Krisis kekurangan bekalan telur sejak akhir-akhir ini memberikan kesan kepada para peniaga terutamanya yang menjalankan perniagaan makanan.
Sudahlah sukar didapati, harganya juga tinggi. Jika ada bekalan pun, ia adalah telur dalam pek-pek kecil dan juga telur mahal seperti telur organik.
Hal ini tentunya menjejaskan peniaga dan orang awam yang bergantung kepada bahan mentah tersebut.
Merujuk kepada laporan portal Sinar Harian, ada peniaga nasi lemak yang terpaksa menjual nasi lemak tanpa telur ayam kerana sukar mendapatkan bekalan bahan mentah tersebut sejak dua minggu lalu.
Dia yang menjual hidangan tersebut sejak dua tahun lalu turut menerima rungutan daripada pelanggan-pelanggan yang ingin membeli nasi lemak bersama lauk tersebut untuk anak mereka.
“Saya berniaga nasi lemak waktu pagi dan petang, jadi kalau pagi dah habis, saya terpaksa menjual nasi lemak tanpa telur pada waktu petang, jadi pelanggan selalunya merungut kerana tiada pilihan lauk untuk mereka disebabkan ingin membeli lauk telur untuk anak mereka.
“Hairan juga ada pasar raya di Shah Alam yang mengehadkan pembelian telur kepada lima papan satu keluarga, malah harga telur gred C turut meningkat daripada sekitar RM9 sepapan kepada RM11.90.
“Rasanya macam makin susah nak dapatkan bekalan telur terutamanya menjelang Ramadan dan Syawal, jadi saya harap isu ini tidak berlarutan kerana kami turut berdepan isu bekalan minyak peket yang masih sukar didapati di pasaran.”
Jenuh juga tu. Nasi Lemak kan sinonim dengan gabungan telur rebus. Walaupun ada lauk lain, rasa tak lengkap pula bila tiada telur ni.
Anda pula macam mana? Bekalan telur di kawasan anda masih ok? Diharap masalah ini akan cepat pulih lebih-lebih lagi bila bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri makin mendekati.
Kuih muih berbuka, lauk pauk, kuih raya, manisan, kebanyakannya bergantung kepada telur.
Moga ada jalan penyelesaian yang lebih baik nanti. InsyaAllah.
Sumber asal: Sinar Harian
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official