Sudahlah sedap hidangannya, boleh pulak menikmati dekorasi indah ala Timur Tengah, pastinya membangkitkan lagi selera bila menjamu disini. Lebih 20 sajian Arab tersedia di sini dengan resipinya berasal dari Yaman, Jordan dan Arab Saudi.
Restoran Aroma Hijrah yang terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam Selangor ini diusahakan oleh pasangan suami isteri Tn. Hj Aminudin Resad, 51 tahun anak kelahiran Selangor dan isterinya Hjh. Rohani Hassan, 50 tahun, berasal dari Labuan, Wilayah Persekutuan.
Hj Aminuddin adalah bekas jurutera yang pernah terlibat dalam projek pembangunan di Putrajaya. Isterinya pula adalah dari latarbelakang kewangan dan insuran dan bekas Setiausaha di bank terkemuka. Demi minat dalam bidang masakan keduanya menyahut cabaran membuka perniagaan restoran pada 2012 setelah mengambil keputusan bersara pada 2008 dan bermula dengan perniagaan dari rumah.
Sajian Arab dipilih kerana adanya permintaan yang tinggi dan mereka menyedari citarasanya cukup sesuai dan serasi dengan selera rakyat Malaysia. Istimewanya Hj Aminudin selaku Pengurus Operasi yang juga‘Master’ Chefnya turut belajar secara langsung dari pakar masakan Arab Chef Ustazah Habsah dan Chef Selebriti Ammar al-Ali yang berasal dari Jordan
“Saya belajar masak sebelum membuka restoran, saya memasaknya sendiri dengan dua orang pembantu dapur, kini saya sudah melatih tiga commis. Staf kini adalah seramai 20 orang termasuklah empat chef yang ada darinya dari Palestin dan Pakistan.
Bagi saya bisnes restoran ini risikonya agak rendah, yang penting kualiti dan rasa makanan perlu dipantau sentiasa. Saya puas dapat memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati makanan bermutu dalam suasana selesa dan bersih,”luahnya kepada RASA.
Min yakin anda pasti terpukau dengan hiasan lampu berwarna-warni, deretan permaidani , lukisan landscape padang pasir dan pisau belati Arab yang terhias indah di dinding restoran.
Idea dekorasi adalah dari pengalaman kerja Hj Aminudin dan juga permerhatian semasa bercuti di negara Timur Tengah.
Kerusi meja bersih berkilat dan staf yang berpakaian kemas, jelas ketara tempat ini sajiannya betul-betul halal toyibban. Terdapat juga ruangan makan bersila ala Timur Tengah dengan hiasan langsir yang boleh ditutup jika mahu.
Min turut diajak Hj Aminudin ke dapur, sah dapurnya juga nyata benar-benar bersih dengan dapur lantai yang kering dan bahan masakan tersusun.
Menu paling hangat di sini adalah Kabsa Lamb, dan Kambing Panggang. Betul-betul lembut dan empuk dagingnya. Langsung tak berbau hamis, kaya dengan rempah ratus. Sajian nasi arabnya juga sangat popular. Nasi Mandy, Kabsah dan Maqlubahnya memang terbaiklah.
Di samping itu terdapat juga Ayam Masyi dan ayam panggang serta pelbagai menu Arab yang lain. Datanglah rasa sendiri baru puas hati.
Restoran Aroma Hijrah
No 8, Jalan Opera H U2/H, Taman TTDI Jaya,Shah Alam, Selangor
Waktu operasi : Jam 11 pagi hingga 10.30 malam (Tutup Isnin)
Menu harus cuba : Nasi Mandy, Kasbah, Maqlubah, Ayam dan Kambing Panggang, Kambing Kabsah