun temurun daripada neneknya yang menggunakan daun pinang untuk memulas menjadikan corak.
Namun, bagi yang sukar menemui daun pinang, ada juga yang menggunakan daun palas untuk memutar atau lidi untuk melorek corak pada kuih.
BAHAN-BAHAN:
Daun pinang (pilih yang besar dan elok)
(BAHAN ADUNAN)
500g tepung gandum
Santan (untuk menguli)
½ sudu kecil gram (jangan melimpah)
Pewarna kuning, hijau, merah (untuk hijau, boleh gunakan air daun pandan sebenar yang dikisar)
CARA MEMASAK:
Campurkan semua bahan untuk adunan di atas kecuali santan. Gaul-gaulkan dan asingkan ke dalam tiga bekas.
Titikkan pewarna berlainan ke dalam setiap satu bekas itu. Masukkan santan sedikit demi sedikit dan uli satu persatu.
*Tujuan letakkan tepung gandum ini adalah untuk elakkan kuih terlalu liat. Kuih yang menggunakan tepung pulut, nisbahnya 500g tepung pulut : segenggam tepung gandum dah memadai.
(INTI)
Sebanyak 500 gram kacang hijau direbus sampai empuk. Masukkan kelapa parut sebelah dan gula setengah. Kacau hingga agak lembut dan gula telah hancur.
Kemudian, letakkan 1 sudu kecil garam. Gaulkan hingga kering. Masukkan pula tepung gandum anggaran secawan atau hingga likat adunan. Dah siap, sejukkan dan kemudian bentukkan bulat-bulat.
Ini daun pinang, Pilihlah daunnya yang besar dan elok. Ini segar dari tepi rumah bonda. Kalau takde daun pinang, macamana?
Daun lain tak rasa aromanya bila kukus. Paling penting, nanti tak nampak corak urat daun buah peria tu. Tapi, kalau dah takde langsung, loreklah dengan pisau atau lidi. Cuma, ajaran bonda suruh pakai daun pinang.
Daun yang bersaiz kecil pula boleh dipotong-potong dan disusun di dalam bekas. Ini untuk berikan aroma wangi ketika mengukus.
Susun daun jangan ikut depan daun yang berurat. Letak yang bahagian dalam. Kalau tidak, nanti akan bertambah pula coraknya pada kuih kalau kita letak kuih melintang.
Ini inti kacang hijau yang telah dibulatkan dan dileperkan sedikit agak-agak sebesar ibu jari.
Pilih daun pinang yang besar sedikit. Potong hujung kanan dan kirinya, ambil tengahnya saja. Layurkan pada api sekejap bagi layu dan berubah warna. Tujuannya, untuk elakkan daun mudah koyak ketika nak memutar nanti.
Kemudian, sapu sedikit sahaja minyak. Sapu manja-manja saja.
Doh tadi, kepal-kepalkan begini.
Leperkan adunan tepung. Letakkan inti kacang hijau di tengah dan tutup kesemuanya. Selimutkan dengan daun pinang.
Sekarang, tiba masa untuk putar. Gulung daun pinang menutupi adunan doh. Putarkan serentak atas dan bawah. Macam kita putar kertas pelapik gula-gula.
Macam ni la rupanya bila dah buka selepas putar.
Bila dah siap semuanya diputar, susunkan di dalam kukusan. Sebelum itu, panaskan air dalam pengukus hingga menggelegak. Kukus sekejap saja. Agak-agak kuih dah berubah warna macam dah masak, daun pun dah berubah warna anggaran dalam 5 minit.
Inilah perbezaan sebelum dan selepas kukus. Warnanya lebih menyerlah, kan.
Ketika suam-suam, terus angkat dan susun elok-elok di dalam bekas. Jangan biarkan sejuk sebab susah nak angkat dan dah melekat pada daun.
Dah siap! Selamat mencuba.
Kredit: Achik Ita
[ Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi ]
Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official