Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Rasanya itulah peribahasa yang paling sesuai untuk empunya nama Nurul Syuhada Roslan ini. Manakan tidak, hanya dengan mengutip ilmu percuma daripada Google, dia kini mampu membuka kedai bakeri sendiri.
“Saya mula buat bisnes kek dan pelbagai dessert lain secara homebased pada tahun 2014. Saya berhenti kerja sebagai Quality Executive. Saya memang tak tahu apa-apa mengenai baking. Hanya belajar daripada Google. Konsepnya try and error. Sekarang dah hampir lapan tahun. Tahun ni, April 2022, saya mula berani sewa kedai untuk kerja-kerja production,” cerita Nurul Syuhada memulakan bicara.
Pun begitu, Nurul Syuhada mengakui lebih baik belajar baking secara berguru. Ini kerana, belajar secara berguru boleh mengelakkan kejadian ‘buat tak jadi’ seperti yang dia sendiri lalui.
“Ade betulnya juga dengan kenyataan belajar perlu guru tu. Kalau kita berguru, buat terus jadi. Masa mula-mula saya buat bisnes baking ni, saya tak ada modal untuk sertai mana-mana kelas baking. Dulu-dulu tak ada kelas jarak jauh atau online macam sekarang. Satu kelas baking harga sekitar RM300 dan ke atas. Saya belum ada modal sebanyak itu. Sebab itulah saya bertumpu pada tutorial di internet yang boleh cari dalam Google secara percuma.
Saya buat secara kecil-kecilan dahulu. Selepas itu barulah saya ada modal untuk masuk kelas berbayar. Saya join kelas untuk asah skill yang betul dalam dunia baking,” ujar Nurul Syuhada yang bermula sebagai baker secara kecil-kecilan tanpa mempunyai kereta dan membeli bahan baking dengan menaiki LRT bersama anak-anak.
KENANGAN ‘PAHIT’ BELAJAR BAKING DARIPADA GOOGLE
Bertahun-tahun berguru dengan Google, Nurul Syuhadah mengakui melalui pelbagai kisah pahit dan manis. Maklumlah, hanya bertumpu pada kelas percuma disebabkan tiada guru.
“Apabila bergantung pada Google, konsepnya kena pandai-pandai sendiri. Ada kek dan pastri yang saya buat menjadi dengan baik. Kira nasib baiklah tu. Ada juga yang saya kena pasrah sebab terlalu manis. Jadi saya kena adjust semula resipi daripada Google tu supaya betul-betul ngam dengan cita rasa,” katanya yang juga pernah gigih menghantar produk pesanan pelanggan dengan menaiki LRT suatu masa dahulu.
Ditanya, siapakah individu yang banyak dia ikuti ketika mula belajar baking hingga sekarang, Nurul Syuhada ada jawapannya.
“Idola saya ialah Kak Ita. Saya suka tengok blog Kak Ita, Masam Manis. Kak Ita banyak kongsikan resipi dan tip masakan. Paling saya suka ialah seni fotografi masakannya. Itu pun buat saya jadi minat nak cuba,” katanya.
STUDIO BAKERI
Semakin serius dengan bisnes bakeri, Nurul Syuhada merealisasikan impian untuk melihat Sugar Bliss Desserts mempunyai kedainya sendiri. Tidak lagi beroperasi dari rumah.
“Saya sebenarnya tidak terfikir pun untuk berbisnes. Perancangan asal adalah selepas melahirkan anak sulung, saya akan kembali bekerja. Disebabkan tertarik melihat pelbagai gambar biskut cantik-cantik di Google, terus terlintas hendak baking sendiri. Apabila saya buat dan jadi dengan sedap, famili serta kawan-kawan sarankan saya buat bisnes online. Dari anak seorang sampai sekarang dah empat anak saya,” katanya.
Kini pelanggan tetap semakin ramai. Impian Nurul Syuhada adalah untuk mempunyai kafe kerana sekarang kedai bakerinya berkonsepkan studio untuk produksi sahaja. Masih belum bersedia untuk menerima pelanggan walk in secara tetap. Pelanggan boleh membeli produk ready stock yang terhad sahaja. Masih belum sesuai untuk dine in.
Menu yang dijual termasuk kek hari jadi mengikut tema pilihan pelanggan. Ada juga pelbagai jenis biskut.
“Kebanyakan pelanggan tetap mengakui harga yang berpatutan dan rasa kek yang sedap menyebabkan mereka terus menempah kek setiap tahun untuk hari jadi anak-anak. Selain itu, saya menggunakan bahan berkualiti untuk mengekalkan rasa kek dan biskut yang sedap. Antara kek paling laris adalah nutella chocolate fudge cake. Biskut pula adalah nutella pods dan chocolate chip cookies. Bagi desserts pula, paling laris adalah brownies, creampuff, cheese tart dan fruits tart,” cerita Nurul Syuhada menutup bicara.
Nama kedai: Sugar Bliss Desserts
Alamat kedai: A1-1-11, OUG Parklane, Jalan 1/152, Taman Perindustrian OUG, 58200, KL
Waktu Operasi: 9 pagi – 6 petang setiap hari. (Cuti hari Selasa)
Walk in untuk produk ready stock sahaja.
Tempahan untuk hari jadi dan pelbagai majlis
Instagram: Sugar Bliss Desserts
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI