Sedapnya, Daging Palembang & Semur Ayam Datin Seri Qustina, Boleh Cuba Raya Ni.

Share

Sedapnya ! Itulah yang dapat dikatakan sebaik  sahaja menjamah  Daging Palembang yang disajikan oleh  Datin Seri Qustina ini.  Tak sangka dalam pada sibuk, beliau sempat memasak. Bila ditanya apa rahsia? Jawabnya tidak ada rahsia, cuba menu ini adalah warisan turun temurun keluarga beliau yang menjadi hidangkan wajib bila keluarga berkumpul, ada kenduri dan Hari Raya.  Tambah beliau keenakan Daging Palembang sedap bila  cukup asam garam dan ia banyak menggunakan kicap, serai dan bawang.  Kesempatan itu, juga beliau turut kongsikan dua lagi menu  yang dihidangkan  pada hari  RASA bertamu di kediaman beliau iaitu Semur Ayam dan Bendi Goreng Udang Kering.

Anda yang teringin bolehlah mencuba!

DAGING PALEMBANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging batang pinang | direbus dan hiris nipis
  • 6 batang serai  | dititik
  • 1 cawan air rebusan daging
  • 1 cawan kicap lemak manis
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 1 sudu makan rempah kari
  • 2 tangkai daun kari | lurut dari tangkai
  • 2 sudu makan kerisik

BAHANKISAR:

  • 5 labu bawang besar
  • 5 biji bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 3cm lengkuas
  • 10 biji cili kering

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis rempah penumis bersama serai hingga wangi.
  2. Kemudian masukkan bahan kisar,  terus kacau hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging yang telah direbus dan gaul sebati.
  4. Kemudian tambahkan air rebusan daging dan biarkan mereneh.
  5. Setelah air daging kering masukkan dan kisap pekat manis dan kerisik.
  6. Jika kurang masin atau manis, boleh tambah garam dan gula.
  7. Kecilkan api dan terus kacau hingga pecah timbul minyak.
  8. Tutup api dan sedia dihidangkan.

SEMUR AYAM:

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam  | potong 12
  • 1 cawan kicap manis
  • 1 biji bawang besar |hiris bulat
  • 3 biji cili merah  | hiris serong
  • 1 sudu makan air asam Jawa
  • 1 sudu makan lada hitam | kisar kasar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Minyak masak | untuk menumis

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 3cm batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang

BAHAN KISAR:

  • 4 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah
  • 3cm halia
  • 1 sudu makan biji ketumbar
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumiskan bahan rempah penumis hingga wangi.
  2. masukkan bahan kisar. Kacau rata.
  3. Apabila pecah minyak, masukkan ayam, kacau rata dan tutup seketika kuali.
  4. Setelah ayam kecut dan air kering sedikit masukkan air asam Jawa dan kicap.
  5. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Setelah kuah kelihatan agak pekat, taburkan serbuk lada hitam.
  7. Kacau seketika dan tutup api.
  8. Ayam semur sedia dihidangkan panas-panas.

BENDI GORENG UDANG KERING

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm bendi | cuci bersih dan hiris serong
  • 2 biji cili merah | hiris serong
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 2 ulas bawang putih | cincang halus
  • 1 sudu makan udang kering | cuci bersih dan toskan
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 2 sudu makan minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
  2. Kemudian masukkan udang kering, kacau rata.
  3. Masukkan kacang bendi dan hirisan cili.
  4. Kacau seketika dan masukkan sos tiram.
  5. Kacau lagi dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Setelah cukup rasa. Tutup api dan sedia dihidangkan panas-panas:

 

 

 

 

 

Published by
Norasida Myasin