Sangat Sedap! Peniaga Kongsi Resipi Sambal Telur Ikan Bilis Bebola Ikan

Share

Sedapnya Sambal Telur Ikan Bilis & Bebola Ikan ni. Dengar nama sambal macam senang sahaja sediakan tetapi untuk mendapat rasa sambal yang betul-betul sedap bukan mudah. Sambal harus dimasak dengan lama supaya cilinya betul-betul masak dan mengelakkan dari sakit perut.

Saudari Nurul Ateekah yang merupakan peniaga nasi lemak berlauk bermurah hati berkongsi cara untuk memasak sambal dengan betul dan mempunyai rasa yang sedap. Malah sambal ini juga boleh digunakan untuk bermacam jenis masakkan bersambal yang lain.

 

RESIPI SAMBAL IKAN BILIS BEBOLA IKAN

 

BAHAN-BAHAN:
10 biji telur – direbus & dibuang kulit
12 biji bebola ikan
4 sudu makan ikan bilis beli online disini
50gm gula melaka beli online disini


2 sudu makan gula pasir (ikut kemanisan yang disukai )
1 sudu makan serbuk belacan @ ½ sudu kecil belacan biasa beli online disini
Garam & serbuk perasa jika perlu
1-2 sudu makan perahan air asam jawa
Minyak masak secukupnya

BAHAN KISAR:
5 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
1 genggam cili kering – buang biji, rebus, dibasuh & ditoskan barulah dikisar bersama bawang

CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak dalam kuali dan goreng telur rebus selama 1-2 minit. Angkat. Tujuan telur digoreng adalah untuk sambal cantik bersalut pada permukaan telur dan sambal telur pun susah nak basi.


2. Kemudian, goreng juga bebola ikan dan ikan bilis. Angkat dan ketepikan.


3. Dengan menggunakan minyak sama yang banyak, tumis bahan kisar. Masak hingga warna kemerahan.


4. Apabila sambal sudah masak dan sedikit garing, masukkan perahan air asam jawa, serbuk belacan@belacan, gula melaka dan gula pasir.


5. Gaulkan sebati dan biarkan gula melaka cair. Pada masa ini sambal akan berubah jadi warna merah lebih gelap. Jika lebih suka sambal manis, lebihkan sedikit gula pasir. Ikut kemanisan sambal yang anda suka.


6. Apabila sambal sudah warna gelap dan cantik berkilau, masukkan telur, bebola ikan dan ikan bilis yang digoreng tadi. Gaulkan rata dan sambal siap untuk dihidangkan.

 

PETUA MASAK SAMBAL YANG SEDAP

1.GUNA MINYAK YANG BANYAK
Minyak untuk memasak sambal harus banyak barulah sambal akan masak dengan sekata dan tidak hangus. Jangan risau, lebihan minyak sambal nanti boleh disimpan untuk goreng mi, nasi goreng atau goreng telur.

2. MASAK GUNA API SEDERHANA
Untuk memasak sambal dengan sempurna, hendaklah mengunakan api yang sederhana.

3. MASAK SAMBAL LEBIH LAMA
Masa untuk memasak sambal paling kurang 1 jam. Ia untuk dapatkan rasa tumisan sambal yang sedap. Lagi lama masa memasak sambal, lagi sedap rasanya dan sambalnya susah nak basi serta boleh tahan berhari-hari.

INFO: Sambal ini boleh juga untuk memasak sambal udang, sambal sotong, sambal ikan, sambal ikan bilis, sambal nasi lemak atau jenis-jenis sambal untuk mengoreng mee, kuetiau atau bihun.

Kredit resipi & foto: Nurul Ateekah

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

Published by
Nur