Kalau ada sambal yang sedap, rasanya macam dah senang hendak mengalas perut yang lapar. Cuma tinggal goreng telur dadar sahaja, sudah memadai untuk dijadikan lauk.
Kali ini RASA ingin kongsikan resipi sambal tumis yang menggunakan cili padi. Ditambah pula dengan ikan bilis.
Rahsia keenakannya adalah ikan bilis jangan ditumbuk atau kisar terlalu halus. Biarkan kasar-kasar sedikit supaya sedap dimakan.
Jom kita tengok resipinya.
BAHAN-BAHAN
Segenggam ikan bilis (bahagi dua bahagian)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
20 tangkai cili padi hijau
Minyak masak untuk menumis
1 keping asam keping
Sedikit air
Garam dan gula secukup rasa
5 tangkai cili padi hijau
5 tangkai cili padi merah
CARA MEMBUAT
1. Sebahagian ikan bilis, bawang merah kecil, bawang putih dan cili padi dikisar halus.
2. Panaskan minyak masak.
3. Tumis bahan kisar sehingga naik bau.
4. Masukkan asam keping dan sedikit air. Tumis lagi.
5. Sebahagian lagi ikan bilis ditumbuk kasar. Masukkan dalam masakan.
6. Masukkan garam dan gula.
7. Masukkan cili padi hijau dan cili padi merah. Masak lagi biar sampai pecah minyak.
8. Matikan api dan boleh dihidang.
ANDA MESTI SUKA RESIPI INI
KUIH KERIA MONTEL
KUIH LIMAS, BUBUR KACANG HIJAU DAN KOKTEL
IKAN SIAKAP SOS THAI