Kek Coklat Moist dan Kek Cheese Leleh memang jadi kegemaran ramai. Namun biaanya dijual dalam bekas yang besar. Bagi yang nak makan sendiri atau untuk jualan,. kek saiz mini begini memang sangat sesuai. Saudari Habsah Ngah ada kongsikan resipinya. Sangat senang dan bahan yang digunakan pun mudah didapati. Selamat mencuba!
KEK COKLAT MOIST MINI
BAHAN UNTUK KEK COKLAT:
1 cawan minyak masak*
1 cawan gula*
1 cawan susu pekat manis* – beli online disini
1 cawan susu cair* – beli online disini
1 cawan serbuk koko* – beli online disini
1 ½ cawan tepung gandum | ayak – beli online disini
1 sudu kecil baking powder | ayak
1 sudu kecil soda bikarbonat | ayak
3 biji telur
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan bertanda * . Masak menggunakan api paling perlahan sampai semuanya sebati. Bila dah cantik berkilat boleh tutup api.
2. Dalam bekas lain, satukan tepung gandum, baking powder dan soda bikarbonat. Ayak semuanya.
3. Satukan telur dalam satu mangkuk. Kacau macam nak buat telur dadar.
4. Tuang tepung yang diayak tadi berselang-seli dengan telur dalam adunan kek tadi. Kacau sampai rata. Adunan yang dimasak tadi tak perlu tunggu sejuk tau.
5. Dah siap campur semua bahan, kacau-kacau bagi sebati. Tapis adunan tadi supaya kek lagi ringan dan tak ada ketul-ketul tepung.
6. Sekarang dah boleh untuk kukus. Kalau guna bekas macam saya, letak dalam 2 sudu besar adunan. Jangan letak banyak, nanti tak muat nak letak topping pula.
7. Kukus selama 10 minit saja dengan menggunakan api besar. Bila dah masak, tunggu sejuk dulu baru letak topping.
BAHAN TOPPING COKLAT:
1 cawan serbuk koko
1 cawan minyak (masak/jagung/sayur)
1 cawan susu pekat manis
½ cawan susu cair
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan dan masak dengan menggunakan teknik double boiler atau atas dapur je. Guna api paling perlahan kalau terus atas dapur. Masak hingga larut dan tidak berketul.
2. Angkat dan biarkan suam sedikit. Tapis dulu sebelum dituang ke atas kek tadi supaya tiada ketulan serbuk koko.
3. Tabur coklat rice untuk hiasan. Bolehlah masuk peti. Kek Coklat Moist sedap dimakan sejuk-sejuk.
RESIPI KEK CHEESE LELEH MINI
BAHAN A:
4 biji telur (saiz B)
1 cawan gula halus/kastor
1 sudu besar ovalette
1 sudu kecil emulco pandan coconut*
1 sudu kecil pewarna hijau*
*untuk perisa dan pewarna, kalau nak banyak perisa, boleh letak bila adunan dah siap. Bahagi kepada beberapa bahagian dan tambah pewarna dan perisa.
BAHAN B: (ayak sekali)
1 ¾ cawan tepung (1 cawan self-raising flour + ¾ cawan tepung gandum)
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil cream of tartar (optional)
BAHAN C:
4 sudu besar minyak masak
CARA MENYEDIAKAN:
1. Masukkan semua bahan A ke dalam mangkuk dan putar sehingga kental (bukan gebu), dan jika diangkat adunan akan jatuh perlahan-lahan.
2. Masukkan bahan ayak B dan putar hingga sebati. Matikan mixer.
3. Masukkan minyak masak dan kacau laju. Ini untuk membuang angin dan mengelakkan adunan mendap di tengah-tengah.
4. Tuang adunan ke dalam loyang atau bekas plastik untuk kukusan. Tutup permukaan bekas kek dengan plastik. Boleh je gunakan plastik biasa yang dapat waktu membeli belah tu ya, asalkan bersih.
5. Didihkan air kukusan terlebih dahulu. Kemudian kukus kek selama 20 minit atau sehingga masak bergantung kepada saiz bekas.
6. Jika kecil masa lebih singkat dan sebaliknya. Kecilkan api terlebih dahulu, baru buka penutup dan periksa kek sama ada sudah masak atau belum dengan menggunakan lidi, tester atau pisau.
7. Jika lidi bersih tandanya sudah masak, jika melekat pada lidi tanda belum masak, perlu teruskan mengukus lagi.
8. Keluarkan kek yang sudah masak dan terus terbalikkan di atas papan kek, kemudian balikkan semula bagi mengelakkan kek mendap atau kecut. Kalau acuan plastik/kecil tunggal tunggu sejuk boleh letak topping.
9. Bila dah sejuk, baru boleh potong dan tuang dengan krim cheese.
BAHAN CREAM CHEESE LELEH:
250gm cream cheese
½ cawan susu pekat manis
½ cawan whipping cream/susu cair/susu full cream
Cheddar cheese | sagat @ terpulang nak letak hiasan apa
CARA MEMASAK:
1. Adun semua bahan sehingga kembang dan pekat.
2. Tuang pada kek sebagai filling dan topping. Untuk topping, boleh dicairkan lagi dengan menambah susu cair ke dalam adunan.
3. Tabur dengan cheddar cheese yang disagat.
NOTA TAMBAHAN:
1. Pastikan guna telur dari peti ais ya. Sejukkan dulu sekejap.
2. Nak sukat bahan,guna cawan minum teh tu je.
3. Mix telur, gula kastor dan ovellate high speed selama 15 minit atau sampai adunan gebu ringan, berwarna putih berkilat.
4. Perlahankan putaran, baru letak tepung gandum, baking powder, soda bikarbonat dan cream of tartar yang dah diayak terlebih dahulu. Tak perlu mix lama-lama. Cukup nampak dah tiada ketul tepung je.
5. Pastu masukkan pula minyak masak. Tak perlu mix lama-lama juga. Bila dah siap, bagi rehat sekejap.
6. Panaskan periuk pengukus. Bila air dah menggelegak, boleh mula mengukus. Pastikan api kuat ye. Kalau bekas kecil-kecil, saya kukus selama 7-8 minit je. Masa tu ikut berapa banyak susunan bekas dalam periuk. Kalau padat, masa kukus tu bagi lebih sikit.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa:
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official