Restoran Nasi Lemak Nek Nong Tawar Hidangan Nasi Lemak Berlauk Panas Di Kota London.

Share

Nasi Lemak merupakan hidangan kegemaran rakyat Malaysia. Pergilah kemana sahaja ceruk di negara ini, anda boleh menikmati menu ini dengan mudah. Ianya sangat ringkas. Nasi yang dimasak bersama santan, daun pandan dan dinikmati bersama sambal enak, ikan bilis goreng, telur rebus dan hirisan timun. Sedap dan mengenyangkan!

Kini Nasi Lemak telah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila Duzy Noramzamnas Abdul Aziz, 30; pemuda kelahiran Sabah telah berjaya membuka Restoran Nasi Lemak Nek Nong di kota London.

Mengetengahkan konsep Nasi Lemak yang dihidang bersama pelbagai lauk, ternyata ianya satu percaturan yang bijak. Ini kerana menurut Duzy, sambutan terhadap makanan Malaysia di United Kingdom amat menggalakkan kerana ramai rakyat Malaysia tinggal disana dan mereka sering mencari makanan Malaysia. Malah sejak dibuka pada Januari yang lalu, restorannya telah mendapat sambutan yang cukup hangat dari pelanggan tetap yang terdiri dari rakyat Malaysia, Singapura, Brunei dan juga Indonesia.

Hidangan Nasi Lemak Nek Nong ini mempunyai keunikan dan tarikannya yang tersendiri dimana ia dihidangkan bersama sambal istimewa, ikan bilis rangup, hirisan timun dan juga telur. Malah pelanggan juga boleh memilih beberapa lauk tambahan seperti Ayam Goreng Kunyit

, Ayam Goreng Crispy, Ayam Masak Kicap
, Ayam Masak Merah, Sambal Udang, Sambal Sotong
dan banyak lagi yang dimasak panas-panas.

Istimewanya resipi Nasi Lemak ini pula dipelajari dari ibu Duzy sendiri. Beliaulah yang mengajar Duzy memasak dan mewarisi resipinya. Malah nama Nasi Lemak Nek Nong juga diambil sempena nama panggilan ibunya, Nek Nong.

Jika inginkan kelainan, Restoran Nasi Lemak Nek Nong juga menyajikan sajian dari Timur Tengah seperti Chicken Shawarna, Falafel Halloumi, Arabic Full Breakfast, English Full Breakfast dan juga aneka jenis kek.

Bagi yang ingin mencuba keenakan Nasi Lemak Kota London ini, Restoran Nasi Lemak Nek Nong terletak bersebelahan Bayswater dan mengambil masa lima minit sahaja dengan berjalan kaki dari Stesen Paddington dan ianya dibuka setiap hari bermula jam 12 tengahari hingga 10 malam.  Selamat mencuba!

Published by
Nur