Syarikat Barangan Pengguna Terkemuka Lancar Inisiatif #Kitabersama Bantu Rakyat Terjejas Sumber Pendapatan

Share

Dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih lagi berleluasa di Malaysia dan serata dunia, semakin ramai rakyat yang terkesan dalam meneruskan kehidupan harian. Ada yang kehilangan ahli keluarga, ada yang kehilangan sumber pendapatan dan mata pencarian.

Dengan niat untuk membantu secara berpanjangan, initiatif #KitaBersama hari ini dilancarkan sebagai pemangkin untuk menggalakkan syarikat-syarikat barangan pengguna bekerjasama dalam membuat kebajikan.

Initiatif ini merupakan gabungan antara syarikat Baba Products (M) Sdn. Bhd, Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd, Sime Darby Oils dan Kumpulan Syarikat Etika bersama dengan Food Aid Foundation (FAF), sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Sebagai permulaan, syarikat-syarikat tersebut telah pun berjaya membuat penghantaran pertama produk-produk BABA’S, MAMEE, ALIF

 dan SUSU GOODDAY berjumlah melebihi RM90,000, pagi ini. FAF akan segera mengedarkan makanan dan minuman yang diterima kepada mereka yang memerlukan, terutamanya penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekitar Lembah Klang.

Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Pengguna Baba Products (M) Sdn. Bhd, Farhan Hafetz berkata bahawa initiatif #KitaBersama dimulakan dengan niat untuk menggalakkan syarikat-syarikat barangan pengguna untuk menghulurkan bantuan.

“Kebanyakan syarikat sudahpun membuat aktiviti amal secara bersendirian, tetapi lebih baik jika dibuat bersama-sama. Apabila kita semua bekerjasama, lebih ramai yang dapat dibantu secara berterusan”

Penolong Pengarah Hal Ehwal Islam dan Pengurusan Kerajaan Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd., Ahmad Syukry Ibrahim mengalu-alukan inisiatif sebegini dan menyatakan bahawa gabungan bersama ini merupakan susulan dari program Mamee Prihatin yang ditubuhkan sejak tahun 2011.

Manakala Pengurus Kanan Bahagian Jualan Pengguna Sime Darby Oils, Mohamad Rahimi Abdullah

pula berkata,

Sime Darby Oils berbesar hati untuk menyertai initiatif ini yang menggalakkan kerjasama ke arah kebaikan. Kami berharap ia dapat menjadi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain untuk turut serta menghulurkan bantuan terutamanya dalam keadaan sekarang

Kumpulan Syarikat Etika Malaysia, Singapura, dan Brunei yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif; Khalid Alvi

berkata inisiatif  ini meluaskan lagi peluang kepada syarikat untuk membantu lebih ramai rakyat yang terjejas. 

“Sejak bermulanya pandemik, Etika Cares, sebuah program bantuan jangka panjang oleh Etika telahpun melancarkan beberapa kempen untuk membantu komuniti yang terkesan. Menyertai initiatif berkumpulan sebegini adalah salah satu cara untuk kami meluaskan lagi peluang membuat kebajikan”.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diperkenalkan pada bulan Mac 2020, FAF telah mengedarkan lebih daripada 2 juta kg makanan kepada yang memerlukan. Walau bagaimanapun, sejak PKP 3.0, peningkatan permintaan naik secara mendadak, khususnya dari komuniti B40.

“Kami tidak mampu untuk memenuhi keperluan masyarakat sepenuhnya. Oleh itu kami mengalukan-alukan sumbangan terutama daripada syarikat pengeluar makanan agar kami dapat meningkatkan jumlah bantuan”, kata Rick Chee, pengasas FoodAidFoundation.org.

Situasi pandemik yang berpanjangan ini tentu sekali membuatkan rakyat berada dalam keadaan yang sangat sukar. Oleh itu menerusi inisiatif #Kitabersama, sumbangan yang diterima tentunya sedikit sebanyak membantu melegakan beban rakyat.

Hulurkan tangan, bantulah insan-insan yang memerlukan. Bagi meluaskan lagi bantuan, gabungan ini juga menjemput serta membuka peluang kepada semua syarikat pengeluar makanan dan minuman di Malaysia  untuk bersama-sama menjayakan initiatif #KitaBersama. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi farhan@babas.com.my.

Published by
Team Rasa