Roti Canai ‘Tsunami’ Pak Ali. Gerai Roti Canai Terbaik Di Pantai Dalam.

Share

Apa yang istimewa sangat roti canai dekat kedai ni? Ha…tak cuba tak tahu dik..Jawapannya pastilah Roti Canai Tsunami! Menu ni pernah jadi viral di media sosial. Pemiliknya; Muhamad Ali Daud dan isteri Noridah Sapak sendiri tidak menyangka idea cetusan nama tsunami daripada anak mereka itu menjadi tular sampaikan tak menang tangan dibuatnya.

 

Idea asal Roti Canai Tsunami ni semuanya bermula apabila pensyarah kepada anak lelaki mereka meminta dibuatkan roti canai lain dari yang lain. Mulanya menu ni diberi nama ‘Roti Special’ kemudian diubah menjadi ‘tsunami’ bagi mencipta keunikan. Roti canai ‘tsunami’ sebenarnya adalah roti banjir yang ‘disirami’ kuah kari ,dal dan sambal. Lebih lazat lagi ia turut ditambah dua biji telur separuh masak. Mantap!!

Kalau makan hidangan ni, comfirm kenyang! Hanya dengan RM2.40 satu set bersama air teh atau teh o ais, anda dah boleh tersenyum puas. Lebih istimewa, keenakan Sambal Bilis homemade yang dihidang bersama menjadikan campuran kuah cicah ini menjadi  lebih enak. Ada juga Kari Sardin juga uols. Fuhhh! Memang power!

 

Dek kerana penangan viral ini juga, setiap hari Pak Ali terpaksa menggunakan 35kg tepung untuk menyediakan roti canai berbanding hanya 20kg sebelum ini. Seawal 7.00 pagi lagi pelanggan sudah beratur panjang. Mai lambat, memang rugi. Sewaktu kunjungan RASA, jam 10.30 pagi pun masih ramai lagi pelanggan memenuhi gerai ni.  

Malah Pak Ali juga menawarkan diskaun untuk para pelajar. Maka tak hairanlah gerai yang terletak di Pantai Dalam ini cukup terkenal di kalangan siswa siswi Universiti Malaya.

Di samping roti canai ‘tsunami’,  Pak Ali turut menyediakan roti telur, roti sardin, nasi lemak, bihun dan kuih muih. Memang banyak pilihan yang anda boleh cuba. Jika bawa anak-anak dan keluarga, memang sesuai sangat.  Jika anda ingin singgah, gerai Pak Ali ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 7.00 hingga 11.00 pagi. Selamat mencuba! – Faridah Talib

 

Info Kedai: 

Roti Tsunami @Roti Canai Pak Ali

Depan Pantai Perumahan Pantai Permai

 Jln Pantai Permai, Pantai Dalam,Kuala Lumpur    

Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 7.00 pagi – 11.00 pagi 

Published by
Nur