Helena Rizanie, atau lebih dikenali sebagai through_helenaeyes sering berkongsi resipi masakan beserta teknik dan cara masakan yang ringkas dan mudah diikuti menerusi laman sosial miliknya. Menurut Helena dia tidak menyangka hobi memasak dan mengambil gambar masakannya mendapat perhatian media sosial malah peminatnya bertambah dari hari ke hari.
“Saya memang gemar memasak sejak kecil, pertama kali memasak pada usia 12 tahun dan resipi pertama pada ketika itu adalah sambal kentang. Mula membabitkan diri dalam laman sosial Instagram sejak 2015.”
“Arwah emak dan kakak memuji masakan saya. Sejak itu, jika letih atau kesuntukan masa, mereka akan meminta saya masak,” katanya. Jelasnya lagi, pujian daripada keluarga seakan jadi motivasi buat dirinya untuk belajar memasak dengan lebih mendalam.
“Saya memilih platform di IG kerana mudah berinteraksi dengan pengikut yang kebanyakannya dari pelbagai peringkat usia. Dengan kemudahan media sosial yang ada, niat saya mahu berkongsi dan bertukar ilmu lebih mudah dan cepat.
Setiap hari berkongsi resipi berlainan.
Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia lebih bersemangat menjadikan through_helenaeyes sebagai rujukan pengikut selepas mendapat inspirasi daripada rakan blogger dan rakan di IG yang berkongsi minat sama.
“Seronok apabila kita saling tukar resipi dari pelbagai negara dan budaya. Selain itu kita banyak belajar ilmu baru dan mendidik lelaki dan wanita supaya lebih gemar memasak sendiri berbanding makan di luar kerana lebih berkat dan terjamin.
“Memasak adalah perkara yang menyeronokkan kerana kita akan merasa lebih puas dengan hasil air tangan sendiri. Sedap atau tidak adalah perkara kedua yang penting usaha,” katanya. Sehingga kini, Helena telah memasak ratusan jenis masakan termasuk dalam dan luar negara selain pelbagai jenis manisan serta kuih muih.Lebih menarik, semua gambar yang dimuat turun adalah hasil kerja tangannya yang nampak ‘mahal’ dan sempurna.
Bagi anda yang ingin mencuba dan mengenali Helena Rizanie dengan lebih dekat lagi, bolehlah ‘follow’ Instagram beliau. Khas buat para pembaca, beliau juga kongsikan tujuh resipi mudah yang boleh anda sajikan buat keluarga. Selamat mencuba!
BERGEDIL TAUHU POH BERSAMA SAMBAL PENYET
BAHAN-BAHAN:
- 300 gr (3 peket) tauhu poh
- 3 ketul besar kentang
- 200 gr minced beef
- Daun sup |hiris halus
- Daun bawang, |hiris halus
- 2 bawang putih |haluskan
- 3 sudu makan bawang goreng
- Lada hitam secukupnya
- gula garam secukupnya
- 3 biji telur |untuk saduran
CARA MEMASAK:
- Rebus kentang sehingga lembut dan lenyekkan.
- Panaskan minyak, tumis bawang putih sehingga wangi.
- Masukkan daging, lada gula dan garam secukupnya.
- Masak sehingga air daging kering.
- Masukkan daging tumis kedalam mangkuk kentang lenyek tadi dan masukkan daun sup daun bawang dan bawang goreng, gaul sebati.
- Gunting sedikit tauhu poh di bahagian atas, dan sumbat inti kentang sehingga padat.
- Sadurkan tahu poh kedalam telur dan goreng dengan minyak yang panas sehingga garing.
SAMBAL PENYET:
BAHAN-BAHAN:
- 8 cili padi merah
- 3 cili merah besar
- 3 bawang merah
- 2 bawang putih
- 1 cm belacan
- garam gula secukupnya
- 1 biji limau kasturi, opsyenal
CARA MEMASAK:
- Goreng cili dan bawang sehingga layu.
- Tumbuk kasar, tambahkan belacan, garam dan gula.
- Perahkan limau jika suka.
KUEH SERABAI UTARA
BAHAN SERABAI:
- 1 cawan tepung beras
- 1/4 cawan nasi
- 1 cawan santan cair
- 1/4 cawan air suam
- 1/2 sudu teh yis
- 1 sudu makan gula
- sedikit garam
CARA MEMASAK:
- Campurkan air suam dan yis dan diamkan selama 5 minit.
- Kisar nasi dengan air, garam, gula dan santan cair.
- Kemudian campurkan tepung beras bersama nasi yang dikisar, kacau sebati dan masukkan yis. Perap selama 2 jam.
- Sapu sedikit minyak pada acuan. Bakar atas api selama 10-15 minit.
BAHAN KUAH:
- 1 cawan santan pekat
- 1/4 cawan air
- 1/2 sudu makan tepung jagung
- 1 helai daun pandan
- 1 biji telur
- sedikit garam
- 1 keping gula melaka
CARA MEMASAK:
- Satukan tepung jagung dan air. Kacau rata.
- Kisar sekejap telur dan santan. Kemudian masukkan semua bahan ke dalam periuk.
- Masak dengan api perlahan sehingga gula melaka larut dan sedikit pekat.
Tips:
Boleh tambahkan durian pada kuah untuk menambah perisa.
AYAM PANDAN THAI
BAHAN-BAHAN:
- daun pandan
- 350 gm dada ayam, potong dadu besar
BAHAN PERAP:
- 5 biji bawang putih
- 5 biji bawang merah
- 3 cmhalia
- 1 sudu makan sos ikan
- 2 sudu makan sos tiram
- 1 sudu makan kicap masin
- 3 sudu makan kicap manis
- 1 sudu makan minyak bijan
- 1 sudu teh lada putih
- 1 biji limau
- Garam secukupnya
CARA MEMASAK:
- Haluskan bawang putih, halia dan bawang merah.
- Gaulkan ayam dengan bahan perap, biarkan selama 1jam.
- Balut ketulan ayam dengan sehelai daun pandan.
- Cucuk dengan pecungkil gigi untuk mengelakkan daun terbuka.
- Kukus selama 10 minit.
- Angkat dan sejukkan sekejap.
- Goreng dengan minyak panas (tak perlu goreng terlalu lama)
- Hidangkan dengan cili thai atau cili kicap bawang.
APAM TEMBIKAI
BAHAN-BAHAN:
- 2 biji telur
- 200 gm gula
- 250 gm tepung gandum
- 1/2 sudu teh garam
- 200 ml susu segar
- 1/2 sudu teh ovalet
- Chocolate rice
- Pewarna merah dan hijau
CARA MEMASAK:
- Satukan semua bahan, mixer dengan kecepatan tinggi sehingga putih gebu.
- Lebih kurang sehingga 10minit.
- Bagi 3 adunan sesuai warna, merah, putih dan hijau.
- ( Lebihkan warna merah dan gaul rata dengan chocolate rice)
- Masukkan ke dalam piping bag.
- Letak adunan merah sehingga 2/3 cup, tuang sedikit adunan putih, tutup dengan adunan hijau.
- Kukus 10-15 minit dengan api besar.
KUE SURI PALEMBANG
BAHAN-BAHAN:
- 6 gm yis segera
- 125 ml air suam
- 100 gmtepung gandum
- 5 biji telur
- 4 biji kuning telur (kuningnya sahaja)
- 250 gm gula kaster
- 75 gm mentega cairkan
- 120 ml susu pekat manis
CARA MEMASAK:
- Campurkan air dan yis dalam 1 bekas, kacau rata. Kemudian masukkan tepung gandum kacau lagi sehingga adunan tak berbiji-biji.
- Diamkan selama 30 minit (atau sehingga mengembang)
- Apabila sudah mendekati 30minit, siapkan bahan telur.
- Kacau telur dan gula dengan whisk sampai gula larut.
- Masukkan butter yang sudah cair, kacau dan masukkan susu pekat manis, kacau kembali.
- Tambahkan adunan tepung yang telah mengembang kedalam adunan telur, kacau rata sebati.
- Siapkan loyang, sapu majerin dan taburkan sedikit tepung gandum.
- Tapis adunan dan tuang kedalam loyang.
- Diamkan selama 1 jam sehingga permukaan adunan keluar gelembung kecil.
- Panaskan ketuhar dengan api bawah 160′-170 dan bakar selama 1jam.
- Nyalakan api atas di 15minit akhir.
- Angkat, dan siap untuk dihidangkan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI