Waktu cuaca hujan ini antara menu yang popular adalah kulat sisir. Boleh digoreng, ditumis tapi jika dibuat masak lemak lebih enak. Gulai ini wajib dimasukkan ikan bilis dan akan jadi paling sedap jika dimasukkan sekali ikan masin. Nikmatnya tak terkata.
Kulat sisir
1 biji bawang besar -ditumbuk kasar
7 tangkai cili padi -ditumbuk kasar
1 batang serai -dititik
Serbuk kunyit
1-2 asam keping
Ikan masin talang – dipotong kiub dan digoreng (ambil 6-7 ketul)
Segenggam ikan bilis -ditumbuk kasar
1 kotak santan segera
1. Kulat sisir direndam setengah jam. Buang habuk-habuk kayu dan basuh hingga bersih.
2. Tumis bawang dan cili padi yang ditumbuk bersama serai hingga pecah minyak dan garing.
3. Masukkan serbuk kunyit dan asam keping, kacau.
4. Kemudian masukkan kulat sisir. Tuang air hingga menutupi sedikit paras kulat sisir.
5. Masukkan ikan masin bersama ikan bilis. Gaul sebati dan masak lebih kurang 15 minit.
6. Selepas itu masukkan santan, masak lebih kurang 2 minit dan tutup api. Sedia dihidangkan.
Kredit resipi & foto: Noor Laila Aniza Binti Zakaria