Selepas membuat transformasi di ruang dapur, anda masih merasakan ada yang kurang di situ. Puas memikirkan bagaimana ingin menaikkan seri dapur anda dan menghidupkan suasana dapur. Mungkin kali ini anda boleh cuba meletakkan tumbuhan herba di ruang dapur anda. Contohnya Basil, kucai, parsli dan pudina merupakan contoh tumbuhan herba yang boleh diletakkan di ruang dapur. Ruang yang diperlukan tidak terlalu luas kerana ia hanya memerlukan bekas yang kecil. Tambahan tumbesarannya yang sederhana kecil menjadikan ia begitu sesuai ditempatkan di dapur.


Bagi yang meminati unsur hijau, menanam tumbuhan herba di dapur sangat baik dari segi memberi nafas baru kepada wajah dapur. Bagi anda yang gemar memasak, inilah masanya untuk mula berjinak-jinak dengan menanam tumbuhan herba sebelum mula terlibat dengan menanam sayur-sayuran pula. Mudah dipetik dan terus dijadikan bahan masakan. Sudah tentu banyak kelebihan yang dapat dimiliki apabila anda mula ‘berkebun’ di dalam dapur.


Lokasi selamat
Anda hanya perlu meletakkan tumbuhan herba berdekatan dengan tingkap. Ini bagi memudahkan tumbuhan menerima cahaya yang mencukupi. Anda tidak perlu risau mengenai hujan mahupun keadaan cuaca yang tidak menentu dan boleh menyebabkan tumbuhan mati. Ini kerana lokasinya di dalam rumah dapat mengelakkan tumbuhan diancam dengan situasi tersebut. Sangat mudah dan praktikal bukan?

Lebih segar
Kesegaran pada tumbuhan herba yang anda tanam sendiri pastinya membantu menjadikan masakan anda lebih sedap. Petik dan masukkan ke dalam masakan dengan begitu mudah. Daun pudina misalnya, boleh menjadikan teh anda lebih beraroma dan sihat! Tambahan pula, jika hendak dibandingkan dengan tumbuhan herba yang berada di pasar mahupun pasar raya, anda pasti berpuas hati dengan hasil tanaman anda sendiri.

Menghijaukan dapur
Tumbuhan herba yang terletak di dapur ini secara tidak langsung menjadikan ruang dapur lebih menarik dan menawan. Warna hijau yang dipamerkan memberikan kesegaran sepanjang masa!

IKLAN

Tip menanam tumbuhan herba
Bagi anda yang ingin mencuba menanam tumbuhan herba di dapur, boleh mengikuti beberapa idea ini;

Pasu
Bagi menyerlahkan lagi tumbuhan herba di dapur, anda boleh menggunakan beberapa jenis pasu. Ini termasuklah menggunakan barang terbuang seperti tin, penapis dan sebagainya.

Gantung
Tumbuhan herba nampak cantik jika digantung di dalam bakul. Anda boleh meletakkan pasu di dalam bakul tersebut atau menggunakan bakul tersebut sebagai bekas tanaman.

Pencahayaan
Jika bahagian dapur kurang mendapat pancaran cahaya matahari, tumbuhan herba akan mudah layu dan mengganggu tumbesarannya. Oleh itu, untuk meningkatkan kesan pencahayaan, anda boleh memasang lampu kalimantang atau track lighting yang fokus ke arah tumbuhan berkenaan.

Baja
Tumbuhan herba juga memerlukan sedikit baja. Ia membekalkan nutrien dan menyuburkan lagi tumbuhan herba anda.

Petik selalu
Petiklah tumbuhan herba anda selalu. Ini membantu dan menggalak tumbuhan tersebut untuk bercambah. Herba ‘tahunan’ seperti basil misalnya boleh dipetik apabila mencapai ketinggian tiga hingga empat inci.

Sumber gambar: 123 royalty free

INGIN MENCARI PRESSURE COOKER DENGAN PELBAGAI PILIHAN MENARIK. JOM LAYARI DI SINI.

Ini Caranya Nak Jimat Masa Memasak

Kaedah Memasak Sayur Untuk Pelihara Khasiatnya

Apakah Peralatan Memasak Anda Selamat Digunakan?