Jika dahulu bila sebut Roti Jala, terbayang roti kirai berwarna kuning yang dimakan bersama kuah kari atau kuzi. Hidang dikala hari raya ataupun di majlis keraian. Rupanya pun biasa-biasa sahaja. Namun kini, Roti Jala Jelita viral dan menjadi sebutan ramai hinggakan ada yang tidak menang tangan mengambil tempahan.
Roti jala berwarna-warni dan pelbagai bentuk ini memang cantik. Ada berbentuk seperti bunga ros, aiskrim dan juga tembikai. Memang tidak hairanlah ia mendapat perhatian ramai. Malah dek kerana keindahannya itu, orang ramai mula memilih Roti Jala viral ini untuk dijadikan hadiah atau buah tangan istimewa untuk insan tersayang.
Ada yang nak belajar buat Roti Jala viral ni? Boleh cuba resipi perkongsian saudari Nor Fatihah ini. Memang sangat kreatif. Dari bancuhan roti jala biasa, anda boleh hasilkan roti jala berbentuk tembikai dan lobak merah. Menarik kan? Nak makan pun terasa sayang. Nak cuba buat? Jom lihat cara-caranya.
RESIPI ROTI JALA TEMBIKAI & LOBAK MERAH
BAHAN ROTI JALA:
3 cawan tepung gandum – beli online di sini
2 cawan air
1 cawan susu cair – beli online di sini
1/2 cawan minyak masak
1 biji telur
Garam secukup rasa
Pewarna merah, oren dan hijau secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan di atas. Kacau dan tapis.
2. Bahagikan kepada tiga bahagian dan campur pewarna merah, oren dan hijau. Adun rata.
3. Masukkan adunan ke dalam botol atau acuan roti jala.
4. Corakkan bentuk lobak merah dan tembikai dan biarkan masak.
5. Lipat dan gulung roti jalan seperti di bawah.
6. Sedia untuk dinikmati bersama kuah serawa ataupun kari.
KUAH SERAWA
BAHAN-BAHAN:
1 cawan santan pekat – beli online di sini
1 cawan air
1/2 cawan gula melaka – beli online di sini
Gula pasir secukupnya
1 helai daun pandan | disimpul
1 biji telur | dipukul
Garam secukup rasa
1 sudu makan tepung gandum | bancuh dengan sedikit air. Bertujuan untuk memekatkan kuah.
CARA MEMASAK:
1. Satukan santan, air, gula melaka, gula pasir dan daun pandan. Kacau rata dan didihkan di atas api.
2. Kemudian masukkan telur dan garam. Kacau rata.
3. Akhir sekali, masukkan bancuhan tepung gandum dan air. Kacau lagi hingga kuah pekat.
4. Angkat dan sedia untuk dinikmati bersama roti jala tadi.
Info chef: Untuk biji tembikai, anda boleh hasilkan dengan menabur bijan hitam ataupun titiskan coklat cair diatas roti jala.
Bila sudah ada resipi, pasti ada yang tertanya-tanya, macam mana empunya resipi ini mendapat idea membuat Roti Jala yang comel-comel begini. RASA berbesar hati berkongsi cerita bersama saudari Nor Al-Fatihah dan Arleena Abd Rahim mengenai pembabitan awal mereka dalam penghasilkan Roti Jala Jelita viral.
MINAT YANG TERLALU TINGGI
Bagi Nor Al-Fatihah, keinginannya sangat tinggi dan teruja melihat makanan yang dibuat atau dihias dengan kreatif. Lebih-lebih lagi roti jala yang boleh dijelmakan menjadi pelbagai bentuk lain selain daripada bentuk asal.
Meskipun ada menerima tempahan untuk roti jala berbentuk kreatif, namun bagi ibu kepada tiga anak ini hanya akan berbuat demikian apabila perlu sahaja.
“Saya tidak begitu serius dalam membuat roti jala kerana lebih kepada minat. Namun begitu, jika ada permintaan yang tidak boleh ditolak, saya akan buat.
“Saya memang tidak bekerja tetapi ada juga terima order buat kek seperti kek caramel, kek ogura, kek cheese coklat dan juga kuih-kuih. Kalau ada orang order, baru saya buat.
“Bercakap tentang hasil tu, adalah juga dapat dalam 400-500 macam tu bila ada yang order banyak.
“Pernah juga saya terima permintaan untuk buat roti jala bentuk patung Barbie sempena sambutan hari lahir. Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan, saya cuma suka mereka dan inovasikan roti jala tu je,” katanya.
Menurut Nor, dia mula menyedari tentang minatnya dengan pembuatan roti jala kreatif ini selepas dia mencipta roti jala bentuk tembikai hasil ideanya sendiri sekitar tahun 2017.
“Sejak dari itulah, saya mula giat mencari idea untuk inovasikan lagi roti jala yang kreatif. Macam-macam dah saya buat. Roti jala tembikai, aiskrim, barbie doll. Semua tu idea saya sendiri, tak tiru dari mana-mana dan saya juga tak pernah masuk mana-mana kelas.
“Tentang bagaimana boleh timbulnya bentuk roti jala tembikai, kerana dulu-dulu ada orang lipat roti tu bentuk segi tiga kan. Lepas tu la saya terfikir dan ternampak bentuk segi tiga tu macam buah tembikai yang dipotong bentuk segi tiga, terus la dapat idea.
“Masa tu tahun 2017, mula viral. Ramai orang cuba. Kemudian, senyap kejap. Ni muncul roti jala jelita, dia jadi viral balik,” ujar Nor yang berasal dari Terengganu.
MAMPU JANA PENDAPATAN LUMAYAN
Menurut Arleena Abd Rahim, 46, mula membuat Roti Jala Jelita selepas menyertai satu group PJJ Jala Jelita di facebook Puan Huda Ayob.
“Saya masih bekerja sepenuh masa. Bisnes ni saya buat secara sambilan. Sambutan sangat menggalakkan lagi-lagi ketika PKP kerana semua tak boleh bergerak ke mana-mana. Order yang diterima pun kebanyakannya untuk yang tersayang, mak ayah, adik beradik.
“Hasil paling tinggi saya dapat sejak viral roti jala bunga-bunga bermula 22 Jun lepas. Sejak tu, ramai yang nak order. Paling tinggi sehari saya dapat RM500. Saya suka cari contoh-contoh gambar bunga melalui Google dan Pinterest. Ada juga idea yang datang bila tengok dekorasi kek,” ujar ibu kepada tiga anak ini.
Tatkala ditanya tentang kritikan yang diterima kerana menggunakan pewarna dalam pembuatan roti jala, Arleena memberitahu, dia menerima kritikan secara terbuka kerana lebih mengetahui tentang bahan yang digunakan dalam pembuatan roti jala jelita.
“Masa saya post di satu grup masakan, ada la beberapa kritikan. Tapi pada saya, yang penting saya tahu apa yang dimasukkan dalam makanan. Saya guna gel food color. Tak boleh guna banyak nanti rugi sebab mahal,” katanya.
Arleena yang tinggal di Cheras ini menyatakan, pelbagai ragam dan kerenah yang dihadapi sepanjang membuat Roti Jala Jelita. Antara rekaan yang paling sukar untuk dibuat baginya ialah Design Hello Kitty.
Selain daripada itu, cabaran lain yang dihadapi Arleena ialah terpaksa berdiri lama bagi menyiapkan sesebuah rekaan roti jala jelita.
“Kena berdiri lama dan mengadap dapur selagi tak siap itu adalah perkara biasa. Untuk hasilkan sekotak jala bunga, contohnya, paling cepat 1 jam setengah sebab saya buat bunga berdasarkan tona warna-warna pilihan pelanggan,” ujarnya.
Nah…serba sedikit kisah dari mereka yang boleh dijadikan inspirasi untuk anda juga. Moga perkongsian ini mampu menyuntik minat buat anda untuk mencuba.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa:
Tak Rugi Cuba Resipi Red Velvet Brownies Cheese Ini. Memang Sedap!
Resepi Cheesekut Paling Sedap. Cuba Yang Ni Tak Cari Lain Dah
Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap di YouTube @Majalah Rasa Official:
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI