NAMA ‘roti arab skirt’ agak pelik kedengaran dan pastinya pelanggan tertanya-tanya bagaimana rupa roti tersebut.Menurut pemilik warung Ayang Zairi, Noriza Shahrom, 43, idea itu datang daripada suaminya, Mohd Zairi Omar, 49, selepas makan di sebuah kedai roti arab.
“Sebenarnya kami sekeluarga memang kalau pergi kedai makan, kami suka pesan lain dari senarai menu. Suami pernah pesan roti arab ditambah telur atasnya, dia kata macam pakai skirt. Memang tukang masak rasa pelik.
“Lepas kami buka warung ini Mei lalu, saya ambil semula segala menu pelik yang kami pesan sebelum ini untuk kedai kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Dari situ, maka terhasil lah roti arab skirt iaitu roti arab kosong yang dimasak dengan sebiji telur di atasnya dan dijual RM3 setiap satu.
Di warung Ayang Zairi, roti arab daging dan roti arab daging telur goyang turut menjadi pilihan pelanggan kerana keenakan daging cincang hasil air tangan Noriza sendiri.“Kami anak beranak memang suka makan daging tak kira kambing atau lembu. Jadi tercetus idea untuk makan roti arab cicah dengan daging.
“Saya cuba-cuba saja awalnya, tak sangka pula menjadi dan Alhamdulillah dapat sambutan. Saya hasilkan sendiri resipi daging masak rempah itu dan dijual RM4.50 dan RM5.50 setiap satu,” katanya.
Uniknya warung Ayang Zairi turut menjual roti jala telur bersaiz besar yang dimakan bersama kari ayam.
Melihat kepada saiznya pasti buat pelanggan teruja.
Warung Ayang Zairi beroperasi setiap hari kecuali Sabtu bermula jam 7 pagi hingga 4.30 petang di hadapan kompleks perumahan polis Mersing.
Sumber: Sinar Harian
Nak buat Capati, Ini resipinya.
Cuba juga resipiLasagna Roti ini.