Kalau sebut rendang siapa yang tak suka, ramai yang suka lauk autentik yang cukup sinonim dengan Hari Raya. Terasa-rasa kat tekak sedapnya, tak kiralah makan dengan nasi, ketupat, pulut kuning atau pun lemang. Tapi kalau korang nak sedikit kelainan dan rasa lebih sedap, boleh tambahkan dalam rendang daun selom, kena pula dengan rendang cili padi. Tak rugi mencuba.

IKLAN


RENDANG CILI PADI AYAM & DAUN SELOM
BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 500gm ayam potong kecil
  • Sedikit daun selom
  • 300ml santan
  • Sedikit air
  • 2 sudu makan kerisik
  • 2 keping asam gelugor
  • 4 batang serai | titik
  • 1 helai daun kunyit | carik -carik
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 20 biji cili padi
  • 4cm kunyit hidup
  • 2cm halia
  • 2cm lengkus
  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 biji buah keras

CARA MEMASAK:

  1. Ayam yang telah dibersihkan, digaul dengan separuh dari bahan kisar.
  2. Masukkan dalam periuk atau kuali dan campurkan sedikit air, biarkan mendidih atas dapur.
  3. Apabila air kering, masukkan lebihan bahan kisar tadi, santan, serai dan asam gelugor. Biarkan mereneh atas api sederhana.
  4. Setelah kuah pekat, masukkan kerisik, daun selom dan daun kunyit.
  5. Terus kacau, sambil itu perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Kecilkan api dan biarkan rendang mereneh hingga ayam empuk.
  7. Tutup api, angkat dan hidangkan.