Rezeki Tidak Dijangka. Kak Long Pikat Hati Juri Dengan Hidangan Kegemaran Keluarga

Share

Semangat dan tekad untuk menimba ilmu baru dan mencabar diri demi sebuah pengalaman yang tidak pernah dirasai, menjadi pendorong kepada Nurazimah Binti Ahmad Afandi untuk menyertai Pertandingan JagOH Rasa BABA’S ini.

Berbekalkan sebuah resipi kegemaran keluarga, Nurazimah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Long memberanikan diri menghantar penyertaan di laman web RASA.

Nah, betullah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia bukanlah siapa-siapa. Bukan seorang chef terkenal, bukan juga tukang masak handalan restoran ternama, tapi keenakan hidangan yang disajikan air tangan seorang ibu yang mengusahakan perniagaan Sambal Hitam Bentong secara kecil-kecilan ini berjaya memikat hati para juri.

Teruja dan berasa sangat bertuah. Itulah rasa yang dapat Kak Long luahkan bila dapat masuk pertandingan ini kerana semua peserta yang hadir hebat-hebat belaka. Malah hidangan mereka semua sangat menarik.

Semasa sesi penjurian dijalankan, perasaan gementar tu memang Kak Long tak boleh nak sorok. Maklumlah ini kali pertama Kak Long mengikuti pertandingan memasak yang diadilli juri profesional dan kelilingi jurugambar. Terima kasih kepada para krew yang ada pada hari acara tersebut kerana semuanya sangat membantu dan sentiasa memberikan kata-kata positif.

Guna dua jenis rempah iaitu Serbuk Kari Ikan Pedas BABA’S

 dan Serbuk Kari Ikan Pedas BABA’S adalah rahsia keenakan hidangan Shell Out Kasih BABA’S. Ditambah dengan penggunaan gula melaka menjadikan lebih rasa yang lebih unik dan sedap.

“Menu ini adalah rekaan Kak Long sendiri yang asalnya dimasak untuk keluarga tersayang. Ia merupakan juadah kegemaran suami serta anak-anak dan sebab itu Kak Long ingin berkongsi hidangan kegemaran keluarga ini kepada semua.

Sekiranya ada rezeki menjadi Top 4, Kak Long akan buat yang terbaik untuk berjaya. Tujuannya hanya satu iaitu untuk tunjukkan kepada anak-anak bahawasanya ibu mereka ini seorang yang kuat semangat dalam usaha untuk beroleh sesuatu kejayaan. Malah Kak Long juga berimpian untuk memajukan lagi perniagaan Sambal Hitam Kak Long Bentong supaya lebih dikenali”, ujarnya dengan penuh bermakna.

 

SHELL OUT KASIH BABA’S

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ketam
  • 1/2kg udang
  • 5 ekor sotong
  • 1/2 lala
  • 2 ekor udang lobster

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • 3 biji bawang merah (*)
  • 5 biji bawang putih (*)
  • 1 inci halia (*)
  • 3 sudu lada kering kisar (*)
  • 20gm udang kering (*)
  • 1 paket kecil Serbuk Cili BABA’S
  • 1 paket kecil Serbuk Kari Ikan BABA’S
  • 3 sudu makan sos tiram
  • 2 sudu makan sos cili
  • 2 sudu makan sos tomato
  • 1 1/2 cawan air rebusan makanan laut
  • Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
  • 1 biji brokoli yang telah dicelur

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan semua makanan laut dan rebus hingga masak. Ketepikan.
  2. Kisar bahan yang bertanda (*) dan tumis sehingga garing.
  3. Setelah garing, masukkan Serbuk Cili BABA’S dan Serbuk Kari Ikan BABA’S bersama air rebusan makanan laut tadi.
  4. Kacau bahan tumis sehingga pecah minyak dan barulah masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato, garam, gula dan sedikit penambah perasa. Sebatikan.
  5. Setelah sos masak, masukkan makanan laut yang telah direbus tadi bersama-sama dengan brokoli yang telah dicelur.
  6. Gaul rata hingga bersalut semuanya.
  7. Shell Out Kasih BABA’S sedia untuk dihidangkan.

 

JAGOH RASA BABA’S

Pertandingan ini terbuka kepada seluruh warga Malaysia dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang. Berkerjaya atau tidak, suri rumah, atau masih belajar, layak untuk menyertai pertandingan ini.

Pada peringkat awal, peserta hanya perlu menghantar gambar masakan berserta resipi penuh secara atas talian iaitu melalui laman web majalah Rasa. Selepas pemilihan awal, perserta yang layak perlu melalui sesi penjurian bagi mencari Top 12 yang diadakan di empat lokasi iaitu di Pulau Pinang, Kota Bharu, Johor Bahru dan Subang Jaya.

Seterusnya peserta Top 12 akan dipilih melalui undian secara atas talian bagi mendapatkan 4 tempat ke final dan seterusnya bakal bertanding secara berhadapan.

JAGOH RASA BABA’S menawarkan wang tunai dan trofi.

Tempat Pertama: RM10,000

Tempat Kedua: RM5,000

Tempat Ketiga: RM3,000

Tempat Keempat: RM1,000

Saguhati: RM500 x 8 peserta

 

 

 

 

Published by
Team Rasa