Sambal Tumis Udang Petai Dan Kuih Keria ,Menu Kombo Untuk Berbuka

Share

Salam Ramadan. Dalam kita mengharungi minggu PKP ini memasak juga haruslah berpada-pada. Buat menu kesukaan keluarga yang sudah tentu akan dinikmati hingga habis. Maka tiadalah pembaziran. Hari pertama berbuka dah tentu nak yang kecur liur atau menu yang sudah lama tak nikmati.  Untuk kuih muih kita cuba buat kuih keria. Jom geledah dapur tengok apa yang ada.

SAMBAL TUMIS UDANG PETAI

Bahan bahan:
Udang – lumur garam dan serbuk kunyit, jika suka
1 mangkuk petai
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 biji bawang besar Holland – hiris
Garam
Gula
Serbuk perasa
Minyak masak

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
Sedikit belacan
5-6 sudu besar cili kering kisar

Cara memasak:
1.Panaskan minyak dan goreng udang seketika sahaja.

2.Angkat udang dan ketepikan.
3.Menggunakan minyak yang sama, tumis bahan kisar dengan api perlahan sehingga cili benar benar garing.
4.Setelah garing, masukkan gula terlebih dahulu. Kacau rata dan masukkan sedikit air.
5.Kacau rata sehingga sambal pecah minyak dan cantik.
6.Setelah sambal cantik, baru dimasukkan udang.

7.Kemudian masukkan sos tomato dan sos cili.
8.Setelah sebati, masukkan garam serta serbuk perasa.
9.Akhir sekali, masukkan petai dan bawang besar.

10.Jangan masak lama kerana kita mahu petai yang masih rangup.
11.Kacau rata.

Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

KUIH KERIA

Bahan-bahan:
600gm keledek putih atau merah
1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh garam

Bahan untuk sira:
1/2 cawan gula
1 cawan air

Cara membuat:
1.Potong keledek kepada 2 atau 3 bahagian.
2.Rebus keledek bersama garam sehingga masak empuk.
3.Sejukkan dan buang bahagian kulit keledek. Lenyek sehingga menjadi lembut dan tidak berketul.
6.Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga boleh diuli menjadi bentuk bulat.
7.Bulatkan doh dan buat lubang di tengah.

8.Goreng sehingga kekuningan.

Cara memasak sira gula:

1.Masukkan gula dan air di dalam periuk. 2.Masak sehingga pekat dan gaulkan dengan keledek supaya semua permukaan disaluti gula.
3.Sejukkan dan hidang.

Tip:
Pastikan tepung dimasukkan sedikit demi sedikit supaya adunan tidak terlajak menjadi keras kerana terlebih tepung.

Kredit:Rozelkitchen

Published by
Putri