Salad Ayam Lemon Lada Hitam, Lengkap Protein & Sayur

Share

Resipi ringkas yang kita kongsikan hari ini ialah Ayam Lemon Lada Hitam.

Bahan perapnya sangat mudah dan ayam ini boleh dipadankan dengan nasi ayam, nasi putih ataupun salad.

Tidak terlalu pedas, sesuai untuk kanak-kanak. Tidak juga terlalu tak berasa (bland/ ‘manja’), sesuai untuk dewasa.

Resipi yang dikongsikan Siti Hazneza Abdul Hamid ini, sesuai untuk golongan yang menjaga kesihatan dan mencari menu diet.

Salad yang sesuai jadi satu hidangan lengkap, siap ada sayur dan ada protein.

 

AYAM LEMON LADA HITAM

BAHAN-BAHAN:

1 kg isi dalam dada ayam | basuh bersih dan toskan air
2 sudu makan mentega/marjerin – beli online di sini

BAHAN PERAPAN:

7 ulas bawang putih – beli online di sini
1 sudu makan lada hitam biji
¼ cawan jus limau nipis/ lemon (saya guna jus limau nipis yang biasa digunakan di kedai makanan Thai)

BAHAN SAMPINGAN:

4 pokok romaine kecil (baby romaine)
1 biji timun | dibelah empat memanjang dan dipotong kasar, akan dapat bentuk segitiga kecil
½ biji cili benggala hijau | hiris serong
½ biji cili benggala merah | hiris serong
1 genggam tomato ceri | dipotong 2

CARA MEMBUAT:

1. Selepas ayam dibasuh dan ditoskan, pindahkan ayam ke dalam bekas yang sesuai.


2. Tumbuk/kisar kasar bahan perapan. Masukkan dalam ayam dan tambah garam secukup rasa.


3. Gaul rata. Tambah lagi garam, jus limau nipis atau serbuk lada hitam jika perlu.


4. Tutup dan biarkan. Jika hendak masak dalam masa sejam, biarkan pada suhu bilik.
5. Jika hendak masak dalam masa yang lebih, simpan dalam peti sejuk dan keluarkan ~15 minit sebelum masak.


6. Jika hendak buat stok ayam perap lemon lada hitam, biarkan dalam peti sejuk semalaman (~12 jam). Esoknya, toskan air perapan dan pindahkan ayam yang telah diperap ke dalam plastik kedap udara (ziplock bag) atau bekas yang sesuai dan simpan dalam tempat sejuk beku (freezer).

[Jangan Terlepas Resipi Menarik Di Channel Rasa]

7. Apabila hendak dimasak, keluarkan ayam supaya hilang beku (thaw) dan biarkan ayam ke suhu bilik sebelum masak supaya tidak ada bahagian yang mentah.
8. Untuk memasak, panaskan minyak dan 2 sudu makan mentega/marjerin.


9. Masukkan ayam apabila minyak-marjerin sudah panas. Masak atas api kecil.


10. Balikkan ayam apabila sebelah telah garing keemasan dan masak sebelah lagi supaya garing keemasan juga.

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]


11. Bina lapisan salad. Mulakan dengan potongan kasar romaine kecil dan tabur sedikit kuah salad pilihan. Saya guna kuah salad dewi hijau.


12. Kemudian, letakkan timun yang dibelah empat memanjang dan dipotong kasar.


13. Letakkan cili benggala merah.


14. Hiris ayam dan taburkan.


15. Taburkan pula cili benggala hijau.


16. Akhir sekali, tabur dua tomato ceri (atau biar sebiji-sebiji). Siap.

Kredit resipi: Siti Hazneza Abdul Hamid

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa

Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap Dailymotion @Rasa dan YouTube @Majalah Rasa Official

Published by
webadmin