Perasan tak, kadangkala ada individu yang tidak boleh menikmati sambal yang menggunakan belacan sebagai ramuannya. Ini kerana mereka mungkin mempunyai resdung atau alahan. Kalau makan juga, alamatnya bersin-bersinlah jawabnya.
Justeru, seorang personaliti kebun bandar, Enkay Nik Mustaffa memberikan resipi Sambal Tanpa Belacan. Menurutnya, resipi ini adalah daripada ibunya sendiri yang kerap membuat sambal sebegini disebabkan mahu mereka yang ada alahan pun dapat menikmati sambal ketika makan nasi. Barulah nikmat, kan?
Sambal ini tidak menggunakan gula putih sebaliknya menggunakan gula melaka yang juga dipanggil sebagai gula kelapa atau nise.
“Saya memang dah lama tidak ambil gula putih. Ini kerana gula putih mengandungi bahan tidak baik dalam tubuh. Gula boleh menyebabkan ketagihan. Malah turut tidak elok diambil secara berlebihan sehingga meningkatkan risiko kepada masalah jantung,” ujarnya.
Jom kita tengok resipi sambal tanpa belacan ni. Sedap dimakan dengan nasi panas dan ayam goreng. Wow!
BAHAN-BAHAN:
10 ulas bawang putih
4 biji bawang merah kecil
10 biji limau kasturi (dibelah dan diperah jus dan bijinya)
2 inci halia
Segenggam cili padi
5 sudu besar cuka makan
Sedikit gula melaka
Garam scukup rasa
CARA MEMBUAT:
1) Bawang merah dan bawang putih dibakar.
2) Ambil pengisar, masukkan bawang merah dan bawang putih yang telah dibakar tadi.
3) Masukkan kulit limau kasturi.
4) Masukkan jus limau kasturi yang telah ditapis.
5) Masukkan halia.
6) Kisar semua ini sehingga hancur.
7) Masukkan pula cili padi. Kisar sekali lagi.
8) Masukkan cuka makan. Kisar sekali lagi.
9) Masukkan gula melaka dan garam mengikut cita rasa anda. Kisar lagi. Siap untuk dihidang.
Sumber: Tiktok Enkay.NikMustaffa
Anda mungkin suka entri yang berikut:
https://www.rasa.my/oku-bersihkan-semak-jumpa-buah-letup-rupa-rupanya-banyak-khasiat-buah-ini/