Kali ini RASA menemu bual seorang home baker yang mempunya jenama sendiri iaitu Sister’s Cakery, Ilyana Isa. Telah bertahun-tahun mengambil tempahan kek bertaraf premium, namun wanita ini masih tetap gigih menuntut ilmu dalam kesibukan masanya.
Berguru selama lima hari di Rich Talents International College, Shah Alam, Ilyana mengakui dia kerap juga menghadiri bengkel membuat pelbagai roti dan pastri. Semuanya demi menambah ilmu dan bertukar-tukar fikiran sesama baker yang lain. Malah, dia sendiri mempunyai pelbagai perancangan untuk jenama produknya sendiri iaitu Sister’s Cakery.
“Bagi saya, sangat penting untuk orang seperti saya selalu tambah ilmu. Belajar adalah proses berterusan. Hampir setiap hari kita akan belajar benda baru. Kalau bukan ilmu baking sekalipun, kadang-kadang kita belajar pengalaman hidup dari kesilapan kita. Jangan jadi manusia yang rugi, sombong sangat sampai merasa diri paling hebat,” katanya memulakan bicara.
Bergaul dengan individu dalam satu bidang juga dilihat sebagai satu laluan yang sangat bagus. Bagi Ilyana, jika boleh dia ingin berkenalan dengan seramai mungkin baker yang ada untuk saling belajar.
“Apabila kita ada ramai kawan dalam bidang yang sama, semestinya pertukaran ilmu dan kemahiran adalah hal yang sangat baik. Semua baker ada kemahiran masing-masing. Contohnya, saya tak pandai bancuh warna pastel bagi buttercream. Saya cuma tahu warna-warna asas sahaja. Kawan baker saya ajar cara dan tip campuran warna pastel yang menarik semasa kami sama-sama membuat dekorasi kek di kelas. Bagi saya itu satu bonus bila kita ada ramai kenalan dalam bidang yang sama,” katanya lagi.
KELAS ONLINE ATAU BERSEMUKA
Kini terdapat banyak kelas diadakan secara online. Kelas memasak pun ada yang dianjurkan secara bersemuka. Kedua-dua platform sama ada online atau bersemuka tetap ada manfaatnya.
“Bagi saya, sama ada kelas online atau bersemuka setiap platform ada manfaatnya. Ilmu yang disampaikan adalah sama. Tapi dalam kelas bersemuka, kita dapat belajar dengan lebih teliti. Paling jelas apabila kerja ‘hands on’, guru akan betulkan kesilapan kita ketika itu juga. Banyak tip berguna dan peserta dapat bertanya lebih banyak jika ada masalah. Kelas online, kita perlu cuba dahulu. Latihan juga hanya berpandukan dengan video. Ada masa video kurang jelas dan pertanyaan tidak terjawab,” ujar Ilyana lagi.
Mengenai bengkel yang dihadiri di Rich Talents International College, Shah Alam, Ilyana mempelajari asas membuat kek, kek cawan, dekorasi, selok-belok dan masalah perniagaan serta fotografi produk yang dibuat misalnya kek.
Bagi Ilyana, kelas sebegini sangat menyeronokkan kerana dia berpeluang mengulang kaji teknik yang pernah dipelajari dahulu dan menambah ilmu serta teknik terkini dalam membuat pelbagai resipi terutamanya kek.
“Biasanya selepas habis kelas, semangat saya jadi berkobar-kobar untuk mencuba resipi baru lepas ni. Bolehlah saya tambah menu jualan kek sedia ada dan dapat memperbaiki kelemahan dan kesilapan sebelum ini,” katanya mengakhiri bicara.
Ilyana turut mengambil pelbagai tempahan kek di sekitar Shah Alam, Selangor. Bagi anda yang ingin menempah kek, bolehlah kunjungi facebook beliau dan menempah kek di bawah jenama Sister’s Cakery.
Sumber: facebook Ilyana Isa
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI