Sabun pencuci pinggan antara yang wajib ada di dapur. Tanpa sabun pencuci pinggan, minyak dan kotoran pada pinggan mangkuk, cawan serta periuk belanga memang sukar dibersihkan.
Lagi kerap masak dan makan di rumah, lagi banyak sabun pencuci pinggan digunakan untuk mencuci peralatan memasak dan pinggan mangkuk. Sebagai langkah penjimatan, sabun pencuci pinggan ini sebenarnya boleh kita hasilkan sendiri di rumah menggunakan bahan semula jadi.
Cara Jimat Buat Sabun Pencuci Pinggan Sendiri
Jika anda menanam pokok limau kasturi di rumah, ini satu kelebihan kerana bahan utama untuk menghasilkan sabun pencuci pinggan ini ialah limau kasturi. Selain memberi aroma segar, limau kasturi juga membantu menanggalkan minyak dengan lebih berkesan.
Sebagai panduan, boleh gunakan cara yang dikongsi oleh Mainim Saikun. Beliau membuat sendiri sabun pencuci pinggan menggunakan limau kasturi yang ditanam di rumahnya. Hasilnya, dengan sekilo limau kasturi boleh menghasilkan sehingga 12 liter sabun pencuci pinggan yang boleh digunakan selama berbulan-bulan.
Cara Buat Sabun Pencuci Pinggan Limau Kasturi
Bahan-bahan:
1 kilo sodium lauryl ethe sulfate (bentuk gel)
1 kilo limau kasturi
10 liter air
1 kilo garam halus
Pewarna makanan (pilihan)
Cara-caranya:
Rebus limau kasturi bersama biji dan kulitnya hingga mendidih.
Kemudian tos dan kisar limau ini bersama sedikit air.
Tapis limau dan ambil jusnya. Ketepikan seketika.
Dalam bekas, gaul sebati garam dan sodium lauryl ethe sulfate.
Kemudian tuang 10 liter air, jus limau kasturi dan pewarna makanan ke dalam larutan garam dan sodium tadi.
Gaul sehingga tiada ketulan.
Biarkan sekurang-kurangnya semalam sebelum digunakan.
Info Tambahan Tentang Sabun Pencuci Pinggan Limau Kasturi
Selain limau kasturi, boleh juga menggunakan buah lemon.
Tujuan limau direbus adalah untuk mengelakkan kulat pada sabun pencuci pinggan.
Sodium lauryl ethe sulfate dalam bentuk gel boleh dibeli secara online.
Dengan membuat sabun pencuci pinggan sendiri, anda bukan sahaja menjimatkan kos, malah dapat memastikan bahan yang digunakan lebih selamat dan mesra alam.
Kebiasaannya, kita pasti akan merebus daging jika mahu mendapatkan daging yang lembut. Tetapi kali ini, kami akan berkongsi satu petua untuk melembutkan daging dengan hanya menggunakan minyak. Petua yang dikongsi oleh Puan Mahamidah Hamdan ini ternyata cukup mudah. Jom kita cuba buat di rumah.
CARA MELEMBUTKAN DAGING:
1. Letakkan dua sudu minyak ke dalam kuali dan panaskan minyak tersebut.
2. Masukkan daging.
3. Air akan keluar sendiri dari daging tersebut.
4. Gunakan api yang kuat.
5. Kacau daging tersebut sekali-sekala sahaja. Masak sehingga air kering.
6. Bila air hampir kering, barulah kacau daging tersebut dengan kerap.
7. Air sudah kering bermakna daging sudah lembut.
Daging empuk dan lembut. Mudah dan ringkas sahaja caranya. Selamat mencuba!
Bulan puasa ni memang agak mencabar bagi kaum ibu terutamanya bagi mak-mak yang berkerja. Mana taknya, sampai sahaja di rumah, kalut nak masak juadah berbuka untuk keluarga. Lebih parah lagi jika lauk yang nak dimasak tu, lupa nak dikeluarkan dari peti sejuk beku pada waktu pagi. Aduhai…memang bertambah huru-hara. Ada petua mudah untuk melembutkan lauk-pauk sejuk beku ni. Dalam masa kurang 10 minit, ikan, ayam dan daging boleh lembut dan boleh dimasak. Cara-caranya ialah:
1. GUNA MICROWAVE
Cara ni paling mudah. Masukkan lauk sejuk beku anda ke dalam bekas dan letakkan di dalam ketuhar gelombang micro. Tekan butang ‘defrost’ dan tunggu proses tersebut siap. Hasilnya ais pada lauk pauk anda akan cair dengan mudah.
2. GUNA PERIUK
Bagi yang tak ada microwave, ada juga cara lain yang boleh dicuba selain merendam lauk pauk di dalam air. Anda hanya perlukan dua buah periuk ‘steel’. Basuh ikan/ayam/daging dengan cara mengalirkan air selama 1-2 minit. Kemudian terungkupkan periuk pertama dan susun lauk beku anda pada bahagian belakang (bontot) periuk. Ambil periuk kedua dan isi air didalamnya. Kemudian letakkan di atas lauk tadi. Biarkan dan tunggu daging lembut. Masa yang diambil bergantung kepada tekstur bahan. Paling sesuai guna cara ini adalah untuk melembutkan daging lembu, potongan kambing dan ikan.
3. GUNA CUKA MAKAN
Untuk cepatkan daging beku lembut, anda juga boleh menggunakan cuka makan. Caranya mudah sahaja. Ambil daging yang hendak dilembutkan dan masukkan ke dalam bekas. Masukkan air dan sedikit cuka makan di dalamnya. Cuka mampu emnurunkan suhu kebekuan serta pada masa yang sama, mampu menjadikan daging empuk dengan mudah apabila dimasak. Setelah daging lembut, bilas dan masaklah seperti biasa.
4. GUNA AIR PANAS
Cara ini sesuai untuk melembutkan daging dan tidak begitu sesuai untuk ikan dan ayam. Apa yang anda perlu lakukan ialah masukkan air yang mendidih ke dalam bekas. Campur sedikit air biasa supaya suhunya sekitar 80C. Masukkan kepingan daging yang hendak dicairkan dan tunggu seketika sehingga aisnya cair. Toskan dan masaklah daging seperti biasa. Namun masa diambil juga bergantung kepada ketebalan daging. lebih nipis daging, lebih cepat ia lembut.
Memasak makanan laut seperti sotong dan sebagainya adakalanya memerlukan ketahanan yang kental kerana percikan minyaknya yang bukan sedikit. Silap langkah, habis dapur anda berminyak. Belum kira yang kena pada kulit lagi.
Ada pelbagai cara yang dipesan oleh ibu kita untuk elakkan masalah ini. Ada yang kata guna tutup periuk, lap bahan masak supaya tiada air dan sebagainya. Salah satu petua lain yang boleh dicuba ialah dengan menngunakan garam.
Penggunaan garam kasar amatlah membantu anda. Masukkan sedikit garam kasar ke dalam minyak gorengan yang hendak dipanaskan kemudian barulah dimasukkan bahan gorengan seperti biasa. Hasilnya tiada percikan minyak panas lagi. Selamat mencuba!
Nak makan kuetiau tapi malas nak keluar? Jom belajar cara buat kuetiau homemade yang mudah, bersih dan jimat. Resipi lengkap Kak Yong Ima Shida, confirm jadi!