Baru-baru ini bertempat di Subang Bestari, Restoran Mangkuk dibuka secara rasmi kepada orang ramai. Istimewanya makanan yang ditawarkan ialah Fusion Asia dan barat.
Memasuki ruang restoran ini susun aturnya berkonsep moden dan selesa untuk menikmati hidangan bersama teman malah dengan keluarga juga.
“ Restoran Mangkuk asalnya dimiliki oleh seorang kontraktor, namun akibat pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020, restoran ini hanya sempat beroperasi kira-kira tiga bulan sahaja. Namun telah tertulis rezeki saya dan rakan kongsi Hafezy Ibrahim, mengambil alih operasi perniagaan restoran ini ia bukan sesuatu yang mudah namun saya percaya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Risiko membuka perniagaan merupakan cabaran yang paling signifikan ketika pasca endemik COVID-19, namun saya tidak boleh melihat risiko tersebut menghalang saya mengambil tindakan proaktif dalam bidang perniagaan makanan atau hospitaliti.
Hasil perancangan tidak sampai dua bulan, maka bermulalah operasi Restoran Mangkuk,” cerita Pengarah Urusan Bakti Semai Global, Shafee Madianuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Chef Shafee, 32 tahun.
Konsep menu yang dihidangkan di Restoran Mangkuk bertemakan “Fusion Asia dan Barat” kerana dilihat ia sesuai dengan citarasa pelbagai lapisan masyarakat Malaysia khususnya di sekitar Subang Bestari di lokasi restoran ini beroperasi.
Antara menu yang dihidangkan ialah Fried Wantan, Wantan Mi Kicap , Sup Wantan, Mi Kari dan Grill Chicken.
“Terima kasih pada semua ahli keluarga yang menyokong kami membuka perniagaan restoran ini dan tidak ketinggalan terima kasih juga saya ucapkan kepada team Restoran Mangkuk iaitu Chef Yew Siang, Ikhwan, Effendy, Hanis, Aiman, Haris, Jessica dan Asba. Kami juga akan membuat majlis pelancaran secara rasmi pada bulan Januari tahun 2022,”ujar Chef Shafee mengakhiri temubual.
Restoran Mangkuk
Lokasi : No 23-1 (Ground Floor), Jalan Nova N U5/N, Subang Bestari
Waktu Operasi : 12.30 tengahari – 9 malam (Selasa-Ahad)
Konsep Menu : Fusion Asia dan Barat
Signature : Fried Wantan, Kicap Wantan Noodles, Soup Wantan, Mee Kari & Grill Chicken.
*Restoran Mangkuk diuruskan oleh Bakti Semai Global.
Chef Shafee turut berkongsi resipi istimewa untuk anda cuba.
Mi Wantan Kicap
Ads
Sos kicap
40 gm sos tiram
10 gm kicap pekat
10 gm minyak bijan
10 gm serbuk perasa ayam
25 gm air
Cara membuat:
Campurkan kesemua bahan dan kacau sebati.
Mi Wantan
150 gm mi wantan
4 keping cendawan shitake (dihiris)
44 gm siew pak choi
4 sudu besar kicap campuran
2 sudu teh minyak bawang putih
Hirisan daun bawang
Ads
Cara memasak:
Mula-mula celur mi wantan, kemudian campur sebati kicap.
Celur cendawan dan sayur siew pak choi.
Kemudian susun mi wantan di atas pinggan dan hiasi bersama cendawan dan sayur.
Akhir sekali taburkan hirisan daun bawang bersama minyak bawang putih.
Mi Kari Chinese Style
Bahan penyediaan kuah
20 gm cili kering
30 gm bawang merah
1 batang serai
30 gm serbuk kari daging
10 gm daun kari
2 cawan minyak masak
6 gm gula
5 gm garam
150ml air
30 gm santan
40 gm ayam-dipotong dadu kecil
Ads
Cara memasak:
Panaskan minyak dan kemudian tumis cili kering bersama bawang merah sehingga naik minyak.
Kemudian campurkan sekali serai yang diketuk dan masukkan daun kari.
Masukkan air sedikit demi sedikit dan masukkan ayam.
Letakkan bahan perasa seperti gula dan garam.
Seterusnya masukkan santan dan kacau perlahan.
Bahan hiasan
150 gm mi kuning
2 keping fish ball
2 keping tauhu pok
15 gm kerang
10 gm sawi
20 gm taugeh
5 tangkai kacang panjang
3-5 hirisan cili merah
1 potong telur rebus
1 sudu teh bawang goreng
1 biji limau nipis
Cara penyediaan:
1.Masukkan sedikit mi ke dalam mangkuk. Letakkan sawi, taugeh, tauhu pok, kerang,kacang panjang dan telur rebus.
2.Tuangkan kuah di atas mi tadi.
3.Tambahkan dengan perahan jus limau kasturi.
4.Akhir sekali taburkan daun sup, daun bawang, cili dan bawang goreng. Sedia untuk dimakan.
Kalau anda ada di pusat beli-belah One Utama, jangan lupa singgah ke restoran Noodle Shack. Restoran yang mula beroperasi sejak 2009 ini menyajikan hidangan mi dan pencuci mulut yang amat sedap. Dimiliki oleh pasangan suami isteri berbangsa Cina namun segala bahan yang digunakan adalah daripada pengedar yang mempunyai sijil halal.
Mencintai makanan yang sedap bagaikan masakan ibu, Natalie Ng Phui Phui dan suaminya, Joseph Sun Chee Fai yang juga sebagai Pengurus Besar dan Pengasas Noodle Shack menampilkan hidangan bangsa Cina tanah air yang boleh dinikmati oleh semua bangsa di Malaysia. Secara mudahnya, Noodle Shack menyediakan hidangan mi yang dikenali sebagai Mian Fen Gua atau lebih mudah, Pan Mee serta Ban Mian.
Mi yang dimasak secara tradisional ini diberikan nafas baru supaya lebih segar, diperkaya dengan cita rasa dan lebih lembut. Pun begitu, menurut Natalie, walaupun resipinya diperbaharui mengikut peredaran masa, namun dia sesekali tidak berkompromi tentang rasa dan cara membuat supaya tidak menjejaskan cita rasa.
CITA RASA BERBEZA
Jika pada hari ini, kebanyakan restoran menyediakan makanan dengan pantas secara komersial. Misalnya menggunakan mesin dan menambah perasa tiruan, pewarna dan juga penambah perisa. Namun di Noodle Shack, Natalie selaku Pengarah Perniagaan dan Pemasaran mengakui bahawa mereka masih mengekalkan keaslian rasa hidangan yang disediakan.
“Kami berbangga kerana menawarkan makanan yang lebih sihat sebagai menggalakkan pelanggan makan makanan sihat. Semua makanan yang kami hidangkan tiada sebarang MSG, tiada pengawet dan tiada pewarna tiruan. Malah kami masak dengan cara terbaik iaitu kurang garam dan kurang minyak,” ujarnya.
Sebab itulah restoran ini dikatakan sebagai restoran yang menyediakan comfort food untuk pelanggan. Hidangannya sihat, bercirikan masakan rumah, sedap dan menyihatkan. Bagi anda yang mahukan hidangan kaum Cina tanah air yang dimasak menggunakan bahan berkualiti dan halal, bolehlah ke sini untuk mencuba.
MI DIMASAK SENDIRI
Kebanyakan restoran menyediakan hidangan mi menggunakan mihun, mi kuning atau kuetiau yang dibeli di pasar raya. Namun berbeza dengan Noodle Shack yang memasak mi sendiri untuk diolah menjadi resipi mengikut menu yang disediakan. Malah mi yang dihidang pula warnanya berbeza mengikut bahan asli yang digunakan untuk dimasak.
“Setiap mi di sini kami masak sendiri bukan dibeli di mana-mana pasar raya. Sebab itulah rasanya takkan sama dengan mana-mana kedai. Semuanya dihidangkan segar dari dapur. Resipi kami adalah resipi tradisional kaum Hakka. Semua bangsa boleh mencuba resipi kami. Ibu kepada suami saya memang suka masak dan beliau masak sendiri mi untuk dinikmati seisi keluarga. Dari situlah timbul idea untuk mengkomersialkan hidangan keluarga kepada orang ramai,” ceritanya lagi.
SUASANA SEPERTI DI RUMAH
Menikmati hidangan di restoran Noodle Shack, terasa bagaikan makan di rumah. Manakan tidak, suasana restoran ini dihias bagaikan persekitaran kediaman kita di rumah. Dengan adanya potret di dinding yang bagaikan potret keluarga. Turut mencuri perhatian adalah lampu neon yang bagaikan kita makan di bawah lampu suasana kediaman bangsa Cina suatu ketika dulu.
Ruang di sebelah dapur juga amat ringkas dekorasinya namun turut sedap mata memandang. Hiasan seperti ruang kanak-kanak mencetuskan suasana riang tatkala menikmati makanan. Malah semua pelayan di restoran ini juga amat dedikasi dan peramah.
Meja kerusi kayu dan dinding kayu turut menguatkan lagi persekitaran bagaikan di rumah sendiri. Inilah yang ingin Natalie dan suaminya tonjolkan kepada pelanggan iaitu mereka mahu pelanggan benar-benar merasai suasana makan masakan ibu sendiri di rumah.
“Selain mengangkat suasana seperti di rumah, saya turut membuat kelainan pada buku menu. Saya reka buku menu berbentuk buku nota sekolah. Ini kelainan yang ingin saya tonjolkan supaya pelanggan ingat restoran kami dengan keunikan ini,” katanya lagi.
Selain di pusat beli-belah One Utama, Noodle Shack juga ada cawangannya di IPC Shopping Centre dan Avenue K di Jalan Ampang. Orang ramai boleh mengunjungi mana-mana cawangan Noodle Shack untuk menikmati hidangan mi homemade yang sedap dan menyihatkan.
Kali pertama terpandang karipap ini, saiznya menjadi perhatian. Memang besar. Malah lebih besar daripada tapak tangan orang dewasa. Sebab itulah nama diberikan sebagai Karipap Gergasi.
Gerai Mak Masak Cravers menampilkan karipap bersaiz besar. Karipap ini mempunyai tiga pilihan menu iaitu karipap gergasi inti ayam, karipap gergasi inti daging dan karipap gergasi inti telur. Semuanya dijual pada harga RM3 setiap satu.
Menurut empunya gerai, Siti Nur Hawa Binti Abu Samah, perniagaan karipap gergasi sudah bermula sejak Oktober 2018. Sambutan pelanggan juga semakin hari semakin menggalakkan.
“Karipap adalah kuih kegemaran dalam keluarga saya. Jadi memang kami kerap buat karipap untuk dimakan seisi keluarga. Kemudian cuba buat dan jual di gerai. Sambutan daripada orang ramai membuatkan saya makin serius dan buka gerai secara sepenuh masa. Selain karipap ada juga Portugese Egg Tart,” kata Hawa.
SEDAP DAN RANGUP
Doh karipap yang diadun dengan bahan-bahan sebati menjadikan Karipap Gergasi sedap dan rangup. Resipi yang digunakan untuk membuat karipap adalah resipi turun-temurun daripada ibunya, Puan Nor Anita binti Md Zain.
“Ibu saya memang pandai buat karipap dan selalu dapat pujian karipapnya sedap. Bahan inti ditumis lama dan mesra menjadikan rasa inti karipap itu sedap. Doh karipap pula apabila digoreng jadi rangup bila dimakan. Itulah sebabnya saya ikut resipi yang ibu saya berikan,” ujarnya lagi.
Hawa amat gembira kerana sambutan pelanggan sangat baik dan menggalakkan. Setiap hari akan dapat komen positif daripada pelanggan dan permintaan semakin tinggi dari sehari ke sehari.
FOKUS PADA BISNES
Sebelum fokus pada bisnes gerai Karipap Gergasi, Hawa adalah kakitangan perbankan dalam bidang jualan dan pemasaran. Namun minat kepada berniaga tidak pernah luput apatah lagi dia memang sudah mula berniaga kuih-muih bersama ibunya sejak kecil lagi.
Malah Hawa amat beryukur kerana mendapat sokongan daripada ibu, ayah, suami dan adik-adiknya.
“Saya memang suka berniaga dan dari kecil dah ikut ibu berniaga kuih. Saya berhenti kerja selepas saya rasakan cukup pengalaman dalam bidang jualan. Saya berhasrat mempraktikkan kemahiran membuat kuih yang saya belajar daripada ibu. Kemudian gabungan dengan kemahiran yang saya ada. Lagipun saya juga graduan UiTM dalam bidang Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa. Ilmu yang saya ada dan minat berniaga, boleh saya fokus untuk naikkan Karipap Gergasi,” katanya lagi menutup bicara.
INFO GERAI Nama gerai: Mak Masak Cravers Pemilik: Siti Nur Hawa Binti Abu Samah & Muhammad Adib Izudin Bin Abu Samah Lokasi: Bazar Makan Seksyen 19, Shah Alam Waktu operasi: 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang Wajib cuba: Karipap Gergasi Daging
Sebut je pasal Kota Bandung, ramai yang tersenyum. Inilah antara syurga membeli-belah yang paling digemari dan menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Selain terkenal sebagai tempat perlancongan yang menarik, kota ini juga merupakan pusat membeli-belah barangan murah seperti aneka kain sulam, lace dan bermacam-macam lain. Pendek kata bila jejak kaki ke sana, memang rambang mata dibuatnya.
Salah seorang selebriti terkenal yang berasal dari kota ini ialah Laudya Cynthia Bella. Mendengar sahaja pemilik nama indah ini, pasti terbayang di mata anda selebriti cantik manis dari seberang yang meletop menerusi filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 ini. Malah bintang jelita ini juga menjadi lebih dekat dengan rakyat Malaysia setelah mendirikan rumahtangga dengan ahli perniagaan terkenal, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Kini, selain sibuk dengan kehidupan barunya di Malaysia, Laudya Cynthia Bella yang mesra dengan panggilan Bella juga masih berulang-alik ke Indonesia demi ‘cinta hati’nya. Wah…Siapa tu?Cinta hati yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah perniagaan yang diusahakan beliau disana iaitu Bandung Makuta. Ia merupakan sebuah perniagaan kedai kek yang menjual ole-ole khas Bandung.
Jangan tak tahu, walaupun baru sahaja dijalankan, pernigaan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan sentiasa diserbu para peminatnya sehingga kehabisan stok!Antara produk-produk yang dijual disini ialah Makuta Blueberry, Makuta Cheese, Makuta Caramel, Makuta Lemon, Makuta Chocolate dan Makuta Extra Cheese.
Malah bagi anda yang inginkan ole-ole yang lebih istimewa, Bandung Makuta juga ada menyediakan ole-ole Gold Series iaitu Makuta Choco Cheese dan Makuta Cassava Cheese / Peuyeum. Fuhhh…Lihat gambarnya sahaja sudah cukup buat rasa terliur dan nak cuba. Jom layan gambar-gambar manisan istimewa dari kedai Bella ni. Andai ke Bandung, bolehlah cuba.
Jom cuba resipi meatball homemade sedap menyengat tanpa MSG! Sihat, mudah disediakan dan sesuai untuk hidangan keluarga. Ikuti langkah mudah ini sekarang.