Sebut je sayur mesti terbayangkan masak tumis, bening, sup atau gulai. Tapi sebenarnya sayur juga sedap digoreng salut atau celup tepung, namun bukan semua sayur yang sedap digoreng salut tepung ni. Selain sedap dimakan dengan nasi cecah sambal, sayur goreng juga sedap dijadikan kudapan ringan sambil menonton. Ini dia enam jenis sayur yang boleh digoreng salut tepung. Mungkin ini idea bagus untuk anak-anak makan sayur
Terung
Bayangkan terung yang lembut dan manis rasanya itu digoreng dengan tepung, terasa ranggup di luar, lembut berjus di dalam. Kena pulak dengan pencecah memang terbaik sedapnya. Cuma semasa menghiris pastikan saiz terung adalah sama dan hirisan tidak terlalu nipis atau tebal.
Brokoli
Brokoli antara sayuran hijau kaya dengan khasiat yang baik untuk kesihatan. Brokoli goreng tepung antara menu yang sangat sedap. Korang boleh potong brokoli menjadi ketulan-ketulan kecil sebelum disalut dengan adunan tepung kemudian goreng minyak banyak. Untuk tambah perisa, adauna tepung boleh tanpa perasa ayam, rempah kari, serbuk cili, lada hitam atau tomyam. Terpulang pada cita rasa.
Bunga Kubis
Cara potong dan menggoreng bunga kubis sama seperti brokoli untuk digoreng tepung. Namun teksturnya yang ranggup dan empuk pasti disukai ahli keluarga terutama anak-anak.
Lobak Merah
Lobak merah goreng tepung memang sedap, rangup dan manis. Cara paling mudah menyediakannya, adalah dengan menghiris lobak merah seperti kentang goreng. Potong memanjang lebih kurang 3-4cm, kemudian kukus hingga empuk sebelum sedia dicelup tepung dan goreng hingga rangup.
Bayam
Rangup dan sedapnya kerepek bayam, kerana itulah ramai yang menyukainya sebagai kudapan sambail santai menoton TV. Siapa sangka ia hanyalah sehelai daun bayam yang nipis dan berubah menjadi kerepek yang rangup bila digoreng dengan salutan tepung.
Kacang Buncis
Mungkin jarang dengar kacang buncis boleh digoreng celup tepung. Tapi percayalah rasanya sedap, rangup dan manis. Apa lagi jika dimakan panas-panas.
Dari enam jenis sayur ini mana satu pilihan korang, atau ada cadangan sayur lain yang pernah korang buat. Boleh share dengan RASA ye.