Nasi goreng ni adalah antara menu yang boleh dimakan pada bila-bila masa. Pagi atau malam, boleh je makan nasi goreng. Nak buat pun senang. Tapi, kena ingat. Nasi goreng kena dimasak sedap barulah best nak dimakan. Cara tumisnya, cara menggoreng. Dan paling penting tekstur nasi itu pun memainkan peranan. Jangan masak lembik sangat, nanti tak sedap nak digoreng. RASA kongsikan resipi nasi goreng kampung yang simple tapi cukup lengkap cita rasanya.
Bahan Kisar
• 1 biji cili merah
• 5 biji cili padi hijau
• 1 ulas bawang merah
• 2 ulas kecil bawang putih
• 1 inci belacan
Bahan-bahan
• segenggam ikan bilis (digoreng asing)
• 1 biji telur ayam
• semangkuk nasi
• sayur sawi
• garam secukup rasa
Cara membuat
1. Panaskan minyak masak. Goreng ikan bilis. Angkat dan ketepikan.
2. Dalam minyak goreng ikan bilis tadi, tumis Bahan Kisar.
3. Masukkan telur ayam. Kacau rata. Biarkan seketika.
4. Masukkan nasi. Gaul rata.
5. Masukkan sayur. Gaul lagi.
6. Masukkan garam dan gaul lagi sampai rata semuanya. Matikan api.
7. Taburkan ikan bilis yang sudah digoreng asing tadi. Sedia dihidang.
Resipi oleh Nur Faeizah dari Telegram KakiMakan