Kalau ada satu perkara yang mak-mak paling suka dalam hidup, selain tengok anak cukup makan, mestilah bila dapur sentiasa teratur dan masak pun jadi cepat! Tapi kita pun tahu, bukan setiap hari sempat nak kupas bawang, potong cili, atau tumbuk halia. Kadang balik kerja pun dah penat, cuma sempat goreng ikan dan buat sambal kilat.
Sebab itulah idea stok bahan kisar homemade ni jadi penyelamat ramai mak-mak moden! Bayangkan bahan siap kisar, disimpan elok dalam bekas kedap udara dan tahan sampai 3 bulan dalam peti ais. Bila nak masak, tinggal cedok, tumis, siap! Aroma pun tetap padu macam baru dikisar. Inilah rahsia sebenar dapur tersusun dan masakan kekal sedap walau sibuk kerja harian.
1. Paste Cili – Nadi Sambal dan Tumisan
Cili kering yang dikisar elok-elok ni memang bahan wajib untuk masakan harian. Caranya mudah sahaja: gunting cili kering, rebus sampai lembut, kisar dengan sedikit air, dan campurkan sedikit asam keping masa simpan. Bila buat sambal tumis, kari, atau masak merah, bau dia memang naik satu rumah!
Dengan cara simpan yang betul, paste cili boleh tahan sampai 3 bulan. Tak payah dah nak rendam cili setiap kali nak masak. Jimat masa, jimat tenaga! Anda juga boleh bahagikan dalam bekas kecil supaya senang ambil setiap kali nak guna.
2. Paste Bawang Besar – Wangi & Manis Bila Dimasak
Bawang besar ni memang bahan asas utama dalam hampir semua lauk. Rahsianya, kisar bawang bersama minyak masak separuh dari jumlah bawang supaya teksturnya lembut dan tahan lama. Tabur sedikit garam atas permukaan sebelum simpan — ini membantu elak cepat rosak dan mengekalkan aroma segar.
Kalau rajin masak, dua minggu pun boleh habis. Tapi kalau simpan betul-betul dalam peti ais, paste bawang besar boleh tahan sampai dua bulan tanpa berubah rasa. Senang, wangi, dan masakan pun jadi lebih manis bila ditumis!
3. Paste Bawang Putih – Rahsia Bau Tumisan Padu
Bawang putih kecil tapi jasanya besar. Ia bahan penting dalam banyak masakan seperti ayam goreng kunyit, sambal tumis, dan rendang. Cara buatnya mudah — kisar bawang putih dengan air bertapis sikit sahaja, cukup untuk pusing blender. Pastikan tiada lebihan air bila simpan supaya tahan lama.
Ads
Apabila anda guna satu sudu kecil paste ini dalam tumisan, aromanya terus menyerlah! Bau wangi “dapur mak” tu memang terasa walau baru balik kerja. Itulah kelebihan stok bahan kisar homemade. Siap sedia, cepat dan tetap segar!
4. Paste Halia – Penambah Rasa & Hilangkan Hanyir
Halia ni memang bahan magik. Tak kira masak ayam, daging, atau ikan, halia bantu hilangkan bau hanyir dan bagi rasa segar. Kisar halia dengan sedikit air sebab halia dah banyak jus semula jadi. Kalau nak senang, asingkan dalam bekas kecil-kecil lalu dibekukan, jadi tak perlu cairkan satu balang besar setiap kali nak guna.
Halia kisar juga boleh dicampur sedikit minyak masak sebelum simpan untuk elak permukaan kering. Bila nak tumis lauk, cuma ambil satu sudu kecil dan terus masuk kuali. Senang dan cepat!
Tip RASA: Cara Simpan Stok Bahan Kisar Homemade Dengan Betul
Bila semua bahan kisar dah siap, susun elok-elok dalam peti ais. Gunakan bekas kedap udara atau balang kaca supaya aroma kekal tahan lama. Labelkan setiap bekas — “Paste Cili”, “Bawang Besar”, “Bawang Putih”, “Halia” — jadi bila waktu masak, tangan pun automatik capai yang betul.
Ads
Untuk lebih jimat ruang, gunakan bekas kecil 100–150 ml dan susun dalam bahagian rak bawah peti sejuk. Kalau nak tahan lebih lama, boleh juga bekukan dan keluarkan satu bahagian kecil setiap minggu.
Manfaat Stok Bahan Kisar Homemade Untuk Dapur Moden
Jimat masa: Tak perlu kupas bawang atau potong cili setiap kali nak masak.
Lebih bersih dan teratur: Dapur sentiasa kemas tanpa kulit bawang atau percikan cili.
Wangi macam baru kisar: Walaupun disimpan lama, aromanya kekal segar.
Kurang pembaziran: Setiap bahan digunakan sepenuhnya tanpa basi atau kering.
Sesuai untuk mak-mak bekerja: Masa pagi pun sempat masak lauk segar tanpa kelam-kabut.
Kesimpulan: Jimat Masa, Tapi Tetap Padu Macam Masakan Mak!
Inilah rahsia stok bahan kisar homemade yang buat hidup mak-mak moden lebih mudah. Dengan sedikit persediaan awal, kerja dapur jadi cepat dan masakan kekal sedap macam masakan kampung. Bila bahan asas dah siap, setiap kali masuk dapur rasa lebih seronok dan yakin.
Tak perlu tunggu hujung minggu baru nak masak sedap — dengan stok bahan kisar ni, hari-hari boleh rasa lauk kampung padu dan wangi! Rahsia ini mungkin nampak kecil, tapi kesannya besar dalam menjadikan dapur sentiasa teratur, terurus, dan menyeronokkan. Cubalah sendiri, pasti tak menyesal!
Keliru tentang perbezaan Vegetarian dan Vegan. Bunyi hampir sama dan kedua-duanya berkaitan tentang gaya hidup atau diet berasaskan tumbuhan. Tetapi terma Vegetarian dan Vegan merujuk kepada cara makan yang berbeza.
Jika anda ingin tahu, vegetarian merujuk kepada seseorang yang tidak memakan daging binatang dan seafood. Pengamal vegetarian ini pula terbahagi pula kepada tiga jenis,Lacto- Vegetarian (memakan produk tenusu tetapi tidak makan telur),Ovo-Vegetarian (makan telur tetapi tidak makan produk tenusu) dan Lacto-Ovo-Vagetarian makan kedua-dua produk tenuysi dan telur. ini adalah diet vegetarian yang paling biasa diikuti.
Manakala Vegan, pengamal diet yang langsung tidak mengambil langsung sebarang produk tenusu dan telur, mahupun sebarang makanan yang diproses membabitkan bahan dari binatang. Malah orang Vegan juga tidak akan memakai pakaian yang dibuat dari bulu atau kulit binatang atau produk kecantikan yang telah diuji ke atas binatang.
Sama ada menjadi Vegetarian atau Vegan memang baik untuk kesihatan kerana tidak mengambil daging yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung, darah tinggi dan diabetes. Namun bukan mudah untuk mengubah gaya hidup tanpa ada kesungguhan. Apa lagi sudah biasa dengan lauk pauk yang sedap.
Berapa kali kita buka peti sejuk, ternampak susu atau sos yang dah “expired”, terus buang tanpa fikir dua kali? Atau sebaliknya, masih selamba guna produk melebihi tarikh luput sebab “bau dia ok lagi”? Sebenarnya, ramai pengguna di Malaysia masih keliru tentang maksud tarikh luput pada bungkusan makanan.
Ada yang fikir semua tarikh bermaksud produk dah tak selamat dimakan, padahal tidak semuanya begitu. Dalam dunia makanan, setiap istilah seperti “Use By”, “Best Before”, “Sell By” dan “Manufactured Date” membawa maksud yang berbeza. Jom RASA terangkan satu-satu supaya lepas ni kamu lebih bijak buat keputusan di dapur.
1. Expiry Date (Tarikh Luput Sebenar)
“Expiry Date” atau “Use By” ialah tarikh terakhir produk boleh digunakan dengan selamat. Selepas tarikh ini, makanan atau minuman tidak boleh dimakan kerana risiko keselamatan sangat tinggi — ia mungkin sudah tercemar atau mengandungi bakteria yang berbahaya.
Label ini biasanya terdapat pada produk berisiko tinggi seperti susu segar, susu formula bayi, ubat, atau bahan cecair yang cepat rosak. Walaupun rupa dan baunya masih “ok”, jangan ambil risiko. Makanan selepas tarikh ini boleh menyebabkan keracunan atau cirit-birit.
RASA Tip: Kalau produk ada label “Use By”, jadikan itu tanda sempadan. Jangan kompromi pada keselamatan!
2. Sell By (Untuk Kedai, Bukan Pengguna)
Ramai tak tahu bahawa “Sell By” sebenarnya ditujukan untuk penjual, bukan pengguna. Tarikh ini menunjukkan bila produk sepatutnya dijual supaya ia masih segar apabila sampai ke tangan pengguna.
Makanan yang sudah melepasi tarikh “Sell By” masih boleh dimakan jika rupa, bau, dan rasanya masih baik — terutamanya untuk produk kering seperti bijirin, biskut, atau minuman tin. Pastikan ia disimpan dengan betul.
RASA Tip: Gunakan deria hidu, rasa dan lihat. Kadang-kadang produk masih elok walaupun tarikh “Sell By” dah lepas sehari dua. Jangan bazir hanya sebab lihat tarikh semata-mata.
3. Best Before (Kualiti Terbaik, Bukan Keselamatan)
Label “Best Before” bermaksud produk masih selamat dimakan selepas tarikh itu, cuma kualiti seperti rasa atau tekstur mungkin tidak sebaik waktu baru dibeli. Contohnya, biskut mungkin kurang rangup, kopi sedikit pudar aromanya — tapi dari segi keselamatan, ia masih boleh dimakan jika disimpan dengan betul.
RASA Tip: Kalau nampak tarikh “Best Before” dah lepas, jangan terus buang. Cuba rasa atau hidu dulu. Banyak makanan masih elok dan sedap dimakan!
4. Manufactured Date (Tarikh Dihasilkan)
“Manufactured Date” pula ialah tarikh produk mula dibuat atau diproses. Ia bukan tarikh luput, tapi membantu pengguna menganggar jangka hayat produk. Contohnya, jika jangka hayat produk ialah 12 bulan dari tarikh pembuatan, kita boleh kira sendiri bila ia akan tamat tempoh.
Biasanya digunakan untuk makanan kering seperti tepung, gula, kopi atau bahan mentah dalam tin.
Kenapa Penting Faham Maksud Tarikh Luput?
Kekeliruan tentang maksud tarikh luput boleh membawa dua kesan besar kepada pengguna:
Pembaziran makanan: Ramai buang makanan yang masih elok sebab salah tafsir tarikh.
Risiko kesihatan: Ada juga yang makan produk yang dah betul-betul luput kerana fikir “bau tak busuk lagi”. Padahal bakteria seperti Salmonella atau Listeria tidak semestinya beri tanda awal.
Makanan boleh nampak elok tapi tetap berbahaya. Sebab tu penting faham maksud sebenar setiap label sebelum buat keputusan buang atau guna semula.
Pesanan RASA Untuk Pengguna Bijak
Tarikh pada pek makanan bukan sekadar nombor — ia panduan keselamatan dan kualiti. Ingat tiga perkara mudah ini:
“Best Before”: Kualiti — masih boleh dimakan kalau disimpan betul.
“Sell By”: Untuk kedai, bukan pengguna.
Jadi sebelum buang, periksa, hidu, rasa, dan fikir. Makanan bukan murah, dan membazir bukan budaya kita. Dengan sedikit ilmu tentang maksud tarikh luput, kita boleh jadi pengguna yang lebih bijak dan bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan alam sekitar.
Sabun pencuci pinggan antara yang wajib ada di dapur. Tanpa sabun pencuci pinggan, minyak dan kotoran pada pinggan mangkuk, cawan serta periuk belanga memang sukar dibersihkan.
Lagi kerap masak dan makan di rumah, lagi banyak sabun pencuci pinggan digunakan untuk mencuci peralatan memasak dan pinggan mangkuk. Sebagai langkah penjimatan, sabun pencuci pinggan ini sebenarnya boleh kita hasilkan sendiri di rumah menggunakan bahan semula jadi.
Cara Jimat Buat Sabun Pencuci Pinggan Sendiri
Jika anda menanam pokok limau kasturi di rumah, ini satu kelebihan kerana bahan utama untuk menghasilkan sabun pencuci pinggan ini ialah limau kasturi. Selain memberi aroma segar, limau kasturi juga membantu menanggalkan minyak dengan lebih berkesan.
Sebagai panduan, boleh gunakan cara yang dikongsi oleh Mainim Saikun. Beliau membuat sendiri sabun pencuci pinggan menggunakan limau kasturi yang ditanam di rumahnya. Hasilnya, dengan sekilo limau kasturi boleh menghasilkan sehingga 12 liter sabun pencuci pinggan yang boleh digunakan selama berbulan-bulan.
Cara Buat Sabun Pencuci Pinggan Limau Kasturi
Bahan-bahan:
1 kilo sodium lauryl ethe sulfate (bentuk gel)
1 kilo limau kasturi
10 liter air
1 kilo garam halus
Pewarna makanan (pilihan)
Cara-caranya:
Rebus limau kasturi bersama biji dan kulitnya hingga mendidih.
Kemudian tos dan kisar limau ini bersama sedikit air.
Tapis limau dan ambil jusnya. Ketepikan seketika.
Dalam bekas, gaul sebati garam dan sodium lauryl ethe sulfate.
Kemudian tuang 10 liter air, jus limau kasturi dan pewarna makanan ke dalam larutan garam dan sodium tadi.
Gaul sehingga tiada ketulan.
Biarkan sekurang-kurangnya semalam sebelum digunakan.
Info Tambahan Tentang Sabun Pencuci Pinggan Limau Kasturi
Selain limau kasturi, boleh juga menggunakan buah lemon.
Tujuan limau direbus adalah untuk mengelakkan kulat pada sabun pencuci pinggan.
Sodium lauryl ethe sulfate dalam bentuk gel boleh dibeli secara online.
Dengan membuat sabun pencuci pinggan sendiri, anda bukan sahaja menjimatkan kos, malah dapat memastikan bahan yang digunakan lebih selamat dan mesra alam.
Nak makan kuetiau tapi malas nak keluar? Jom belajar cara buat kuetiau homemade yang mudah, bersih dan jimat. Resipi lengkap Kak Yong Ima Shida, confirm jadi!