Biasanya kita makan sandwic telur atau sandwic sardin. Kali ini RASA ingin tampilkan pula sandwic kambing. Bagi peminat kambing, pasti anda suka untuk menikmati hidangan kegemaran anda ini pada pagi hari.
Sandwic kambing ternyata lebih gebu kerana hirisan dagingnya yang tebal namun tetap mudah untuk dikunyah.
Peniaga sandwic bernama Shera Md Selan namun mesra dipanggil Kak Yong ini sudi berkongsi resipi bagi mereka yang ingin menikmatinya sendiri di rumah. Sebagai peniaga, Kak Yong mementingkan kepuasan pelanggan.
“Setiap sandwic saya buat dengan memastikan intinya cukup lengkap dan gebu. Saya bukanlah peniaga yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Bagi saya, kalau orang yang makan itu terasa puas, saya cukup gembira,” katanya yang telah enam tahun menjadikan sandwic sebagai jualan.
BAHAN-BAHAN
400 gram daging kambing
5 sudu besar sos lada hitam
Sedikit blackpepper crush
Minyak masak untuk menggoreng
1 labu bawang holland (potong dadu)
Roti sandwic secukupnya
Sedikit mayones
Salad
5 biji tomato (hiris nipis)
Kepingan keju secukupnya
CARA MEMBUAT
1. Rebus daging kambing sehingga betul-betul empuk dan lembut isinya. Angkat, toskan dan biarkan sejuk.
2. Hiris daging kambing mengikut potongan yang kita mahu.
3. Perap daging kambing dengan sos lada hitam dan blackpepper crush. Perap selama sejam.
4. Panaskan minyak masak. Masukkan bawang holland. Tumis sebentar. Kemudian masukkan daging kambing yang telah diperap tadi. Angkat dan biarkan sejuk.
5. Ambil sekeping roti. Sapukan mayones.
6. Letakkan salad dan tomato.
7. Letakkan kepingan keju di atas salad dan tomato tadi.
8. Susunkan kepingan daging kambing.
9. Akhiri dengan sekeping roti.
10. Potong bentuk sandwic yang anda mahu. Sedia dimakan.
Menurut Kak Yong, sandwic kambing adalah hidangan hidangan lengkap untuk sarapan. Ada roti, ada sayuran, ada keju dan daging kambing sebagai pelengkap nutrisi. Kak Yong mengambil tempahan sandwic di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya.
Sumber: facebook Shera Md Selan