Sayur Masak Bening, Cara Masak Paling Mudah Kalau Rasa Nak Jaga Badan.

Share

Ada kalanya kita rasa nak makan dengan lauk pauk ringkas sahaja seperti sayur yang dimasak bening. Ia ringkas, mudah disediakan serta enak dinikmati bersama lauk pauk yang lain. Nak cuba? Rasa tampilkan 7 resipi sayur bening yang boleh anda sajikan buat keluarga tercinta.

 

1. SAYUR PUCUK MANIS MASAK BENING BERSAMA LABU

Sayur Masak Bening, Cara Masak Paling Mudah Kalau Rasa Nak Jaga Badan.

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ikat pucuk manis
  • 100gm labu | dipotong dadu
  • 2 ulas bawang merah | dihiris
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 3 biji cili padi
  • 1 liter air
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  • Masukkan air dan labu ke dalam periuk. Didihkan sehingga labu empuk.
  • Kemudian masukkan pucuk manis, hirisan bawang merah, bawang putih dan cili padi yang dihiris.
  • Perasakan dengan garam serta serbuk perasa. Biarkan mendidih seketika dan angkat.
  • Nikmati segera.

 

Info chef: Selain labu, boleh juga menggunakan keledek.

 

2. SAYUR BAYAM MERAH MASAK BENING BERSAMA UDANG KERING

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ikat bayam merah | dibersihkan
  • 1 sudu makan udang kering
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 2 ulas bawang merah | dihiris
  • 1 hiris halia
  • Garam secukup rasa
  • 3 cawan air

 

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan air bersama hirisan bawang merah, bawang putih, udang kering dan halia.
  2. Kemudian masukkan bayam merah yang telah dibersihkan.
  3. Perasakan dengan garam secukup rasa. Angkat dan nikmati segera.

 

Info Chef:  Elakkan memasak sayur dengan terlalu lama kerana khasiatnya akan hilang serta kurang enak.

 

 

 

3. MASAK AIR SAYUR PETOLA BERSAMA UDANG KERING & SUHUN

BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji petola | kupas dan hiris
  • 4 ulas bawang merah | dihiris halus
  • 2 ulas bawang putih | dihiris halus
  • 2 sudu makan udang kering | direndam air
  • 15gm suhun | direndam
  • 1 biji cili merah | dihiris
  • 500ml air
  • Garam secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan air ke dalam periuk, kemudian masukkan bawang merah, bawang putih dan sayur petola.Rebus sehingga petola agak lembut.
  2. Kemudian masukkan udang kering dan suhun.
  3. Perasakan dengan garam dan masak sebentar. Matikan api dan bolehlah diangkat.
  4. Tabur hirisan cili dan sedia dinikmati.

 

Info chef: Selain udang kering, boleh juga menggunakan udang segar untuk rasa yang lebih enak.

 

 

4. SAYUR BENING CAMPUR

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm kubis | dihiris
  • 1/2 batang lobak merah | dihiris
  • 50gm udang kertas
    3 sudu teh lada hitam
    2 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
    Air secukupnya
    Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan air bersama kubis, lobak merah, bawang merah serta bawang putih. Biar sehingga lembut.
  2. Kemudian masukkan udang dan serbuk lada hitam. Kacau rata.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya.
  4. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

 

Info chef: Hidangan ini bagus bagi merawat selsema serta memanaskan badan

 

  

5. TUMIS AIR PEDAS PUCUK PAKU BERSAMA UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ikat pucuk paku | dibersihkan
  • 2 biji bawang merah | dihiris
  • 1 ulas bawang putih
  • Segengam udang basah
  • 1 biji cili merah | dihiris
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah serta bawang putih seketika.
  2. Kemudian masukkan air. Biarkan mendidih.
  3. Seterusnya masukkan pucuk paku, cili merah dan udang. Masak sehingga lembut.
  4. Perasakan dengan garam secukup rasa. Angkat dan nikmati segera.

 

Info Chef:  Elakkan dari mengambil daun serta batang pucuk paku yang telah tua.

 

 

6. CENDAWAN TIRAM MASAK BENING BERSAMA SERAI

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm cendawan tiram | disiat dan dibersihkan
  • 2 batang serai | dititik
  • 4 biji cili padi | dipecah sedikit
  • 2 ulas bawang merah | dihiris
  • 1 liter air
  • Garam dan serbuk pati ikan bilis secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan air dan masukkan serai, bawang merah serta cili padi.
  2. Kemudian masukkan cendawan. Kacau rata hingga cendawan lembut.
  3. Perasakan dengan garam serta pati ikan bilis dengan secukupnya.
  4. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

 

Info Chef: Cendawan tidak perlu dimasak lama kerana ia akan lembik.

 

 

7. PUCUK BELINJAU MASAK AIR

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ikat daun belinjau
  • 1 sudu makan ikan bilis
  • 2 biji bawang merah | dimayang
  • 1 ulas bawang putih | dimayang
  • Sedikit suhun
  • Garam secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan air ke dalam periuk dan didihkan bersama  bawang merah, bawang putih serta ikan bilis.
  2. Perasakan dengan garam secukup rasa dan biarkan mendidih sekali lagi.
  3. Akhir sekali masukkan daun belinjau dan biarkan sehingga lembut.
  4. Tutup apinya dan angkat.

 

 

 

TERIMA KASIH: MOHD FAIZ BIN RAMLI DARI GOMBAK, SELANGOR

FOTO: AHMAD SHAHIR OSMAN

 

Published by
Mastura Abu Kassim